DISENGAT SERANGGA TEBUAN !.
Peristiwa disengat serangga tebuan yang tidak disangka-sangka itu berlaku semasa saya belajar dalam tahun (1). Ketika kejadian, kami sedang belajar di kelas dan sedang mendengar penerangan guru sambil mencatat nota . Kalau tidak salah ingatan, mata pelajaran waktu itu ialah pelajaran ibadat yang diajar oleh Guru Besar, Ustaz Haji Sobari Othman.
Saya dan rakan-rakan sekelas , masing-masing tidak tahu dari mana serangga tebuan tersebut datang. Kerana secara tiba-tiba saja ianya jatuh ke atas kitab di hadapan saya kemudian hinggap di hujung kening mata sebelah kanan.
Merasakan ada sesuatu, secara pantas tangan kanan saya cuba menepis. Tetapi, dengan tidak semena-mana pula satu sengatan berlaku. Saya cuba menepuk dengan tangan dan cuba membunuhnya, tetapi sekali lagi sengatan berlaku !.
Secapa sepontan saya menjerit terkejut kerana kesakitan . Manakala guru dan rakan-rakan lain turut tergamam kehairanan…
Saya melihat seekur serangga tebuan terbang-terbang jatuh dan berlegar-legar di udara dalam kelas. Ramai kawan cuba membunuhnya dengan melibas buku tulis dan kitab masing-masing. Tetapi, serangga tebuan itu panjang umurnya !…… Dia berjaya terbang keluar kelas melalui dawai kisi-kisi tingkap .
Ramai rakan cuba mengandaikan, serangga tebuan tersebut sebenarnya telah kena libasan kipas angin yang sedang berpusing dalam kelas waktu itu . Kerana hilang kawalan diri , dia terjatuh di hadapan saya. Ketika hendak terbang semula, tersangkut pada muka saya. Apabila saya cuba menepisnya , pada waktu itu tentulah dia ingin mempertahankan diri dan lantas menyenyat saya !.
Apa yang jelas selepas itu, mata saya serta merta mula membengkak di samping terasa denyutan bisanya ….
Selepas diberi kebenaran guru , saya bersama seorang rakan sekelas, Ishak bin Ahmad pergi ke Kelinik Pekan Sungai Besar yang jauhnya kira-kira satu kilometer dari Madrasah Ehyaul Falah, dengan menaiki basikal sahaja. Saya duduk membonceng di belakang dan Ishak mengayuh basikal.
Bayangkan bagaimana ‘ seksanya ‘ saya pada waktu itu…. Kerana dalam keadaan menahan kesakitan disengat serangga tebuan kemudian terpaksa pula berada dalam cuaca yang panas berbasikal , ditambah lagi menunggu hingga berpuluh minit untuk sampai ke kelinik !
Setibanya di kelinik saya terus duduk di bangku panjang yang tersedia di situ , sementara menunggu Ishak membuat pendaftaran . Manakala orang ramai yang turut menunggu giliran masing-masing , beberapa orang di antaranya bertanya bagaimana saya boleh disengat serangga tebuan ?.
Saya menyangka, dalam keadaan saya seperti itu tentulah akan diberikan keutamaan oleh kaki tangan kelinik, berbanding pesakit biasa. Kerana ianya adalah kes kecemasan. Tetapi, rupanya sangkaan saya meleset . Saya terpaksa menunggu giliran mengikut nombor yang diberi !…..
Pada masa sekarang barulah saya paham. Rupa-rupanya kelinik Pekan Sungai Besar pada waktu itu tidak ramai kaki tangan dan tidak mempunyai doktor seperti kelinik yang ada sekarang. Jawatan paling tinggi ketika itu hanyalah seorang kaki tangan yang lebih dikenali oleh orang kampung sebagai ‘ dreser ‘ sahaja !.
Saya kurang pasti berapa lama saya terpaksa menunggu sebelum diberikan rawatan pada waktu itu. Yang jelas, saya ada memberitahu Ishak supaya merayu kepada petugas di situ untuk diberikan rawatan secepat mungkin, kerana mata kanan saya sudah hampir tertutup akibat membengkak dan denyutan bisa semakin bertambah . Namun apa yang dipahamkan oleh Ishak kepada saya ialah : “ Tak boleh potong trip orang lain . Kita terpaksa ikut nombor giliran ! “.
Hati saya begitu memberontak dan amat kecewa dengan keadaan begitu. Saya juga beberapa kali mendesak Ishak supaya balik ke sekolah sahaja. Ishak memujuk dan mententeramkan saya supaya bersabar dan terus menunggu hingga giliran dipanggil.
Saya yakin, kalau keadan yang telah saya alami itu berlaku pada masa sekarang, saya sudah pasti diberikan layanan segera. Untuk makluman, pada masa ini kelinik tersebut telahpun dinaik taraf oleh kerajaan dan lengkap segala peralatannya . Sekarang sudah ada doktor dan ramai kaki tangan. Di samping itu sudah ada kelinik khas untuk kanak-kanak, kelinik ibu mengandung, kelinik gigi , kelinik rawatan darah tinggi dan kecing manis selain ada juga unit kecemasan .
Tetapi, bagai kata orang tua-tua : Memang sudah nasib badan !…..Kerana peristiwa itu berlaku dalam tahun 60 an. Negara kita waktu itu baru sahaja mencapai kemerdekaan. Negara juga baru terlepas dari cengkaman penjajah dan mungkin ramai kaki tangan kerajaan turut masih dijajah serta beranggapan mereka adalah sebagai ‘ tuan ‘ , manakala pelanggan mereka pula hanyalah sebagai ‘ sampah ‘ sahaja….
Walau apapun, yang jelas selepas diberikan ubat pil tahan sakit, saya diarah balik tanpa diberikan ada-apa ‘ surat cuti sakit ‘ ( seperti kebiasaan dilakukan oleh pihak kelinik / hospital kepada pesakit yang sedang bersekolah atau petugas kaki tangan kerajaan ) . Maka saya pun balik semula ke sekolah membonceng basikal Ishak dengan muka bengkak dan mata sepet sebelah !....
Ramai rakan sekelas yang bersimpati semasa saya disengat serangga tebuan tadi, sekarang senyum dan geli hati pula melihat muka saya yang amat luar biasa !.
Esuknya saya ponteng sekolah.
Selepas muka bengkak dan mata pulih, baru saya datang belajar ke sekolah seperti biasa. Namun , parut kena sengat serangga tebuan itu tetap berada di hujung kening muka sebelah kanan, kekal hingga ke hari ini sebagai ‘ tanda kenangan-kenangan ‘ saya !.....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan