KEPADA ANDA SEMUA...

Rabu, 15 September 2010

CATATAN TUJUH BELAS

LAMBANG PASUKAN ST.JOHN AMBULANS SAMA LAMBANG SALIB KRISTIAN ?

Semasa saya bersekolah di Madrasah Ehyaul Falah dahulu, semua sekolah menengah aliran agama tidak ada mempunyai pasukan pakaian seragam , berbanding dengan masa sekarang.

Atas daya usaha dan sokongan beberapa orang rakan, saya telah berjumpa dengan Encik Akbar bin Yusof, seorang kenalan lama saya yang ketika itu bekerja dengan pihak Pejabat Kesihatan Sabak Bernam dan juga ahli pasukan St.John Ambulans, untuk menubuhkan satu pasukan pertolongan cemas St.John Ambulans di sekolah.

Perjumpaan dan perbincangan kami disambut baik oleh beliau dan ramai di kalangan rakan-rakan sekelas menyertainya, , termasuk rakan sebaya saya di kampung yang tidak bersekolah di Madrasah Ehyaul Falah.

Kami telah mengikuti beberapa siri kursus pertolongan cemas yang dianjurkan oleh pihak St.John Ambulans Sabak Bernam di bawah kelolaan Encik Akbar bin Yusof dan kami juga telah melalui ujian-ujian lisan dan praktikal pertolongan cemas bagi melayakkan kami sebagai ahlinya.

Selain itu, kami juga telah membuat tempahan sendiri pakaian seragam dan diberikan lambang-lambang pasukan yang diperlukan.

Selain kalangan murid lelaki, turut serta dalam pasukan pertolongan cemas itu beberapa orang rakan-rakan sekelas saya dari kalangan murid perempuan. Kalau tidak salah ingatan, di antara mereka ialah Salbiah binti Sidek ( rakan sekelas kami yang bergerak lincah ) dan juga Rosiah binti Alias.

Dalam tempuh beberapa bulan berjalan secara ‘ diam-diam ‘ , pasukan St.John Ambulans di Madrasah Ehyaul Falah tidak menghadapi sebarang masalah oleh kalangan guru-guru sekolah yang mengetahui kewujudannya.

Namun, pada suatu hari Rosiah memberitahu saya bahawa pihak Jawatankuasa Pentadbiran Madrasah Ehyaul Falah telah mengeluarkan arahan secara lisan dan tidak langsung supaya pasukan St.John Ambulans yang baru ditubuhkan itu perlu dibubarkan !.

Saya bertanya kepadanya , apa sebab dan alasan pasukan pertolongan cemas itu perlu dibubarkan ?. Beliau memberitahu saya bahawa Setiausahanya, Ustaz Haji Abdullah bin Mokri berkata ‘ lambang ‘ pasukan St.John Ambulan itu adalah lambang agama Kristian . Sebab seakan-akan palang empat – salib ! . Selain itu beliau diberitahu kononnya pakaian bagi ahli pasukan perempuannya ‘ tidak sesuai ‘.

Pada mulanya saya ‘ naik angin ‘ juga dengan alasan diberikan itu. Pada saya, pihak Jawatankuasa Pentadbiran Sekolah benar-benar ‘ jumud ‘ dan tiada pengetahuan dengan makna lambang ‘ palang empat ‘ dalam pasukan St.John Ambulans tersebut. Saya berhujjah dengan Rosiah yang menyampaikan berita itu, kalau hendak disamakan lambang St.John Ambulan dengan lambang salib Kristian, memang tidak kena !.

Alasan saya, lambang St.John.Ambulan adalah empat palang yang sama panjang dan setiap palang pecah kepada dua pula di hujungnya. Setiap penjuru palang tersebut ada maknanya. Manakala palang salib Kristian adalah merupakan kedudukan seorang yang disalib dan palangnya tidak pula sama panjang , selain tidak ada makna apa-apa.

Walau bagaimanapun, ramai rakan-rakan yang menjadi ahli St John Ambulan mula berbelah bagi; sama ada mahu terus atau berhenti seperti diarahkan oleh pihak berkenaan tadi. Di kalangan murid perempuan hampir semua mereka menarik diri !.

Kerana keadaan ‘ kelam kabut ‘ begitu, akhirnya pasukan St John Ambulans yang tidak rasmi penubuhannya di Madrasah Ehyaul Falah telah dikuburkan tanpa batu nisan !.

Saya beritahu kepada Encik Akbar bin Yusof , selaku ketua pasukan tentang hal yang menimpa kepada pasukan sekolah kami. Beliau menyatakan dukacita dan tidak dapat berbuat apa-apa….

Sebagai orang yang ‘ meneroka ‘ penubuhannya, saya akur dengan keadaan begitu. Walaupun demikian , saya rasa bersyukur sekurang-kurangnya saya telah memahami kaedah pertolongan cemas yang boleh digunapakai kepada ahli keluarga di rumah sekarang ini, dengan sekadar keahlian beberapa bulan dalam St John Ambulans. Bagai kata orang-orang muda ‘ tak boleh nak kononlah ! ‘ kalau hal-hal berhubung pertolongan cemas !.

Apabila saya menyaksikan kepada aktiviti ko kurikulum murid di sekolah menengah aliran agama sekarang, saya berpendapat perbuatan saya ‘ menubuhkan ‘ pasukan pakaian seragam dahulu seperti tidak menyalahi peraturan dan arah tuju sekolah menengah aliran agama !.

Kerana , sekarang sudah terdapat banyak pasukan pakaian seragam di tubuhkan di sekolah menengah aliran agama seperti pasukan Bulan Sabit Merah, St John Ambulans, Puteri Islam, Kadet Bomba, Kadet Polis, Pertahanan Awam dan persatuan-persatuan lainnya.

Apabila saya menatap buku berkenaan pertolongan cemas yang diterbitkan oleh pihak pertolongan cemas St John Ambulans, yang masih tersimpan dalam ‘ Perpustakaan Rumah ‘, ingatan saya kepada peristiwa lama terus segar dan terbayang wajah-wajah rakan yang bersama dalam pasukan dahulu…..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan