SEMUA BERMULA 20 OKTOBER 2007
Muqaddimah
Saya pernah dikunjungi oleh Guru Besar, Sekolah Rendah Agama Ehya Ul Falah, Sungai Besar, Ustaz Mohd. Ali bin Manjok. Kedatangan beliau bersama keluarga selain untuk ziarah Hari Raya, juga menyampaikan surat undangan ke Majlis Sambutan Hari Raya, anjuran guru dan bekas pelajar sekolahnya yang diadakan pada 20 Oktober 2007 ( Sabtu ) bermula jam 9.30 pagi.
Sebenarnya, sebelum itu saya sudah menerima satu surat jemputan yang sama . Saya tidak tahu siapa yang menghantarnya ke dalam peti surat di rumah. Walau bagaimanapun saya mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Mohd.Ali kerana begitu prihatin, dengan menghantar sendiri surat jemputan seumpamanya. Saya juga memberikan ‘ janji ‘ akan hadir bersama dalam majlis tersebut.
Tujuan kehadiran saya selain ingin ‘ menjenguk ‘ kembali dan bertemu dengan para guru sekolah tempat saya pernah bertugas sebagai Guru Besar di sekolah itu , juga untuk bertemu wajah dengan kawan-kawan lama yang pernah sebumbung belajar di sekolah tersebut dalam tahun-tahun 60an dahulu. Terutama mereka yang bertugas di luar Daerah Sabak Bernam.
Jangkaan saya benar. Apabila saya hadir pada majlis diadakan, memang ramai kawan-kawan lama saya temui semula. Sebahagian turut hadir , memang saya tidak kenali mereka. Kerana mereka bersekolah selepas saya telah tamat belajar di situ. Namun ada di antara mereka telah sedia mengenali saya. lantaran waktu itu mungkin mereka baru masuk belajar dalam darjah satu atau darjah dua ketika saya belajar hampir tamat pada tahun 1966 !.
Memang banyak ‘ nostalgia ‘ bila berjumpa rakan-rakan lama !….
Selepas kembali ke rumah , maka tergerak hati saya untuk mengabadikan nostalgia yang pernah saya lalui untuk tatapan rakan-rakan, malah kepada siapa sahaja yang pernah sama-sama belajar di Madrasah Ehya Ul Falah ( Sekarang dikenali sebagai ‘ Sekolah Rendah Agama (SRA) Ehya Ul Falah, Sungai Besar ‘).
Saya berhasrat, selain memaparkan nostalgia peribadi sendiri di sekolah itu, saya ingin berkongsi sama dengan rakan-rakan lain untuk memaparkan nostalgia masing-masing pula di dalam ‘ blogs ‘ ini ( jika ada ....)
Kepada rakan-rakan yang berhasrat menyumbangkan nostalgaia mereka , bolehlah menghantarnya melalui email saya yang tertera . Jika ada gambar-gambar berkaitan juga amat dialu-alukan.
Cukup setakat itu untuk kali ini. Insya Allah apabila ada kesempatan saya akan muatkan nostalgia dimaksudkan, di samping maklumat semasa ( jika ada ) yang berkaitan dengan Sekolah Rendah Agama (SRA) Ehya Ul Falah, Sungai Besar.
Salam hormat dari saya:
Ustaz Haji Ab.Jalil Bin Embut
( ELBI RISALAH )
Tel: 019-9114470 / 03-3224 2398 ( rumah )
Email: ustazjalil@yahoo.com/ ustazjalil@hotmail.com / elbi@mypbm.org
Dicatat: 20 /10/ 2007
Tiada ulasan:
Catat Ulasan