KEPADA ANDA SEMUA...

Selasa, 15 Februari 2011

CATATAN ( 23 )


RAKAN SAYA, MOHD.SAID BIN MARKASAN


Saya memang tidak pernah terfikir selepas tamat sekolah di Madrasah Ehyaul Falah, Sungai Besar untuk menjadi guru. Bagi saya, menjadi petani adalah pekerjaan amat sesuai dengan kebolehan dan kemahiran dalam kerja-kerja bersawah padi; walaupun saya pernah menjadi guru agama sukarela suatu ketika dulu di Kampung Parit (9) Barat , kampung kediaman saya.

Untuk makluman pembaca, selepas tamat darjah lima di Madrasah Ubudiah Parit (6), saya telah menjadi ‘ penganggur ‘ sementara waktu. Ketika itulah saya dipelawa oleh Ustaz Haji Yusof bin Shaarani untuk menjadi guru agama sukarela membantu beliau mengajar di Sekolah Agama Parit (9) , Sungai Besar, bertempat di bangunan Surau Zainal Abidin Wal Bakariah ( Tapak bangunan Sekolah Rendah Agama Al Hidayah (SRA) Parit (9) Sungai Besar sekarang ini).

Saya menerima pelawaan beliau kerana bersimpati dan memandangkan bilangan muridnya ada tiga kelas, sedangkan guru agama bertugas cuma seorang sahaja ! .

Saya bertugas di situ hanya beberapa bulan sahaja. Apabila pihak Jabatan Agama Islam Selangor menghantar seorang guru agama kerajaan sebagai tambahan, saya pun mohon berhenti. Sepanjang bertugas di situ saya telah diberikan elaun RM 15.00 sebulan !.

Kerana tidak ada cita-cita menjadi guru selepas tamat bersekolah, ibu bapa saya telah memperuntukkan sebidang tanah sawah seluas dua ekar , bersebelahan rumah di Kampung Parit (9) Barat untuk saya usahakan.

Di samping tujuan itu, saya turut melakukan sendiri kerja-kerja membuat tambak tapak rumah di atas tanah sawah tersebut. Kerana saya sudah berazam setahun dua lagi apabila wang sudah terkumpul, saya akan mendirikan rumah tangga dan menetap di situ !.

Pada suatu hari, saya berjumpa dengan seorang rakan sekolah di Madrasah Ehyaul Falah bernama Mohd. Said bin Markasan yang tinggal di Kampung Parit (7) Gambut. Beliau mempelawa saya menjadi guru sukarela di Sekolah Kebangsaan ( Rakyat ) yang ditubuhkan oleh penduduk kampungnya. Saya bersetuju membantu beliau dan diberikan elaun sebanyak RM 30.00 sebulan !.

Untuk pengetahuan pembaca, masa persekolahan di situ adalah waktu petang. Sebahagian muridnya pula adalah anak penduduk kampung di situ dan kampung berhampiran terdiri daripada murid Sekolah Kebangsaan Parit (6) yang belajar sebelah pagi dan sebahagiannya kanak-kanak yang tidak pernah bersekolah di mana-mana !.

Rakan saya , Mohd.Said adalah seorang yang gigih dan prihatin terhadap pelajaran anak-anak penduduk kampungnya. Beliau mendapat dorongan dan sokongan penduduk menubuhkan Sekolah Kebangsaan ( Rakyat ) kerana ramai kanak-kanak di situ buta huruf, lantaran tercicir atau tidak pernah bersekolah .

Untuk anak-anak mereka pergi belajar ke Sekolah Kebangsaan Parit (6) atau Sekolah Kebangsaan Parit (9) penduduk terpaksa menghantar anak mereka menggunakan basikal dengan keadaan jalan yang selalu becak waktu hujan, kira-kira (4) kilometer lebih !.

Seperkara lagi, kalau dihitung dari tarikh kelahiran, Mohd.Said lebih tua dari saya hanya sehari sahaja. Beliau selain dari berkebolehan berpidato dan berbahas serta menjadi ‘ regu ‘ saya dalam banyak pertandingan bahas peringkat sekolah dahulu , beliau turut mencurah khidmat sebagai guru agama sukarela waktu pagi di Madrasah Ehyaul Falah, Sungai Besar hingga beberapa tahun..

Selanjutnya, Sekolah Kebangsaan ( Rakyat ) yang ditubuhkan oleh Mohd. Said itu pada mulanya mempunyai murid sekitar 20 sahaja. Tetapi, apabila saya turut sama mengajar di situ, muridnya kian bertambah dan meningkat kira-kira 70 orang !.

Apa yang menariknya dalam pentadbiran sekolah itu, kami menentukan kelas belajar kepada murid-murid bukan berpandukan kepada tahap umur seperti kelaziman, tetapi berpandukan kepada tahap kebolehan murid membaca dan menulis rumi dan jawi. Kalau kebolehannya baik dia akan ditempatkan belajar dalam kelas dua dan jika sebaliknya dia akan ditempatkan dalam kelas satu ( Walaupun umurnya telah meningkat 10 tahun ! ).

Saya bertugas di situ bersama Mohd.Said hampir setahun lamanya. Saya berhenti membantu beliau apabila saya turut berhenti belajar di Madrasah Khairiah Wataniah, Pekan Selasa Lama kerana dilantik sebagai guru agama Jabatan Agama Islam Selangor ( JAIS) ke Sekolah Kebangsaan Polis Depot, Kuala Lumpur pada bulan Oktober 1967.

Sepeninggalan saya, Mohd.Said terpaksa meneruskan tugasnya seorang diri . Sekolah tersebut kemudiannya terpaksa ditutup sama sekali apabila Mohd.Said dilantik sebagai guru agama di Sekolah Kebangsaan Seri Makmur, Sungai Besar dan bertugas waktu petang.

Untuk makluman, rakan saya Mohd.Said telahpun meninggal dunia beberapa tahun lalu kerana dikatakan mengidap ‘ sakit misteri ‘. Sebelum itu beliau pernah bertugas sebagai jurunikah dan iman masjid di kariah kampungnya.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh beliau dan ditempatkan bersama roh orang yang soleh serta dilipat gandakan pahala amalan yang dicurahkan semasa hayat. Amin ya rabbal ‘alamin. Al Fatehah !