KEPADA ANDA SEMUA...

Jumaat, 13 Ogos 2010

CATATAN EMPAT BELAS

PELAJARAN AKADEMIK DI SEKOLAH AGAMA


Anggapan masyarakat kepada pelajar berkelulusan sekolah agama sebagai ‘ kelas dua ‘ , ketika saya bersekolah dahulu , mungkin disebabkan pelajar yang berkelulusan sekolah agama sama ada aliran Arab atau alairan Melayu semata-mata sesuai menjawat jawatan guru agama sahaja. Bidang pekerjaan lain untuk mereka sebenarnya terus tertutup !.

Kerana itu rakan sekelas saya yang berjaya menjawat jawatan guru agama hanya seramai lima orang sahaja , walaupun yang lainnya ramai telah lulus peperiksaan. Mereka yang menjadi guru agama ialah saya sendiri, Tumadi bin Haji Saleh, Sulaiman bin Sidek, Nawari bin Jamhari dan Arbaiyah binti Mohd.Nor. Yang lain-lain sama ada lelaki atau perempuan, selepas tamat terus berhenti sekolah dan bekerja di kampung seterusnya mendirikan rumah tangga…. .

Menyedari hal tersebut , ( mungkin ? ) pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) waktu itu telah ‘ mengubah ‘ sedikit dasar pelajarannya dengan memasukkan dua mata pelajaran akademik dalam sukatan pelajaran Darjah Khas Menengah ( ketika saya menuntut dalam Darjah KhasTahun (3).

Walaupun demikian, untuk pelajaran sekolah agama aliran Arab, seingat saya tidak ada pelajaran akademik dimasukkan dalam sukatan pelajaran mereka. Maksudnya, semua mata pelajaran mereka tertumpu kepada pelajaran agama semata-mata dan bahasa pengantarnya semua dalam bahasa Arab dan menggunakan tulisan jawi seratus peratus !.

Dua mata pelajaran akademik untuk Darjah Khas Menengah dimaksudkan ialah sejarah dan Bahasa Melayu. Buku teks digunakan untuk pelajaran sejarah ialah ‘ Sejarah Dunia ‘ dan pelajaran Bahasa Melayu ialah ‘ Kursus Bahasa Kebangsaan ‘ siri pertama hingga siri keempat ( Untuk Darjah Khas Menengah 1 hingga Darjah Khas Menengah 4 ).

Dengan wujudnya mata pelajaran akademik di sekolah agama, secara kebetulan telah memberi sedikit ‘ kelebihan ‘ kepada saya untuk ‘ mengatasi ‘ markah dalam peperiksaan penggal dan akhir tahun berbanding rakan sekelas yang juga baik dalam pelajarannya .

Pelajaran Bahasa Melayu memang menjadi pelajaran terbaik saya sejak sekolah rendah lagi ( Sekolah Melayu ) , berbanding dengan mata pelajaran lainnya. Jadi, apabila pelajaran Bahasa Melayu diwujudkan dalam sukatan pelajaran Darjah Khas Menengah, ianya seperti suatu ‘ kebiasaan ‘ untuk saya mendapat markah terbaik dan sekaligus dapat mengatasi markah rakan-rakan sekelas bagi mendapatkan jumlah markah tertinggi keseluruhan berbanding mereka .

( Saya mencatakan hal bukan bermakna saya ‘ sombong ‘ dengan kebolehan saya dalam pelajaran sepanjang bersekolah di Madrasah Ehyaul Falah. Tetapi, sekadar untuk menjelaskan suatu rahsia kenapa saya tetap berjaya mendapat tempat pertama dalam peperiksaan setiap kali diadakan pihak sekolah ).

Dengan adanya pelajaran Bahasa Melayu di Darjah Khas Menengah, saya telah dapat mempelajari dengan lebih mendalami selok beluk Bahasa Melayu, terutama dalam bahagian karangan. Guru mata pelajaran Bahasa Melayu kelas saya ialah Ustaz Ghazali bin Abd.Hamid berasal dari Kampung Sijangkang, Klang – Terima kasih ustaz ! )

Dalam tempuh itu juga , saya sudah mula berjinak-jinak menulis berita dan karangan lain dalam akhbar. Kadang kala hasil tulisan saya tersiar dan kadang kala ‘ tenggelam ‘ kerana telah masuk bakul sampah pihak penyunting akhbar !.

Akhbar tempat saya ‘ berlatih ‘ ( tapi tanpa pengetahuan dalam bidang penulisan/ kewartawanan atau panduan dari sesiapa pun - pakai hentam saja ! ) ialah akhbar Utusan Kanak-Kanak kemudian ditukar kepada Utusan Pelajar, terbitan Kumpulan Utusan Melayu Berhad.

