RUMAH ‘ ALA PONDOK ‘
Kawasan tempat tinggal kami di rumah ‘ ala pondok ‘, tidaklah begitu jauh dari Masjid Parit Satu ( Sekarang Masjid Jamek Makmuriah ). Hanya kira-kira 10 rantai sahaja. Namun untuk pergi ke masjid menunaikan solat fardhu berjemaah dengan penduduk tempatan tiap hari, terutama waktu zohor amat terasa berat dan selalu saja ' terlepas '…...
Untuk solat fardhu zohor boleh dikatakan tiap hari kami hanya berjemaah di masjid bersama dengan rakan-rakan sahaja. Kerana waktu selepas balik dari sekolah tengah hari begitu suntuk , di tambah pula dengan kesebukan menyediakan sendiri makan tengah hari !.
Walaupun begitu, untuk solat-solat fardhu yang lain seperti asar, maghrib , isyak dan suboh biasanya kami akan sama berjemaah di masjid, jika keadaan mengizinkan dan mempunyai masa yang cukup untuk persiapan pergi.
Sebenarnya, semasa permulaan tinggal di rumah ala pondok,saya merasa agak kekok benar. Ini disebabkan buat pertama kali saya terpaksa menyediakan makanan sendiri . Dari menyediakan sarapan pagi, makan tengah hari hingga makan malam. Namun begitu, mujurlah rakan sepondok saya Ibrahim , beliau menganggap saya sebagai abang angkatnya ( kerana usianya lebih muda dari saya ). Dia mudah diarah dan diminta tolong, untuk membantu kerja-kerja menyediakan makanan .
Bagi kegunaan memasak makanan tiap hari kami menggunakan dapur minyak tanah. Saya mempunyai sebuah dapur pam ( dapur semawar ) manakala Ibrahim dibelikan oleh bapanya sebuah dapur minyak tanah cap kupu-kupu. Semasa memasak makanan kami gunakan kedua-dua dapur tersebut sekali gus.
Untuk membeli bahan makanan pula, saya dan Ibrahim berkongsi mengeluarkan wang masing-masing. Jika ada bahan mentah yang dibawa dari rumah masing-masing seperti pisang , ubi kayu , beras dan sebagainya barang-barang tersebut kami taksirkan harganya dan dimasukkan dalam ’ buku perbelanjaan pondok ’.
Oleh kerana tidak ada kemudahan mencukupi di kawasan rumah pondok kami, seperti kolam mandi dan juga kolam air minuman, setiap hari kami ’ warga pondok ’ pergi beramai-ramai mandi di kolam masjid dan mengambil air minuman dari tangki takungan di situ. Sama ada dengan menggunakan tin minyak tanah atau terus membawa tempayan kecil takungan air di rumah pondok dan membawanya menggunakan basikal.
Untuk kemudahan mandi manda waktu tengah hari pula kami pergi ke masjid selepas makan tengah hari. Untuk mandi petang kami biasanya bermain sepak takraw di padang sekolah dahulu selepas waktu asar. Dan sebelum balik ke rumah pondok kami singgah dahulu mandi dikolam masjid. Untuk mandi pagi, kebiasannya kami solat berjemaah subuh dahulu bersama penduduk tempatan, kemudian selepas itu barulah mandi dan balik ke rumah pondok menyediakan sarapan pagi sebelum ke sekolah.
Ada suatu ’ kenangan ’ sukar dilupakan apabila hendak pergi ke masjid waktu subuh tiap hari.... Ini kerana jalan kampong dari kawasan rumah pondok kami ke masjid terpaksa melalui satu kawasan tanah perkuburan orang Islam !. Bagi warga pondok yang agak merasa takut melintasi kawasan tersebut ( kerana keseorangan ditinggalkan kawan-kawan lain ) , mereka akan menunggang basikal pergi ke masjid dan untuk melintasi kawasan tanah perkuburan supaya cepat sampai .
Kerana itu, apabila hendak pergi mandi dan solat subuh , kami biasanya memanggil rakan-rakan lain untuk pergi bersama-sama. Kalau tidak, siapa yang tertinggal terpaksalah dia menunggang basikal sendirian !....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan