KEPADA ANDA SEMUA...

Isnin, 1 April 2013


PENGUMUMAN

Catatan saya dalam ' Nostalgia Ehyaul Falah ' telahpun ditamatkan sehingga catatan (35). Kerana rasanya telahpun 'habis' dicatatkan untuk tatapan pembaca sekalian dan juga rakan-rakan yang sama-sama belajar di Madrasah Ehyaul Falah dan juga Madrasah Khairiah Wataniah (MKW).

Catatan-catatan tersebut adalah merupakan perjalanan hidup dan pengalaman saya sebagai seorang pelajar. Insya Allah jika ada kelapangan waktu saya bercadang menulis catatan-catatan pengalaman saya sebagai guru ( pendidik) dan juga tugas sambilan saya sebagai wartawan kepada beberapa akhbar harian tanahair.


Terima kasih

Salam hormat
Elbi Risalah / jalilustaz@yahoo.com /kampongshd@gmail.com
Tarikh 01 April 2013/ 20 Jamadil AwaL 1433 H

Ahad, 31 Mac 2013

CATATAN (35)

SELAMAT TINGGAL MKW !.....



Suatu hari ( lupa tarikhnya ) saya menerima sepucuk surat dari pihak Jabatan Agama Islam Selangor. Berdebar-debar hati saya sambil membuka surat tersebut....

Saya tahu surat tersebut adalah jawapan temuduga untuk memohon jawatan guru agama. Namun kuat sangkaan saya , jawapan yang diberikan tentu mengecewakan ! . Saya bersangka begitu kerana dua sebab . Pertama, waktu temuduga dahulu saya tidak diminta oleh penemuduga terlibat untuk menunjukkan sijil kelahiran asal, sedangkan rakan-rakan lain diminta menyerahkannya untuk disemak. Kedua, waktu temuduga bahagian pengetahuan am, soalan yang bukan-bukan diajukan kepada saya !.

Selain itu, semasa hadhir temuduga ramai kenalan lelaki memakai pakaian kebangsaan bersampin. Kecuali beberapa orang sahaja yang sekadar memakai songkok dan berbaju kemeja , seperti saya. Dari segi ' ketokohan ' sebagai guru agama pastilah pakaian begitu ' kurang markah ' .

Terpegun saya seketika, apabila membaca jawapan mengatakan saya berjaya ! Surat tersebut juga mengarahkan saya melapor diri ke Sekolah Kebangsaan Polis Depot, Kuala Lumpur....( Saya seolah-olah tidak percaya jawapan begitu ).

Saya termenung seketika. Di mana letaknya sekolah yang dinyatakan oleh surat tersebut ?. Bagi saya bandar Kuala Lumpur adalah sebuah ' dunia ' yang amat asing. Manakan tidak , saya pernah datang ke Kuala Lumpur hanya beberapa kali sahaja ketika mengikuti rombongan lawatan sekolah, Madrasah Ehyaul Falah dahulu . Itupun, kalau disuruh bersiar-siar sekitar bandar sudah tentu tersesat !......

Keesukan hari, saya berjumpa dengan rakan-rakan Madrasah Ehyaul Falah yang sama-sama ditemuduga. Mereka ialah Nawari Jamhari, Sulaiman Sidek dan Tumadi Haji Saleh. Saya mendapat tahu semua mereka turut berjaya dan diarah bertugas ke sekolah tertentu.

Nawari Jamhari diarah ke Sekolah Rendah Agama Parit (6) Sungai Besar, di kampung sendiri. Sulaiman Sidek diarah ke Sekolah Rendah Agama Pasir Panjang, hampir dengan tempat tinggalnya. Tumadi Haji Saleh pula diarah ke Sekolah Jenis Kebangsaan Jalan Kuantan, Kuala Lumpur, sama seperti saya diarah ke sekolah kebangsaan di Kuala Lumpur ! .....

Pada hari yang lain saya berjumpa dan berbincang dengan Tumadi Haji Saleh tentang arahan Jabatan Agama Islam Selangot tersebut. Tumadi pun ' dua kali lima ' juga dengan saya tentang bandar Kuala Lumpur !. Cuma, Tumadi ada kenalan seorang guru yang tinggal di Kampong Baru, Kuala Lumpur yang mungkin boleh menolong kami mencarikan rumah sewa dan menunjukkan sekolah masing-masing mengikut yang diarahkan.

Masalah saya yang pertama telah selesai.....