Menyedari lebih banyak tulisan yang dihantar ke pihak akhbar masuk bakul sampah penyunting berbanding yang disiarkan ( tanpa dapat apa-apa bayaran pun ! ) , saya telah menaruh azam dan berjanji dengan diri sendiri untuk belajar menjadi penulis, jika ada peluang dan mempunyai sumber kewangan mencukupi untuknya suatu masa nanti !.

Al hamdulillah, setelah saya menjadi guru agama azam tersebut telah tertunai. Saya berpeluang mengikuti kursus kewartawanan secara pos dan amali dengan Yayasan Bakti, Kampung Baru , Kuala Lumpur di bawah kelolaan Encik Abd.Ghani bin Ahmad yang pernah bertugas di akhbar Kumpulan Utusan Melayu.

Selain dari beliau sendiri menjadi penceramah amali penulisan / kewartawan, penceramah undangan lain ialah Encik Subkey Latif ( Sekarang penulis kulom akhbar Harakah Daily ) dari wartawan Utusan Melayu waktu itu dan untuk bidang fotografinya ialah ‘ Pak Wan ‘ dari Redzuan Fotomedia , Kuala Lumpur.

Nampaknya, berikutan wujud pelajaran Bahasa Melayu dalam Darjah Khas Menengah waktu itu telah mendorong saya meneroka jauh dan berjaya dalam bidang kewartawanan yang saya minati dan turut diterima oleh akhbar Kumpulan Utusan Melayu sebagai pemberita sambilan ( stringer) bagi Kawasan Sabak Bernam - Tanjong Karang mulai awal tahun-tahun 80an hingga akhir tahun 90an. Akhbar terakhir saya bertugas sebagai stringer ialah dengan akhbar Berita Harian, atas dorongan rakan seangkatan , Encik Saring bin Siraj ( Esmas Saring ) dari Klang.

Namun, segalanya adalah sebagai nostalgia hidup saya dan ianya telahpun berlalu. Kerjaya dalam bidang penulisan / kewartawanan di media cetak telah ‘ tamat’ untuk saya . Sekarang saya meneroka bidang lain yang lebih mencabar pula !.

Jumaat, 6 Ogos 2010

CATATAN TIGA BELAS

' TUAH ' PEN PILOT.

Semasa bersekolah rendah ( Sekolah Melayu ) dahulu, murid-murid dibenarkan menggunakan pen hanya setelah mereka ‘ naik darjah ‘ empat. Sebelum itu, untuk murid darjah satu mereka hanya menggunakan papan batu dan kalam. Apabila masuk darjah dua dan tiga, barulah mereka menggunakan buku dan pensil.

Pen digunakan oleh murid darjah empat hingga darjah enam dikenali sebagai ‘ pen celup ‘. Mata pen celup ini boleh ditukar ganti untuk kegunaan menulis tulisan rumi – bentuknya tajam – dan untuk menulis tulisan jawi – bentuk tumpul . Setiap kali hendak menulis, pen tersebut terpaksa dicelup pada dakwat yang sedia diisi dalam botol dakwat.

Saya masih ingat, waktu mula-mula menggunakan pen celup, tulisan saya sangat comot. Kerana tidak tahu untuk menyukat berapa banyak dakwat berada pada mata pen untuk kegunaan tulisan diperlukan. Malah kadang kala , botol dakwat yang diletak dipermukaan meja tulis tumpah ke atas buku atau mengenai pakaian apabila bangku bergerak terkena tangan atau tersepak oleh kaki mereka yang lalu lalang.

Bagi mengelakkan tulisan jangan comot, cikgu menyarankan supaya menggunakan ‘ kertas lap ‘ yang boleh dibeli di kedai. Bagi menggantikan kertas lap, boleh juga digunakan kapur tulis. Tetapi, cikgu amat melarang sesiapa ‘ mencuri ‘ kapur tulis untuk dijadikan kerta lap dan boleh dikenakan denda !.

Seingat saya, harga sehelai kerta lap berukuran A4 hanya 20 sen . Kertas lap ini boleh dipotong kecil selebar 2X3 inci untuk penjimatan. Kerana latar belakang keluarga saya terdiri dari golongan miskin ( malah waktu bersekolah rendah amat jarang ibu bapa memberi wang sekolah. Walaupun setakat 10 sen sehari ! ) , saya terpaksa membuat sendiri kertas lap dari kertas lukisan yang telah diguna, kemudian direndam ke dalam air semalaman dan keesukan harinya baru dijemur untuk dikeringkan. Itulah kertas lap yang saya gunakan !.

