KEPADA ANDA SEMUA...

Jumaat, 23 September 2011

CATATAN (27)

SAYA TINGGAL DI RUMAH PONDOK !


Selang beberapa minggu selepas saya belajar di MKW, bilangan murid yang baru masuk belajar bertambah ramai . Di antaranya terdapat pelajar dari luar daerah Sabak Bernam, seperti daerah Kuala Selangor.

Oleh kerana sukar kepada pelajar yang tinggal jauh berulang alik belajar , pihak jawatankuasa MKW yang diketuai oleh ketua kampung Sungai Haji Dorani , Sidang Haji Nawawi telah mengambil daya usaha membina ' rumah pondok panjang ' di atas tanah kebun kelapa kepunyaannya yang terletak ditepi jalan besar Sungai Besar - Sekincahan dan berhampiran dengan MKW.

Rumah panjang tersebut kalau tidak salah ingatan saya mempunyai enam bilik dengan keluasan kira-kira 8 kaki lebar dan 10 kaki panjang setiap bilik. Rumah tersebut dibina dengan beratap daun nipah dan dinding serta lantainya pula dari bahan kayu papan.

Sebenarnya, sebelum rumah pondok panjang itu dibina, sudah ada beberapa buah rumah pondok kepunyaan persendirian berukuran kira-kira 6 kaki lebar dan 10 kaki panjang setiap sebuah dibina di atas tanah kebun yang juga kepunyaan Sidang Haji Nawawi serta terletak di seberang jalan besar . Kawasan rumah-rumah pondok tersebut kedudukannya berada hampir bertentangan dengan binaan rumah pondok panjang yang baru dibina itu serta berhampiran pula dengan bangunan surau .

Rumah-rumah pondok tersebut dipahamkan telah dibina lama sejak beberapa tahun lalu ; semasa MKW berada di zaman kegemilangannya. Di mana dikatakan hampir 30 buah pondok seumpama itu telah dibina oleh pelajarnya. Walaupun begitu, hanya beberapa buah rumah pondok sahaja tinggal dalam keadaan baik dan masih boleh diduduki.

Suatu hari, seorang kenalan pelajar di MKW ( saya lupa namanya ) memberitahu saya babawa bapa seorang pelajar di situ hendak membina rumah pondok untuk anaknya. Bapa pelajar tersebut menawarkan kepada saya sama ada saya ingin tinggal bersama di rumah pondok yang akan dibina nanti.

Saya dipahamkan, rumah pondok yang akan dibina mempunyai dua bilik. Satu bilik untuk anak beliau dan satu bilik ditawarkan kepada saya mendudukinya. Bayaran dikenakan kepada saya hanya RM 70 dan boleh dibayar secara beransur-ansur. Saya telah memberi persetujuan untuk membelinya.

Selang beberapa hari kemudian, sebuah rumah pondok berukuran kira-kira lebar 12 kaki dan panjang 10 kaki telah didirikan bersebelahan dengan rumah pondok panjang sedia ada. Berhampiran rumah pondok tersebut terletak sebuah bangunan kedai barang runcit kepunyaan seorang penduduk yang dikenali sebagai ' Kang Nasrawi ' . Kedai beliau merupakan kedai barang runcit yang tunggal di Kampung Pekan Selasa Lama.

Rumah pondok kami itu dibina dari bahan kayu dengan beratapkan daun nipah dan berdinding kajang daun nipah juga. Rumah pondok tersebut dibina secara kembar dan mempunyai dua pintu masuk dan dua bilik yang berasingan .

Untuk makluman, sebelum membeli rumah pondok tersebut saya telah meminta pandangan kedua ibu bapa , sama ada sesuai saya tinggal di rumah pondok berbanding berulang alik ke sekolah tiap hari dengan menunggang basikal. Ibu bapa saya telah memberikan persetujuan agar saya tinggal di rumah pondok sahaja. Tetapi, mereka tidak mampu membantu saya dari segi kewangan untuk membelinya, kerana tidak berkemampuan lantaran belum tiba musim menuai padi !.....

Walau apapun, bagi saya kebenaran ibu bapa itu sudah memadai. Saya boleh berusaha sendiri mencari wang dan menggunakan simpanan ' saguhati ' tak seberapa yang diterima mengajar sukarela di Sekolah Rakyat Parit (8) Gambut - seperti dinyatakan sebelum ini - untuk tujuan itu.