Masalah saya berikutnya ialah bagaimana saya hendak berhenti sekolah di MKW ?. Saya paham, tentu mudir Ustaz Rashid akan marah melenting bila saya hendak berhenti sekolah di situ, sedangkan dalam borang masuk belajar dahulu saya berjanji belajar hingga tamat rabi' thanawi !.

Walaupun begitu, bila saya maklumkan kepada Ustaz Jaafar ( bekas guru saya di Madrasah Ubudiah Parit (6) dahulu ), belum mengucapkan tahniah dan menasihati saya supaya menerima tawaran. Begitu juga dengan rakan-rakan pondok , semua gembira dan mula memanggil saya dengan sebutan ' ustaz ' !.

Beberapa hari selepas menerima surat tawaran, pada hari terakhir saya bersekolah di MKW, saya memberanikan hati berjumpa dengan mudir Ustaz Rashid !.Ketika itu mudir Ustaz Rashid duduk di pejabat bersama beberapa orang guru. Ramai rakan sekelas saya mengintai apa akan berlaku .....

Secara tertib saya memberi salam dan duduk berhadapan dengan mudir Ustaz Rashid dan menyatakan saya mohon berhenti sekolah kerana dilantik menjadi guru agama. Hati saya gugup. Saya sudah nekad menerima apa saja kata-kata beliau. Bagi saya, sama ada diizinkan atau tidak pada esuk hari saya tetap mengucapkan ' selamat tinggal MKW ' !.

Alhamdulillah....sangkaan saya meleset sama sekali.  Mudir Ustaz Rashid dengan nada lembut berkata : " Kalau anta nak jadi guru agama, silalah....Ajarlah ilmu agama yang anta telah dapat di sini kepada orang lain pulak..... ". Sejuk hati saya dan hampir menitiskan air mata mendengar jawapan begitu.

Selesai urusan dengan mudir Ustaz Rashid, saya bersalaman dengan beliau termasuk guru-guru yang ada di situ. Semua mereka mengucapkan tahniah ! Apabila masuk ke kelas semula, rakan-rakan senyum bangga....

Esuk harinya saya tidak lagi hadhir ke MKW. Saya telah berhenti sekolah dengan rasminya. Selamat tinggal MKW.....Semua kenangan selama belajar di itu pasti menjadi khazanah pengalaman hidup saya pada hari muka.....

Selamat tinggal rakan-rakan dan MKW !.

Sabtu, 9 Mac 2013

CATATAN (34)

KUKU KAMBING PANJANG !



Seperti pernah saya ceritakan dalam tulisan yang lalu, guru-guru sekolah agama pondok sekitar tahun-tahun 70 an dan sebelumnya, mereka tidak mendapat gaji bulanan secara tetap dan tidak juga menerima bayaran bantuan dari pihak kerajaan. Punca pendapatan mereka bergantung sepenuhnya daripada bayaran yuran sekolah dan juga wang zakat padi daripada ibu bapa murid.

Bagi sekolah agama pondok yang mempunyai tanah wakaf seperti sawah atau kebun, sebahagian hasil ditentukan daripada tanah wakaf tersebut biasanya diserahkan kepada guru berkenaan atau diserahkan kepada beliau untuk mengusahakannya.

Bagi tujuan mengusahakan tanah wakaf tersebut, sudah menjadi kebiasaan pula kepada guru berkenaan meminta tolong kepada anak murid masing-masing untuk membantu kerja-kerja secara gotong royong pada masa-masa yang ditetapkan.

Ustaz Rashid, Mudir MKW adalah termasuk dalam golongan guru yang dinyatakan di atas.

MKW tidak ada mempunyai tanah wakaf sendiri, tetapi ada di kalangan ibu bapa murid yang bermurah hati menyerahkan tanah sawahnya untuk diusahakan beliau. Saya kurang pasti sama ada tanah sawah tersebut diserahkan secara ' percuma ' atau secara sewa dengan kadar yang ' istimewa ' ( bayarannya lebih murah dari bayaran kebiasaan ).

Tanah sawah yang dimakudkan terletak di Kampung Parit 11 Sungai Nibong di kawasan ban (2) dan keadaannya agak ' londang ' ( kawasan rendah ) . Kawasan terebut juga adalah kawasan padi kurang menjadi dan sedikit hasilnya !.

Suatu hari, Ustaz Rashid memberitahu pelajar lelaki kelas thanawi dan kelas lain yang sudah berumur supaya bergotong royong menanam padi di sawah padi yang beliau usahakan itu . Termasuk juga pelajar perempuan diminta sama-sama bergotong royong.