Waktu bersekolah di Madrasah Ehyaul Falah ,saya tidak lagi menggunakan pen celup. Hampir semua rakan saya telah menggunakan pen ‘ dakwat basah ‘ semasa menulis pelajaran berbanding dengan pen ‘ dakwat kering ‘ ( ball pen ).

Pada masa itu ‘pena mata bulat ‘ boleh dikatakan tidak popular penggunaannya di kalangan murid dan juga kalangan guru; tambahan pula tidak terdapat banyak jenamanya dan sukar hendak dibeli , seperti masa sekarang.

Ada terdapat beberapa jenama pen dakwat basah dalam pasaran . Jenama paling terkenal ketika itu ialah pen ‘ paker ‘. Kalau tidak salah ingatan saya, harga sebatang pen paker tersebut sekitar belasan ringgit juga !.

Sebagai seorang murid , saya tidak mampu hendak membeli pen jenis tersebut. Walaupun ia dikatakan baik dan ada ‘ ada gaya orang kaya ‘ . Saya sekadar mampu membeli jenama ‘ pilot ‘ sahaja..... Harganya sekitar RM 2.50 sebatang. Pen jenis itulah menjadi kegemaran dan pilihan saya sejak bersekolah di Madrasah Ehyaul Falah hingga saya menjawat jawatan sebagai guru. Warna yang saya minati pula ialah warna hitam atau hijau tua.

Waktu itu ada juga di kalangan rakan sekelas menggunakan pen jenama dikenali sebagai ‘ Paker Cina ‘ . Pen tersebut harganya cuma sekitar RM 2.00 sahaja. Kelebihan pen jenis ini matanya amat luar biasa dari segi ketahanannya, hingga mampu ‘ ditombak ‘ ke permukaan meja tulis yang diperbuat dari papan , tetapi tidak rosak atau bengkok !.

Pen jenis Paker Cina ini memang banyak dijual di pekan-pekan sari sekitar Daerah Sabak Bernam waktu itu. Peniaganya pula memang sentiasa membuat demontrasi ketahan pen tersebut dengan memacak mata pen tersebut ke atas sekeping papan.

Berbalik kepada pen jenama pilot kegemaran saya tadi , pen tersebut bagi saya ada ‘ kelebihan ‘ tersendiri yang tidak ada pada pen jenama lain. Selain ‘ lembut ‘ digunakanan waktu menulis, mata pen tersebut juga boleh diasah dan dibentuk menjadi pen khat jawi - Lebih 95 peratus pelajaran harian di sekolah waktu itu adalah menggunakan huruf jawi .

Kenapa saya bercerita dengan panjang lebar mengenai pen pilot tersebut ?. Ceritanya begini…..

Semasa murid berkelulusan Darjah Khas Tahun (2 ) atau lebih dikenali dengan ‘ darjah tujuh ‘ mendapat borang tawaran untuk menjadi guru agama Jabatan Agama Islam Selangor, seorang pelajar perempuan bernama Siti Sariah binti Habib yang belajar bersebelahan dengan kelas saya telah meminjam pen pilot saya untuk mengisi borang berkenaan.

Beliau memberitahu , tujuan meminjam pen pilot kepunyaan saya untuk mengisi borang calon guru agama kerana ‘ konon ‘ pen saya itu bertuah ! ( Mungkin sebagai gurauan semata-mata !..….Mungkin juga beliau beranggapan ianya sebagai bertuah kerana saya sentiasa mendapat tempat pertama dalam peperiksaan penggal dan akhir tahun selama bersekolah di situ, dengan menggunakan pen pilot tersebut untuk menulis tiap hari . Wallahu ‘alam…)

Tanpa sebarang anggapan apa-apa, saya pinjamkan pen tersebut untuk beliau mengisi borang calon guru agama kepunyaannya….

Selang tidak lama kemudian, suatu hari Siti Sariah datang menemui saya di kelas ( Waktu itu beliau telah tidak bersekolah lagi kerana telah tamat belajar ). Beliau memberitahu saya dan rakan sekelas ketika itu, beliau telah berjaya menjadi guru agama dan mengucapkan terima kasih kepada saya kerana memberi beliau pinjam pen pilot yang dianggapnya sebagai bertuah untuk mengisi borang calon guru agama dulu !.....

Saya mengucapkan tahniah di atas kejayaan beliau dan dalam hati saya berharap pen pilot tersebut akan turut memberi ' tuah ' pula kepada saya sebagai tuan punya pen…..

Dan secara kebetulan , pen pilot tersebut telah saya gunakan untuk menjawab soalan dalam peperiksaan tahun akhir dan juga mengisi borang calon guru agama ( beberapa tahun kemudiannya ) Alhamdulillah, saya juga telah berjaya menjadi guru agama seperti Siti Sariah binti Habib !.

