KEPADA ANDA SEMUA...

Khamis, 24 September 2009

CATATAN LIMA

TINGGAL DI RUMAH ‘ PONDOK ‘


Masa persekolahan bagi murid yang belajar dalam Kelas Khas waktu itu ditetapkan pada sebelah pagi. Bermula jam 8.00 pagi hingga jam 12.30 tengah hari. Manakala bagi murid darjah rendah mereka belajar pada waktu petang bermula jam 2.00 petang hingga jam 5.30 petang.

Sejak mula berlajar dalam Kelas Khas Satu hingga hujung tahun, saya terpaksa berulang alik setiap hari dari rumah di kampong Parit (9) Barat ke sekolah dengan menggunakan basikal. Jauhnya kira-kira 8 kilomter melalui jalan raya yang ditambak dengan tanah merah. Perjalanan dari rumah saya ke sekolah kira-kira setengah jam dengan menunggang basikal.

Pada setiap hari saya terpaksa menunggang basikal bermula pada jam tujuh pagi atau lewat sedikit, menuju ke sekolah walaupun pada hari tersebut keadaan cuaca adalah hujan !. Bagi mengelakkannya dan juga dari cahaya panas waktu balik sekolah, saya membawa bersama sebatang payung kertas pada tiap hari. Payung tersebut saya ikat di belakang basikal pada tempat duduk penumpang jika tidak digunakan.

Sekitar tahun 60an sepanjang jalan raya dari pekan Sungai Besar hingga ke pekan Bagan Terap masih belum diturap dengan turapan tar. Oleh kerana itu , pada waktu tengah hari terutama ketika cuaca panas habuk tanah merah akan berterbangan ke udara apabila setiap kali kenderaan motorsikal melawati jalan tersebut dan mengotori pakaian orang lalu lalang di situ .

Bagi mengelakkan keadaan itu, setiap hari apabila waktu balik dari sekolah saya sering menggunakan jalan kedua, sebelah parit besar yang masih belum ditambak tanah merah. Jalan di situ kebanyakannya hanya digunakan oleh orang ramai yang menggunakan basikal sahaja serta keadaannya pula sempit. Pada tempat-tempat tertentu seperti antara Parit 3 hingga ke Parit 4 atau dari Parit 6 hingga ke Parit 8 , jalan di situ kebanyakannya dipenuhi semak samun rumput lalang yang sukar dilalui kenderaan basikal !.

Pada tahun 1964 semasa saya masuk belajar dalam Kelas Khas Dua, ada beberapa orang rakan sedarjah saya yang pergi ke sekolah menggunakan kenderaan motorsikal sendiri ( kerana ibu bapa mereka boleh dikatakan ‘ orang berada ‘ ). Seperti Baharuddin Haji Ramli ( meninggal dunia ), Ahmad Ismail Haji Kornain – tinggal di kampong Parit 8 Timur – Nawari Jamhari dan Zaini Haji Musa – tinggal di kampong Parit 5 Barat.

Kerana itu, apabila waktu pergi dan balik dari sekolah setiap hari, saya tinggal keseorangan menunggang basikal . Rakan-rakan sekelas seperti yang saya sebutkan di atas masing-masing telahpun mendahului perjalanan saya……

Kebetulan pada tahun tersebut ada beberapa murid yang telah tamat belajar dalam Kelas Khas Dua dan mereka berjaya dilantik menjadi guru agama oleh Jabatan Agama Islam Selangor ( JAIS sekarang ) . Beberapa orang di antara mereka waktu itu telah memiliki ‘ rumah pondok ‘ yang dibina di atas tanah kebun kelapa kepunyaan Cikgu Haji Jais ( tidak jauh dari sekolah Ehya Ul Falah dan berhampiran dengan kawasan tanah perkuburan Islam di belakang Masjid Jamek Makmuriah, Sungai Besar sekarang ).

Beberapa orang di antara murid yang memiliki rumah pondok tersebut dan berjaya menjawat jawatan guru agama telah menjualnya pula kepada murid lain. Dalam kesempatan itu seorang murid darjah lima bernama Ibrahim bin Othman yang tinggal di Parit 11 Timur, telah membeli salah sebuah rumah pondok yang hendak dijual dalam kawasan situ.

Bapa beliau yang mengenali bapa saya di kampong , telah berjumpa dan menawarkan kepada saya untuk tinggal bersama anaknya dalam sebuah rumah pondok yang telah dibelinya dari seorang murid yang berjaya menjadi guru agama bernama Mukapit bin Murati ( sekarang sudah bersara dan menetap di Pekan Pasir Panjang, Sekinchan ) . Untuk tujuan itu, saya berkongsi membelinya dengan membayar wang RM 30.00 ( kalau tidak salah ingatan saya ) .

Selepas berkongsi membeli rumah pondok, kira-kira suku tahun pertama tahun 1964 , saya sudah tidak lagi berulang alik dari kampong ke sekolah setiap hari dengan menunggang basikal. Saya hanya balik ke rumah hanya pada hari cuti sekolah atau kerana mengambil beras !.

Untuk makluman, rumah pondok yang saya duduki bersama dengan Ibrahim bin Othman hanya berukuran kira-kira 8 kaki lebar dan 10 kaki panjang dengan menggunakan empat batang tiang beloti berukuran tiga kali tiga inci !. Beratap dan berdinding daun nipah. Tidak ada kemudahan api letrik dan tidak ada kemudahan air untuk minum selain hanya ada sebuah telaga untuk mandi di kawasan situ….

Namun sejak tinggal di rumah pondok tersebut , saya telah berjaya menumpukan masa kepada pelajaran pada tiap hari, berbanding semasa tingggal di kampong. Waktu hendak pergi ke sekolah juga tidak perlu keadaan gopoh gapah dan pada waktu petang pula saya boleh mengulangkaji pelajaran di rumah pondok atau bermain sepak takraw atau badminton di padang sekolah bersama rakan sepondok.

Sesungguhnya, pengalaman tinggal di rumah pondok suatu yang tidak dapat saya lupakan hingga ke hari ini !

Tiada ulasan:

Catat Ulasan