KEPADA ANDA SEMUA...

Rabu, 2 November 2011

CATATAN (28)

MUDIR MKW ' GARANG ' !.


Mudir di MKW , Ustaz Rashid dianggap seorang yang ' garang ' dan tegas dalam tugasan dan arahan kepada semua pelajar dan guru-guru. Beliau sendiri menyedarinya dan pernah memberitahu pelajar supaya ' melarikan diri ' apabila beliau sedang marah . Kerana dalam keadaan marah, beliau mungkin melakukan sesuatu tindakan di luar pertimbangan dan keadaan biasa !.

Walaupun demikian, beliau seorang pentadbir dan guru yang baik. Sering memberi nasihat terutama kalangan pelajar lelaki supaya menjadi orang yang berguna dengan mengamalkan segala ilmu pelajaran diperolehi di MKW. Kepada pelajar perempuan pula beliau sentiasa mengambil perhatian dan prihatin tentang keperluan dan masalah mereka yang tingggal di rumah-rumah pondok, berhampiran rumah beliau di belakang bangunan MKW.

Kerana sikap beliau tersebut, kalangan pelajar perempuan ramai yang ' sayang ' kepada beliau dan bagi pelajar lelaki pula ramai yang ' takut ' !.

Suatu hari persekolahan, seperti biasa selepas menyanyikan lagu sekolah dan lagu kebangsaan, Mudir Ustaz Rashid memberikan ucapan di hadapan pelajar yang sedang berada dalam perbarisan harian. Turut hadhir ialah semua guru MKW.

Ketika sedang pelajar sunyi senyap mendengar ucapan, tiba-tiba Mudir Ustaz Rashid meluru ke arah satu barisan pelajar lelaki kelas ibtidai ( rendah ) . Semua pelajar termasuk saya yang berada di barisan pelajar thanawi ( menengah ) memerhati ke arah mana beliau berjalan laju dengan berpakaian baju kurung dan berkain sarung ....

Rupa-rupanya ketika beliau sedang berucap tadi terdapat seorang pelajar lelaki bersembang dengan rakannya. Kalau tidak salah ingatan saya pelajar tersebut bernama Bustami, pelajar kelas ibtidai ( rendah ). Sambil menjerit menyuruh pelajar berkenaan supaya diam dari bersembang , beliau lantas mengambil seketul tanah merah kecil sedikit dari buah kelapa dan lantas melontarnya ke arah Bustami !. Bustami yang memang paham perangai beliau ketika marah, terus berlari dan keluar dari barisan....

Mujurlah ketulan tanah merah itu tidak mengenai Bustami. Kalau tidak, nahas dia !.

Semua pelajar termasuk saya merasa ketakutan melihat sikap beliau yang dilihat ' panas baran ' ketika marah. Semua guru juga terkaku.....

Namun, saya dipahamkan apabila semua murid dibenarkan masuk ke kelas masing-masing, Mudir Ustaz Rashid dikatakan menangis di pejabatnya , kerana melakukan perbuatan ' luar biasa ' tadi......

Apa yang saya merasa kagum sikap Mudir Ustaz Rashid, beliau tidak pernah menyimpan rasa dendam atau marah berlarutan kepada sesiapa yang dimarahinya. Ini jelas dilihat pada keesukan harinya beliau kelihatan ceria seperti biasa memberi ucapan kepada semua pelajar dan tidak pula memarahi Bustami ; walaupun beliau melihat Bustami hadhir dalam perbarisan hari itu !.

Saya juga pernah mendengar dari seorang guru di MKW, Ustaz Azra'e , beliau mengatakan semasa Mudir Ustaz Rashid mula-mula datang berpindah ke MKW dan dihantar oleh abang beliau , Mudir Ustaz Rashid diberitahu adalah seorang yang mempunyai perangai ' panas baran ' ketika marah. Abang beliau turut ' merasa terkilan ' dengan perangai tersebut dan berharap ianya dipahami oleh semua murid dan para guru MKW kelak.

Menurut abang beliau lagi , perangai tersebut menjadi sedikit ' kecatatan ' kepada Mudir Ustaz Rashid yang dianggap banyak ilmu pengetahuan agama dan sebagai seorang pelajar lepasan sebuah universiti terkenal di India yang mahir dalam bahasa Urdu dan tahu berbahasa Inggeris.