Selasa, 20 Julai 2010

CATATAN DUA BELAS

RAGAM-RAGAM RAKAN SEKELAS

Selama empat tahun sama-sama belajar di Madrasah Ehyaul Falah, pasti kita boleh kenal ragam rakan-rakan sekelas. Sama ada ragam kalangan rakan lelaki mau pun rakan perempuan. Apabila terkenang berbagai ragam mereka, perjalanan masa yang berlalu telah berdekad-dekad, dirasakan seperti baru berlaku setahun dua sahaja !.

Rakan di kelas tahun akhir yang saya ingat di kalangan lelaki ialah : Baharuddin bin Sabri, Ahmad Ismail bin Kornain, Nawari bin Jamhari, Zaini bin Musa, Mastor bin Yusof, Ismail bin Awang, Yahya bin Awang, Sarmani bin Sarmadi, Ishak bin Ahmad, Tumadi bin Haji Saleh, Sulaiman bin Sidek, Ibrahim Haji Saari dan Shuhod bin Katijo.

Dikalangan murid perempuan pula ialah : Suriah binti Abd.Razak, Arbaiyah @ Rabiatul Adawiah binti Mohd.Nor, Sharifah binti Hasan, Salbiah binti Mansor, Safiah binti Haji Arshad, Maznah binti Abd.Rahman, Asmah binti Dahlan, Siti bin Mat Wali , Salbiah binti Sidek, Siti Fatimah binti Ahmad, Rosiah binti Alias dan Seri Banun binti Haji Ishak.

Di antara mereka ada sebahagiannya masuk ke Madrasah Ehyaul Falah kerana melanjutkan pelajaran dari sekolah lain, seperti Tumadi bin Haji Saleh , Sulaiman bin Sidek dan Arbaiyah @ Rabiatul Adawiah binti Mohd.Nor.

‘ Ragam ‘ rakan-rakan sekelas tersebut bolehlah saya bahagikan kepada beberapa kategori. Ada kategori rakan yang ‘ suka menyakat / mengejek ‘ rakan sekelas hingga kadangkala berlaku pertengkaran kecil . Mereka yang dalam kategori ini di antaranya ialah Nawari bin Jamhari, Zaini bin Musa, Baharuddin bin Sabri, Salbiah binti Sidek, Ibrahim bin Haji Saari dan Sharifah binti Hasan.

‘ Kategori kena sakat / ejekan ‘ pula selalunya ialah Shuhod bin Katijo dan Ishak bin Ahmad. Mereka berdua ini memang selalu’ disakat ‘ rakan-rakan sekelas, mungkin kerana sikapnya yang suka berdiam diri dan sekadar ‘ senyum ‘ apabila kena sakat, walaupun yang melakukannya murid perempuan !.

Shuhod bin Katijo adalah seorang rakan yang pemalu dalam kelas, manakala Ishak bin Ahamd pula beliau ada mempunyai sedikit ‘ penyakit hilang ingatan ‘ . Kadangkala beliau terhenti serta merta dari bercakap apabila berlaku ‘ hilang ingatan ‘ sama ada ketika berbual-bual atau ketika menjawab soalan guru. Saya amat simpati kepada dua orang rakan ini !.....

Selain itu ada pula rakan yang termasuk ‘ kategori ‘ tegas dan pantang dicabar. Di antaranya Tumadi bin Haji Saleh dan Yahya bin Awang. Pernah suatu ketika Yahya bin Awang ‘ bertengkar ‘ dalam kelas dengan Ustaz Ab.Jalil Abu Bakar yang mengajar kami dalam bab muamalat , menyebabkan Ustaz Abd.Jalil menepok meja ! ( mungkin terlampau geram ) . Dan pada keesukannya beliau telah membawa kitab-kitab rujukan bahasa Arab sebagai menguatkan hujjah yang dipersoalkan Yahya hari semalam. Namun , akhirnya Yahya telah akur dengan hujjah diberikan beliau…..

Selain itu, ‘ katogeri ‘ paling ramai ialah mereka yang hanya jadi ‘ penyokong ‘ dan pemerhati keadaan sahaja. Mereka kebanyakannya adalah di kalangan murid perempuan….

Bila mengenang kembali ragam rakan-rakan ini tidak lengkap rasanya kalau saya tidak nyatakan siapakah ‘jejaka idaman ‘ di kalangan rakan lelaki kelas kami. Maksud saya bukanlah menuduh beliau seorang yang menjadi ‘ rebutan ‘ murid perempuan kelas kami yang boleh dikatakan sudah muda remaja itu; cuma sekadar menyatakan di kalangan kami ada rakan lelaki yang amat menjaga personaliti dari segi berpakaian dan gaya ( lagak ).

