DIPILIH JADI KETUA FIRQAH
Madrasah Ehya Ul Falah pada waktu itu mempunyai dua aliran waktu persekolahan . Iaitu sekolah agama aliran Bahasa Melayu ( Kelas Khas Agama ) dan aliran Bahasa Arab ( yang mempunyai peringkat ibtida’ dan rabi’ thanawi ). Kedua-dua aliran sekolah ini mempunyai pentadbiran berbeza dan diketuai oleh dua orang mudirnya ( guru besar ). Bahkan, bangunan sekolahnya juga seolah-olah dibahagi dua untuk murid belajar !. ( Bahagian kanan bangunan sekolah, dari blok bangunan hadapan dan belakang diduduki oleh murid-murid aliran agama Bahasa Melayu dan di bahagian kiri pula diduduki oleh murid-murid aliran Bahasa Arab..
Sekolah agama aliran Bahasa Melayu mudirnya Ustaz Haji Sobari bin Othman manakala mudir aliran Bahasa Arab ialah Ustaz Haji Arshad Subky bin Haji Saman. Ustaz Haji Sobari tinggal di rumah guru berhampiran bangunan sekolah dan Ustaz Haji Arshad Subky berulang alik setiap hari dengan kenderaan motorsikal hitam jenis Honda 90cc ke rumah beliau di Kampong Parit (5) Timur, Sungai Besar.
Pada waktu itu, semua murid dari kedua-dua aliran ini bergaul mesra setiap hari pada waktu rehat di kanten dan juga semasa diadakan kerja gotong royong sekolah pada hari cuti. Semasa perbarisan setiap pagi juga mereka berada dalam satu kawasan lapang di tengah-tengah bangunan sekolah yang berbentuk empat persegi. Cuma sekadar mereka berbaris berasingan, mengikut kelas masing-masing. Aliran Bahasa Melayu pada bahagian kanan dan pada bahagian kiri murid aliran Bahasa Arab.
Seperti sekolah-sekolah yang lain, murid yang belajar di Madrasah Ehya Ul Falah juga mempunyai ketua-ketua darjah dan ketua-ketua murid lainnya, di samping terdapat seorang ‘ Ketua Umum ‘ dan jawatan ‘ Penolong Ketua Umum ‘ yang dilihat seolah-olah mempunyai kuasa ke atas semua murid sama ada aliran Bahasa Melayu atau aliran Bahasa Arab. Pemilihan Ketua Umum ini dilakukan dalam mesyuarat bersama yang diadakan oleh kalangan murid kedua-dua aliran tersebut.
Selain itu , setiap aliran sekolah mempunyai aktiviti ( kokurikulum ) yang dinamakan ‘ Majlis Latihan ‘ . Diadakan pada setiap minggu dan dikelolakan oleh kalangan murid sendiri. Kalau tidak salah ingatan saya, ia diadakan pada setiap hari Rabu selepas waktu rehat hingga waktu tamat persekolahan. Acara dalam Majlis Latihan itu termasuklah bacaan Quran, bacaan rawi , nasyid, deklamasi sajak. bersyair, syarahan atau pidato , termasuk juga membaca cerpen.
Sebagai acara kemuncak kepada Majlis Latihan ini, pada setiap hujung tahun turut diadakan acara ‘ ihtifal ‘ ( Pertandingan Kecemerlangan ) secara besar-besaran dan dilakukan berasingan antara dua aliran sekolah. Biasanya ihtifal diadakan pada waktu malam hari di padang halaman sekolah dan turut sama disertai acara pertandingnnya oleh wakil dari sekolah-sekolah agama lain yang dijemput khas !.
Bagi menjayakan Majlis Latihan diadakan pada tiap minggu, semua murid bagi kedua-dua aliran sekolah ini dibahagi mengikut ‘ firqah ‘ masing-masing. Meliputi murid dari darjah paling bawah hingga darjah paling tinggi.
Semasa diadakan pembahagian firqah bagi murid Kelas Khas Agama, saya telah dipilih sebagai ketua firqah ( namanya dah lupa ! ) . Selain saya turut dipilih beberapa orang rakan lama sebagai ahli jawatankuasa dalam firkah yang sama. Sebagai ketua, saya diberikan tugas menyediakan peserta-peserta dalam semua acara semasa Majlis Latihan diadakan dan juga untuk ‘ melatih ‘ mereka !.
Saya kurang pasti, kenapa saya dipilih sebagai ketua firqah semasa mesyuarat murid diadakan. Padahal saya adalah murid baru di sekolah itu dan ada ramai rakan-rakan lama saya di Kelas Khas Tahun (2) yang sebaya. Mungkinkah kerana mereka tahu latar belakang saya semasa bersekolah di Madrasah Ubudiah Parit (6) , pernah memegang jawatan ketua firqah dan pernah menang dalam berbagai pertandingan ihtifal di sekolah lain dan sempena Minggu Bahasa Kebangsaan peringkat Daerah Sabak Bernam, menjadi ukuran mereka ?. Wallahu ‘alam…..
Oleh kerana saya telah dipilih sebagai ketua firqah, maka pergaulan saya dengan murid lain dalam firqah sama dengan murid lelaki atau perempuan terpaksalah ‘ ligat ‘ sedikit dan tidak boleh bersikap pemalu seperti masa lalu. Kini saya dibelenggu sekali lagi oleh perasaan takut selain terpaksa buat ‘ muka tebal ‘ apabila bercakap dengan peserta firqah saya dari kalangan murid perempuan yang perlukan tunjuk ajar !......
Oleh kerana segala-galanya sudah terpaksa, saya cuba tabahkan hati dan ikhlaskan niat kerana menunaikan tanggungjawab dan amanah diberikan !. Semasa menjalankan tugas itu, barulah saya kenal kepada Siti binti Mat Wali ( rakan sekelas yang kemudiannya jadi isteri kepada guru saya, Ustaz Khojali bin Haji Abd.Hamid ) dan juga Asiah binti Idris ( anak Tuan Nazir Sekolah Agama Daerah Sabak Bernam yang sekarang menjadi isteri kepada Cikgu Haji Satari bin Sadak . Mereka suami isteri menetap di rumah sendiri di kawasan Pekan Sungai Besar ) dan beberapa orang lagi kalangan murid perempuan dalam kelas yang sama sepeti Suriah binti Abd.Razak, Jasimah binti Samsuri, Salbiah binti Sidek, Salbiah binti Mansor ( sudah meninggal ) dan murid-murid kelas-kelas lain.
Lantaran tugas diamanahkan itu juga rupa-rupanya dengan tidak secara langsung telah mengubah sikap dan tabiat saya yang amat pemalu ketika bercakap dengan murid perempuan dan sering merasa rendah diri dengan kebolehan dan kemampuan orang lain kepada sikap berani dan bertanggungjawab . ( Saya sering memberitahu kepada murid-murid sebagai motivasi mereka - semasa bertugas sebagai guru dahulu - bagaimana saya boleh berjaya dalam kehidupan hari ini kerana mempunyai sikap tabah dan keazaman yang kuat, di samping mengetahui ‘ kekuatan ‘ sedia ada pada diri sendiri sebagai memulakan perjuangan seterusnya… )
Tiada ulasan:
Catat Ulasan