Dengan sedikit wang simpanan yang ada , saya telah membayar separuh bayaran rumah pondok tersebut dan membeli peralatan pinggan mangkuk serta dapur semawar ( dapur pam menggunakan minyak tanah ) . Sementara kakak sulung dan emak saya pula membuatkan kelambu dan tilam kecil untuk kemudahan tidur.

Dengan hanya menggunakan basikal, saya telah mengangkut semua peralatan tersebut ke rumah pondok yang baru dari rumah ibu bapa saya di Kampung Parit (9) Barat, Sungai Besar pada waktu malam !.

Saya sengaja berbuat demikian bagi mengelak rasa malu jika bertemu dengan kawan-kawan sekolah atau dilihat orang ramai kerana membawa tikar bantal dengan menunggang basikal sahaja !....

Jumaat, 2 September 2011

CATATAN (26)

DAPAT KAWAN BARU DI MKW


Memang benar seperti dikata orang : Jauh perjalanan , luas pemandangan; banyak berpindah ramai kenalan. Begitulah yang berlaku kepada saya apabila belajar di MKW...

Hari pertama saya bersekolah di MKW , saya hanya kenal dengan Rabiatul Adawiyah Mohd.Nor dan Safiah Arshad . Mereka adalah rakan-rakan sekelas saya semasa belajar di Madrasah Ehyaul Falah dahulu dan telah lebih awal bersekolah di situ. Yang lain-lain saya belum mengenali mereka.....

Oleh kerana kelas saya di MKW jumlah pelajarnya tidak ramai ( kalau tak salah ingatan saya kurang dari 20 orang ) manakala bilangan pelajar lelakinya juga sedikit, maka dengan mudah saya mengenali rakan lelaki sekelas pada hari tersebut.

Pada hari pertama, saya sudah mengenali nama-nama rakan lelaki seperti Miskiran dan Kamarudin serta berbual-bual dengan mereka . Di samping itu saya dapat mengetahui beberapa nama pelajar perempuan menerusi Rabiatul Adawiyah seperti Masdinah , Marsidah dan rakan-rakannya yang lain.

Secara purata, pelajar di kelas saya berusia lebih dari 17 tahun setiap orang . Manakala saya adalah dianggap ' paling tua ' di antara mereka kerana usia saya sudah meningkat 21 tahun !. Mungkin kerana usia saya lebih tua dari mereka , atau mungkin mereka tahu saya sudah berkelulusan selain pernah memegang jawatan sebagai ketua pelajar , mereka ternyata menghormati saya dan gembira kerana saya sama-sama belajar di MKW.

Pada hari-hari berikutnya rakan kenalan saya bertambah ramai seperti Mat Yasin, Abd.Latif, Bustami, Awang ( nama gelaran ), Sibun ( nama gelaran ) , Masirin dan beberapa orang lagi yang saya terlupa waktu kini nama-nama mereka. Mereka adalah pelajar dalam kelas-kelas bawah.

Di samping itu, kalangan guru-guru juga dilihat menghormati dan gembira dengan kehadiran saya belajar di MKW, seperti Ustaz Haji Zainal Abidin Sarkawi yang menganggap saya seperti rakan sebaya dan juga Ustaz Haji Azra'e Ahmad , saudara kepada Ustaz Haji Jaafar Akib dan Rabiatul Adawiyah.

Oleh kerana penerimaan mereka kepada saya begitu baik , saya tidak merasakan apa-apa masalah untuk meneruskan pelajaran , berbanding dengan rakan saya Ahmad Ismail Haji Kornain yang terpaksa berhenti belajar dari MKW ( seperti dinyatakan dalam catatan saya terdahulu ).

Dalam keadaan demikian, hari demi hari saya berjaya menyesuaikan diri dengan suasana belajar dan pergaulan sesama pelajar di situ . Walaupun ianya bagai ' langit dengan bumi ' jarak perbezaan dalam banyak perkara, jika hendak dibandingkan dengan tempat belajar saya di Madrasah Ehyaul Falah !.

Insya Allah, pada waktu lain saya akan catatkan ' suasana ' baru yang saya alami ketika belajar di MKW secara lebih terperinci lagi....