Rakan saya yang dimaksudkan ialah Mastor bin Yusof. Beliau sekarang menetap di Rancangan Tanah Felda Sungai Tengi , Hulu Selangor. Walaupun selepas bersara sebagai guru agama di Sekolah Rendah Agama (SRA) di situ, beliau masih kelihatan tetap bergaya seperti dulu-dulu juga !…..

Kerana sikap dan gaya beliau begitu pada setiap hari, ada beberapa rakan suka‘ menyakat ' beliau dengan berlagak pula seperti yang dilakukannya. Namun , perbuatan tersebut hanyalah sebagai gurauan sesama rakan sahaja …

Perlu juga rasanya saya nyatakan di sini, beberapa orang rakan kelas yang disebutkan namanya telahpun meninggal dunia dalam lingkungan usia 40 an dan 50an. Mereka ialah Baharuddin bin Sabri, Salbiah binti Mansor, Arbaiyah @ Rabiatul Adawiah binti Mohd.Nor, Ismail bin Awang , Maznah binti Abd.Rahman dan Sharifah binti Hasan. Untuk roh mereka semua saya doakan semoga berada dalam keampunan Allah SWT dan dimasukkan dalam kalangan orang yang saleh. Amin ya rabbal ‘alamin.

Di antara mereka ada pula yang ‘ hilang tanpa berita ‘ sejak tamat persekolahan dan meninggalkan kampung masing-masing, seperti Zaini bin Musa, Ibrahim bin Haji Saari, Ishak bin Ahmad, Asmah binti Haji Dahlan, Salbiah binti Sidek, Rosiah binti Alias, Yahya bin Awang dan Seri Banun Binti Haji Ishak ( Khabarnya beliau menetap di Kampong Sungai Limau , Sungai Besar - Tapi saya tidak pernah bersua muka ... ) dan beberapa mereka yang namanya saya lupa menyebutnya di sini.

Jika sekiranya ada di kalangan anak ( cucu ? ) atau keluarga mereka yang berkenaan atau mereka sendiri turut membaca catatan ini, sudi-sudilah menghubungi saya melalui telefon 019-9114470. Semoga ‘ nostalgia ‘ kita tetap subur dan silaturahmi berpanjangan….

Khamis, 15 Julai 2010

CATATAN SEBELAS

JOHAN BAHAS , TETAPI DINAFIKAN MEWAKILI DAERAH !



Sekitar akhir tahun 60 an kempen penggunaan Bahasa Kebangsaan giat dilakukan kerajaan. Waktu itu diadakan berbagai kempen seperti Minggu Bahasa Kebangsaan diikuti dengan kempen Bulan Bahasa Kebangsaan.


Bagi memeriahkan kempen-kempen tersebut , di peringkat daerah dan negeri telah diadakan berbagai acara pertandingan. Seperti pertandingan berpakaian kebangsaan bagi kaum Melayu dan bukan Melayu, pertandingan pidato dalam Bahasa Kebangsaan, kuiz Bahasa Kebangsaan, bahas , berbalas pantun, deklamasi sajak, membaca cerpen , syair dan nyanyian lagu-lagu Melayu asli.


Waktu itu saya dan rakan-rakan lain dari Madrasah Ehyaul Falah terlibat sama dalam acara-acara pertandingan tersebut. Di antara acara pertandingan yang turut saya sertai ialah pidato, bahas, berbalas pantun, deklasi sajak , membaca cerpen dan syair.


Di antara pertandingan tersebut ada yang saya berjaya setakat naib johan atau tempat ketiga dan ada jua yang melepas langsung , tidak mendapat apa-apa hadiah !. Penyertaan orang ramai , terutama kalangan belia terhadap pertandingan-pertandingan itu amat menggalakkan sekali. Sebagai contoh, pertandingan deklamasi sajak penyertaannya meningkat hingga 20 orang lebih dan dipertandingkan kesemuanya !.


Penyertaan dari kalangan bukan Melayu juga turut menggalakkan. Ini mungkin disebabkan waktu itu ramai di antara mereka adalah pelajar kepada ‘ Kelas Dewasa ‘ dan sentiasa mendapat bimbingan dan galakan dari guru-guru mereka.


Dalam pertandingan berpakaian kebangsaan bukan Melayu , saya masih ingat ‘ jolokan’ sebagai P.Ramlee dan Saloma diberikan kepada seorang peniaga kedai jam di Pekan Sungai Besar iaitu Ah Pang dan isterinya. Kebetulan Ah Pang berbadan besar gempal dan isterinya berbadan kecil molek. Ah Pang memakai kain songket , bertanjak dan keris manakala isteri beliau memakai pakaian kebaya labuh ( Ikut ceritanya pakaian tersebut dipinjamkan oleh seseorang guru ’ Kelas Dewasa ’ ! ).


