KEPADA ANDA SEMUA...

Sabtu, 17 Mac 2012

CATATAN (30)


BUBUR KACANG MASIN !



Cerita ini tidak ramai di kalangan pelajar MKW yang mengetahuinya. Di kalangan rakan-rakan rumah pondok juga ramai yang tidak menyedari ianya berlaku . Cerita ini seolah-olah ' tertutup ' dari pengetahuan umum. Malahan saya juga mengetahuinya hanya secara kebetulan sahaja .

Peristiwa ini merupakan cerita agak lucu. Namun ianya merupakan suatu sikap kurang molek dilakukan jika dinilai dari segi persahabatan atau persaudaraan Islam. Namun begitu , semua yang berlaku kerana ada sesuatu muslihat tertentu dan untuk mengelak dari berlaku perasaan kecil hati hingga membawa kepada bermasam muka pula. Apatah lagi ianya dilakukan ke atas rakan sebaya yang sentiasa bersua muka setiap hari dan belajar dalam satu sekolah.

Secara kebetulan pada suatu hari , beberapa orang rakan rumah pondok yang tinggal berhampiran pondok saya kelihatan sering tersenyun dan ketawa-ketawa kecil sesama mereka. Pada mulanya saya tidak merasakan sesuatu. Tetapi, apabila saya lihat mereka ketawa hanya dengan rakan-rakan tertentu, saya mula mengesyaki pasti ada sesuatu rahsia atau perkara tertentu yang mereka sembunyikan dari orang lain !.

Mungkin kerana saya merupakan pelajar yang disegani kerana sudah ' berumur ' di kalangan mereka selain beranggapan sebagai abang kerana perbezaan umur tersebut, akhirnya saya diberitahu oleh salah seorang bahawa ada peristiwa lucu berlaku di kalangan mereka.

Saya terlupa siapa nama rakan yang memberitahu . Namun apa yang diceritakan kepada saya, saya juga tumpang geli hati !.

Ceritanya begini....

Pada suatu petang, ada dua orang rakan rumah pondok panjang memasak bubur kacang. Ketika itu seorang rakan di bilik sebelah masuk ke situ kerana saja-saja untuk bersembang selepas mutalaah ( ulang kaji pelajar ) di sekolah

Oleh kerana sudah menjadi kebiasaan atau ' budaya ' kami di rumah pondok siapa sahaja boleh makan apa yang dia mahu di pondok orang lain, rakan yang datang bertandang tadi tanpa dipelawa lantas menyatakan ingin makan bersama-sama bubur kacang apabila telah siap dimasak.

Rakan yang memasak bubur kacang tadi jadi serba salah apabila mendengar permintaan itu !. Hendak ditolak permintaanya, dia adalah kawan . Hendak dipersetuju, bubur kacang itu cuma sedikit sahaja !

Untuk mengelakkan dari berlaku sesuatu anggapan salah, rakan yang memasak bubur kacang itu pun mencari akal. Akhirnya mendapat satu akal ' Abu Nawas "..... Bubur kacang yang dimasak tadi lantas dimasukkan garam yang berlebihan, hingga terasa masin !.

Tidak lama kemudian, rakan tadi pun datang semula. Tanpa dipelawa dia terus ambil mangkok sendiri , ambil sudu sendiri dan terus menyenduk bubur kacang tersebut. Sudu pertama bubur kacang masuk ke mulutnya lantas dia menjerit : " Hoi....bubur kacang masin ! ".

Dia pun ' belah ' masuk ke bilik pondoknya semula dengan meninggalkan bubur kacang masin masih berada dalam mangkok !.

Apabila rakan tersebut beredar, apa lagi rakan yang membuat bubur kacang itupun ketawa bersama rakan sebiliknya, sampai sakit perut !.....

Selepas itu, saya diberitahu bubur kacang masin tadi telah dibuang airnya serta ditambah dengan air baru dan dimasak semula serta dimasukkan gula. ( Untuk makluman, memang itulah cara kebiasaan kami penghuni rumah pondok memasak bubur kacang . Tanpa dimasukkan santan kelapa pun ! ..... ).

Peristiwa rakan itu tetap menjadi kenangan saya hingga ke hari ini. Saya masih terasa geli hati apabila teringat perbuatan ' nakal ' rakan-rakan tersebut.....