Pada pagi hari yang ditentukan, kami pelajar beramai-ramai menaiki basikal masing-masing menuju sawah dimaksudkan. Oleh kerana tempat tersebut jauh kira-kira tujuh kilometer , kami hanya dapat sampai hampir jam 9.00 pagi !.

Apabila kami tiba di sawah tersebut, sudah ada beberapa orang bapa pelajar sedang bekerja mencabut semai ( anak padi ) dan diikat. Tetapi, kumpulan pelajar perempuan masih belum sampai . Mereka memang diarah supaya tidak bersama kumpulan pelajar lelaki....

Saya dan beberapa rakan lelaki disuruh oleh seorang bapa murid ' menarik ' ikatan semai ke beberapa tempat , sebagai persediaan memulakan kerja menanam anak padi.

Kali pertama saya menjejakkan kaki ke dalam sawah tersebut, saya sudah dapat tahu ' tanah ' di situ adalah 'londang '  Di beberapa kawasannya air dalam sampai ke lutut ( kira-kira dua kaki ). Saya terfikir, siapa yang menggunakan ' kuku kambing ' pendek, alamat air sawah sentiasa terpercik ke muka bila kuku kambing di benamkan bersama anak padi . Mujur kuku kambing saya panjang kira-kira tiga jengkal !.

Selang beberapa ketika kumpulan pelajar perempuan pun sampai....Mereka diarah Ustaz Rashid supaya menanam padi di bahagian belakang sawah. Tidak boleh berkumpul dengan pelajar lelaki yang berada di bahagian ' kepala ' sawah . Pelajar lelaki sesama pelajar lelaki, pelajar perempuan hanya sesama pelajar perempuan saja !.

Mungkin sukar saya gambarkan bagaimana cara menanam padi dalam tulisan ini. Sekadar makluman kepada pembaca yang tidak pernah melihatnya, boleh digambar seperti berikut :

1. Serumpun anak padi dipegang dengan tangan bersama dengan kuku kambing dan sebelah tangan pula mencarik dua atau tiga anak padi dan diletak pada ' mata ' kuku kambing untuk di benam ke dalam tanah.
2. Menanam padi adalah secara berundur dan membongkokkan badan sepanjang masa, kecuali ketika mengambil rumpun padi yang baru atau kerana pinggang sakit membongkok  !.
3. Seorang penamam padi biasanya menanam anak padi sebanyak tiga baris atau empat baris sekali jalan.
4. Mereka yang mahir menanam padi , boleh membenamkan anak padi dengan pantas hingga sukar dilihat bila masa akar anak padi diletakkan pada mata kuku kambing !.
5. Jika penanam padi ramai bilangannya, mereka akan menanam bersama-sama dalam kumpulan secara berbaris. Mereka yang mahir menanam padi akan berada di bahagian tepi sekali diikuti oleh yang lain.
6. Terdapat seorang atau dua orang pembantu untuk membelah / mengoyak rumpun padi yang agak besar dan menaburnya di sekitar kawasan yang akan dilalui oleh penanam padi tersebut. Mereka juga bertugas  mengambil rumpun padi yang tertinggal dalam kawasan yang telah ditanam.

Setelah semua pelajar hadhir, kami pelajar lelaki pun diarah menanam anak padi  di kepala sawah berhampiran jalan kampung....

Ketika saya mengeluarkan kuku kambing yang dibalut dengan kertas surat khabar, beberapa orang rakan saya bertanya ( sambil memerli ) kenapa bawa kuku kambing panjang yang boleh dibuat tongkat ?. Apabila saya ditanya secara sindiran/ perli, saya pun menjawab dengan cara yang sama juga !.

Saya menjawab, " Kuku kambing yang boleh dibuat tongkat inilah nanti yang sampai dulu ke hujung dan yang pakai kuku kambing pendek pula takut-takut asyik kesat muka saja!..... ".

Diringkaskan cerita, kami pelajar lelaki pun mula menanam anak padi mengikut cara yang dicatat di atas...

Apa yang saya katakan tadi memang menepati dengan apa yang berlaku. Beberapa orang di antaranya sudah mula menyapu air yang terpercik ke muka , kerana kuku kambing pendek dan tenggelam ke dalam air hingga menyebabkan air terpercik apabila dibenamkan ke tanah.

Secara bergurau saya bertanya balik kepada mereka , " Orang menanam padi biasanya tangan saja yang  basah, tapi kenapa pula kali ni ada yang asyik sapu muka !.....".

Ramai yang ketawa, hinggakan Ustaz Rashid yang berdiri jauh dari kumpulan kami terpinga-pinga tidak tahu punca keadaan berlaku.