Apa yang menggembirakan pihak penganjur di daerah Sabaj Bernam , Ah Pang dan isterinya dikatakan muncul sebagai johan pertandingan berpakaian kebangsaan bukan Melayu peringkat negeri Selangor !.


Bagi saya, kegembiraan turut dikongsi kerana salah seorang guru saya semasa belajar di Madrasah Ubudiah Parit (6) yang juga sebagai ’ jurulatih ’ semasa belajar pidato di sekolah tersebut, Ustaz Solehen Haji Abd.Basir ( Pernah bertugas sebagai Penghulu Mukim Tanjong Karang dan telah meninggal dunia - semoga Allah mencuduri rahmat ke atas rohnya ! ) berjaya menjadi johan pidato peringkat negeri Selangor.


Di samping kegembiraan dinyatakan di atas , kegembiraan yang tidak boleh dilupakan apabila pasukan bahas dari kumpulan kami ( Sekolah Agama ) berjaya menjadi johan bahas peringkat sekolah menengah bagi daerah Sabak Bernam .


Pasukan bahas kami selain daripada saya sendiri ialah Said bin Markasan , Harun bin Ahmad ( mereka berdua rakan saya sejak di Madrasah Ubudiah Parit ( 6) dan Arbaiyah binti Mohd.Nor. Semasa pergi menyertai pertandingan bahas tersebut kami dihantar menaiki kereta jenis ‘ Mini Minor ‘ kepunyaan Encik Baharin Haji Mat Akhir ( Sekarang bergelar Dato’ dan berjawatan sebagai Orang Besar Daerah Sabak Bernam ).


Tajuk perbahasan kami ialah ‘ Kepercayaan orang-orang Melayu patut dikaji semula ‘ . Pasukan kami sebagai ‘ pencadang ‘ manakala pasukan pembahasnya dari Sekolah Menengah Ungku Aziz ( SUA) Sabak Bernam yang diwakili oleh Othman bin Alus ( pernah bertugas sebagai guru besar Sek Kebangsaan Kampung Baru , Sabak Bernam ), seorang murid perempuan ( namanya lupa ! ) anak kepada Merinyu JPT ( sekarang JPS) daerah Sabak Bernam dan dua murid lelaki lain di mana salah seorang di antaranya kalau tidak salah pengamatan saya ialah Mohd.Yaser Ehsan ( Bekas Ahli Parlimen Sabak Bernam ).


Dalam perbahasan tersebut pasukan kami muncul sebagai johan bagi daerah Sabak Bernam dan dikatakan mewakili daerah ke pertandingan bahas peringkat negeri Selangor !.


Kegembiraan pasukan bahas kami menjadi johan turut dikongsi oleh para guru dan juga murid ( Sekolah Agama ) Madrasah Ehyaul Falah . Sekurang-kurang kejayaan kami telah berjaya menaikkan imej Sekolah Menengah Agama yang ketika itu dianggap sebagai ‘ sekolah kelas dua ‘ oleh kalangan masyarakat setempat !.


Kejayaan itu juga membawa kami berusaha gigih mendapatkan bahan hujjah bagi pertandingan bahas di peringkat lebih mencabar lagi . Kerana, waktu itu bahan-bahan hujjah disediakan oleh kami sendiri melalui perbincangan dan pengalaman masing-masing.


Namun , kegembiraan kami telah ’ terbantut ’ apabila diberitahu wakil pertandingan bahas ke peringkat negeri Selangor bukan pasukan kami, tetapi pasukan dari Sekolah Menengah Ungku Aziz ( SUA ) yang mendapat tempat naib johan !. Dari ‘ khabar angin ’ yang kami dimaklumkan waktu itu pasukan tersebut telah tewas dalam perbahasan dengan pasukan Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur (?).


Dengan ’ penafian ’ pasukan bahas kami mewakili daerah Sabak Bernam, seolah-olah benarlah anggapan masyarakat setempat waktu itu bahawa Sekolah Menengah Agama adalah sekolah ’ kelas dua ’. Saya juga ada mendapat khabar angin mengatakan pasukan kami tidak dihantar mewakili daerah Sabak Bernam kerana tiada kalangan guru sekolah kami mempunyai kereta untuk menghantar ke Klang di mana pertandingan bahas peringkat negeri Selangor di adakan ( Guru-guru sekolah kami cuma ada kenderaan motorsikal sahaja….. ).


Sehingga hari ini saya tidak mendapat jawapan sebenarnya mengapa perkara ini boleh berlaku….. Mungkin mereka yang terlibat secara langsung mengendalikan pertandingan Bulan Bahasa Kebangsaan waktu itu , seperti Cikgu Jamaluddin Haji Suhaini - Guru Pelawat Sekolah Kebangsaan Daerah Sabak Bernam, waktu itu ( Bergelar Dato' dan Bekas Ahli Parlimen Sabak Bernam ) dapat memberikan jawapan yang paling tepat !.

Sabtu, 3 Julai 2010

CATATAN SEPULUH

DITUDUH AHLI KONGSI GELAP .


‘ Peristiwa hitam ‘ semasa belajar di Madrasah Ehyaul Falah ini berlaku adalah berpunca dari perselisehan paham dan pertengkaran antara murid Darjah Khas Tahun 3 dengan Ustaz Haji Abdullah Mokri , guru Sekolah Arab yang juga setiausaha Madrasah Ehyaul Falah..

Saya diberitahu oleh rakan-rakan ( kerana saya belajar dalam kelas lain ) murid-murid tersebut telah membawa naik kerusi meja yang baru dibekalkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor ke dalam kelas mereka yang berada di tingkat atas , tanpa kebenaran dari beliau lebih dahulu .

Kerana murid-murid Darjah Khas Tahun 3 terdiri daripada murid yang sudah meningkat belia, mereka tidak boleh menerima alasan larangan tersebut. Maka berlakulah pertengkaran antara mereka dengan Ustaz Haji Abdullah Mokri !.

Kemuncak dari pertengkaran tersebut , ramai murid lelaki Darjah Khas Tahun 3 membuat boikot tidak hadhir ke sekolah pada keesukan harinya. Keadaan itu menyebabkan bertambah ‘ masalah ’ kepada Guru Besar Sekolah Agama, Ustaz Haji Sobari yang memang ‘ tidak sebulu ‘ dengan pihak pentadbiran Madrasah Ehyaul Falah sekian lama…….

Berikutan itu, Ustaz Haji Abdullah Mokri telah ‘ membebel ‘ kepada murid-murid dalam ucapan perhimpunan dan beliau memberitahu telah menerima satu surat ugutan bunuh oleh kalangan pelajar !.

Saya dan rakan-rakan sekelas memang tidak ambil pusing perkara tersebut, walaupun Ustaz Haji Abdullah Mokri memberikan amaran untuk membuat laporan polis. Kerana kami tidak terlibat langsung dengan kejadian beberapa hari itu. Dan tidak juga khuatir dengan tindakan beliau yang mahu melaporkan kepada pihak polis !.

Walaupun demikian, beberapa hari berikutnya telah hebuh mengatakan ada surat ‘ pengakuan bersalah ‘ dibuat oleh pihak murid kepada Ustaz Haji Abdullah Mokri. Surat tersebut juga mencatatkan tiga nama yang beranggungjawab membuat surat ugutan tersebut, termasuk nama saya !.

Berita yang amat mengejutkan saya dan rakan-rakan sekelas itu serta merta menjadi ‘ hebuh ‘ hingga satu sekolah !. Guru Besar Sekolah Agama , Ustaz Haji Sobari dan penolong kanan, Ustaz Haji Abd.Latif juga turut terkejut dan bersimpati kepada saya.

Keadaan demikian tidak terhenti di situ sahaja. Kerana maklumat memberitahu. Ustaz Haji Abdullah Mokri telahpun membuat laporan polis bahawa semua murid yang membuat pengakuan bersalah itu akan ‘ ditangkap ‘ untuk siasatan dengan tuduhan terlibat kumpulan kongsi gelap !.

Maklumat tersebut memang benar !. Satu surat telah diberikan kepada saya oleh pihak pentadbiran sekolah meminta saya dan penjaga hadhir dalam siasatan polis bertempat di Madrasah Ehyaul Falah. Selain saya ialah Nordin bin Md.Isa ( Sekolah Agama ) dan Abd.Wahab bin Kentol ( Sekolah Arab ).

Bayangkan, bagaimana perasaan seorang murid sekolah yang tidak tahu menahu dan tidak melakukan kesalahan tetapi akan ditangkap polis atas tuduhan sebagai ahli kongsi gelap !. Begitulah perasaan yang saya hadapi…..

Selepas menerima surat tersebut jiwa saya amat bercelaru dan bimbang. Sepanjang hari tersebut saya merasa tidak tentu hala….Ramai rakan sekelas simpati termasuk Ustaz Haji Sobari dan Ustaz Haji Abd.Latif. Secara peribadi Ustaz Haji Abd.Latif berjumpa saya memberitahu supaya sya membaca Surah Yasin dan Surah Waqiah, tujuan supaya masalah yang saya hadapi selesai dengan baik.

Di rumah , saya beritahu bapa dan ibu tentang surat diterima itu. Mereka juga terkejut. Bapa saya secera sepontan berkata : ‘ Kalau tak buat, Insya Allah tidak akan kena tangkap. Allah tidak zalim kepada hambaNYA… “ Di samping itu beliau juga bersetuju supaya saya mengamalkan apa yang disaran oleh Ustaz Haji Abd.Latif waktu di sekolah tadi.

Saya lupa tarikh ‘ hari perbicaraan ‘ tersebut. Tetapi saya masih ingat ianya bukan hari persekolahan biasa. Kerana tidak ada murid yang datang ke sekolah kecuali mereka yang berkenaan dengan siasatan polis tersebut dan guru-guru sahaja.

“ Bilik perbicaraan ‘ diadakan dalam bilik guru-guru Sekolah Arab. Saya dipahamkan, selain dari pengerusi dan setiausaha sekolah ‘ jadi pegawai penyiasat ‘ pada hari tersebut, turut hadhir Tuan OCPD Daerah Sabak Bernam !.

Apa yang menjadi kehairanan saya dan dua rakan yang akan disiasat, turut hadhir seorang rakan sekolah kami dan juga bapanya ( Namanya saya tidak dedahkan di sini untuk menjaga maruah beliau dan hubungan kawan ).

Seorang demi seorang dipanggil masuk ke dalam ‘ bilik sisatan ‘ bersama penjaga msing-masing. Apabila sampai giliran saya dipanggil, saya amat ketaktukan dan tambah berdebar-debar. Kerana tidak tahu apa yang akan ditanya oleh Tuan OCPD dan kali pertama berhadapan polis !.....

Rupa-rupanya soalan pertama yang diajukan kepada saya , sama ada saya tahu sekeping surat tulisan tangan yang diberikan kepada saya waktu itu. Kemudian saya diarah membuka buku-buku latihan sekolah yang memang diarah untuk dibawa bersama bertujuan untuk dibandingkan dengan tulisan dalam surat tersebut. Akhir sekali saya diminta memberi contoh tanda tangan.

Soala-soalan lain saya tidak ingat, kerana terlampau ‘ ketakutan ‘. Tetapi, semuanya saya berikan jawapan. Bapa saya pula ditemubual oleh pihak pentadbiran sekolah. Saya tidak tahu apa yang ditanyakan….

Selesai saya dipanggil untuk siasatan, barulah ‘ rakan saya ‘ tadi masuk bersama bapanya. Saya tidak tahu apa yang disiasat dan dibincangkan oleh pihak yang membuat siasatan.

Ketika hendak balik bersama dengan bapa, Mudir ( Guru Besar ) Sekolah Arab, Ustaz Haji Arshad Subky ada berjumpa bapa saya dan berbual-bual ( Mereka memang sudah kenal mengenali.Kerana bapa saya sering mendengar pengajian Ustaz Haji Arshad Subky di Masjid Parit 6 ). Dari perbualan mereka saya mendapat tahu bahawa murid yang benar-benar terbabit memang sudahpun diketahui dan akan diambil tindakan.

Saya amat besyukor kepada Allah SWT ketika itu !.

Beberapa hari berikutnya, selepas ’ keadaan ’ telah reda di kalangan rakan-rakan, saya mendapat tahu murid yang benar-benar terlibat menulis surat ugutan itu telahpun diambil tindakan buang sekolah ! ( Walaupun selepas hari siasatan tersebut beliau sudah tidak datang ke sekolah lagi, kerana malu dengan kawan-kawan sekolah dan kami yang ‘ tak pasal-pasal ‘ kena tuduh.

Walaupun teraniya, saya tidak menaruh perasan dendam kepada ‘ rakan ‘ yang membabitkan nama saya dengan siasatan polis itu. Walaupun menyebabkan saya terpaksa berada dalam keadaan amat mendukacitakan sepanjang sejarah hidup alam persekolahan…..

Saya yakin ‘ beliau ’ mencatatkan nama saya dalam surat pengakuan bersalah itu sekadar ‘ gatal tangan ‘ sahaja. Tidak bertujuan semata-mata untuk menganiaya diri saya. Kerana saya dan beliau tidak ada sebarang salah paham dan bersengketaan sebelum itu.

Apabila bertemu waktu kebelakangan ini, kami tetap berkawan seperti biasa dan kisah yang lalu hanya kisah zaman sekolah yang tidak sewajarnya membabitkan ‘ zaman tua ‘.