SEKOLAH TIDAK ADA TANDAS !
Jika pada masa sekarang terdapat di mana sebuah sekolah mempunyai bilangan murid kira-kira 300 orang , tetapi tidak mempunyai tandas bagi kemudahan murid dan para gurunya, keadaan begini boleh dianggap seperti ‘ mustahil ‘ dan sekolah tersebut bolehlah dikatakan sekolah paling ‘ teruk ‘ dari segi prasarananya !…..
Tetapi, itulah yang berlaku semasa saya bersekolah di Madrasah Ehyaul Falah. Kami murid-murid lelaki dan perempuan terpaksa pergi menumpang ke tandas masjid bersebelahan dengan kawasan sekolah yang jauhnya kira-kira 50 meter untuk ‘ menunaikan hajat ‘ . Menggunakan tandas yang satu secara bergilir-gilir lelaki dan perempuan dan kadang kala terpaksa ada ‘ jaga ‘ berdiri diluar tandas, sebagai tanda ada ‘ penghuni ‘ yang berada dalam tandas waktu itu….
Saya dipahamkan, bangunan awal Madrasah Ehyaul Falah telah dibina secara berperingkat, hasil dari wang wakaf orang ramai, terutama kalangan pesawah kawasan Sungai Besar yang menjual padi mereka di Pusat Belian Padi Sungai Besar sekitar tahun 50 an.
Bangunannya hanya mengandungi beberapa kelas sahaja dan diperbuatan seratus peratus dari bahan kayu dan beratapkan zing. Bentuk bangunannya hanya sebaris sahaja. Kemudian ditambah lagi beberapa kelas menjadikan bentuk bangunan seperti huruf ‘ L ‘ kemudian ditambah lagi menjadi bentuk huruf ‘ U ‘.
Waktu saya mula bersekolah di situ, bangunannya telah ditambah di bahagian hadapan dengan bangunan kayu dua tingkat menjadikan bentuk tapak bangunan sekolah seperti huruf ‘O ‘ pula. Di bahagian tengah kawasan sekolah itulah dijadikan padang tempat diadakan perbarisan / perhimpunan murid setiap hari. Oleh dua kumpulan murid yang berbeza; aliran agama dan aliran Arab tetapi diadakan dalam waktu yang serentak.
Mungkin kerana cara pembinaannya yang berperingkat-peringat dan tanpa perancangan awal itulah bangunan tandas untuk murid dan guru ‘ terlupa ‘ untuk disediakan !.
Ketika itu, kawasan Madrasah Ehyaul Falah tidak mempunyai pagar. Kedudukannya bersebelahan dengan masjid ( Masjid Jamek Makmuriah , sekarang ). Kedudukan bangunan masjid hanya dipisahkan oleh bangunan kanten sekolah yang dibina ‘ orang kampung ‘ dan lebih dikenali dengan panggilan ‘ Kanten Pak Lang Sanip ‘.
Oleh kerana kedudukan bangunan sekolah dengan tandas masjid yang letaknya di hujung bangunan masjid begitu jauh, ramai murid lelaki yang hendak pergi ke tandas terpaksa menaiki basikal sendiri atau basikal sesiapa sahaja yang diletakkan berhampiran kawasan sekolah. Termasuk saya sendiri !.
Selain menggunakan tandas masjid, ramai murid pada waktu rehat ‘ duduk melepak ‘ di bangsal basikal masjid atau di dalam bangunan masjid. Malah ada juga murid lelaki yang sempat tidur di dalamnya waktu rehat dan terlewat masuk ke kelas untuk belajar semula apabila loceng dibunyikan !.
Namun, apabila saya ditugaskan sebagai guru besar di Sekolah Rendah Agama Ehyaul Falah sekarang ( Tapak bangunan Madrasah Ehyaul Falah dahulu ) keadaan fizikal bangunan sekolah telah berubah semuanya. Bangunan sekolah dari kayu tempat saya belajar dahulu telahpun diganti dengan dua blok bangunan batu .Bahagian hadapan bangunan dua tingkat dan bahagian belakang tiga tingkat . Tandas juga berada di tiap tingkat bangunan dan murid-murid tidak perlu berbasikal ke tandas seperti saya dahulu !.
Menceritakan berkenaan tandas sekolah ini, guru besar terdahulu iaitu Ustaz Haji Suradi bin Sidam ada memberitahu saya supaya kebersihan tandas sekolah perlu sentiasa diawasi . Kata beliau, ramai murid sekolah berjumpa ‘ makhlok ‘ di bangunan sekolah tersebut apabila keadaan tandasnya kotor . Walaupun demikian kata beliau, mujur tidak ada murid yang hesteria dengan kejadian tersebut.
Saya akur dengan pesanan beliau itu. Malah bagi saya tandas sekolah bukan sahaja perlu bersih bagi mengelakkan makhlok tersebut ‘ mempamerkan diri ‘ kepada umum, tetapi ianya merupakan ajaran Islam yang menuntut supaya umatnya sentiasa bersih !.
Tentang wajudnya ‘ makhlok ‘ seperti diberitahu oleh Ustaz Haji Suradi itu juga memang tidak boleh dinafikan. Kerana dari apa yang diberitahu kepada saya , banyak sekolah yang kedudukannya hampir dengan bangunan masjid, ‘ makhlok ‘ tersebut memang sering berada di situ, seperti Sekolah Rendah Agama Tebuk Pulai dan yang lain-lain lagi.
Dari pengalaman semasa bertugas sebagai guru besar di Sekolah Rendah Agama Sungai Limau, di mana bangunannya berada dalam satu kawasan pagar Masjid Hashimiah, Sungai Limau , saya diberitahu oleh Encik Atan ( Siak masjid merangkap tukang kebun sambilan sekolah ) bahawa beliau sering melihat serta memadamkan lampu dalam kelas sekolah yang secara tiba-tiba sahaja ‘ hidup sendiri’ pada waktu malam. Padahal sebelum murid balik sekolah waktu petang, semua lampu di kelas-kelas telah dimatikan suisnya !.
Suatu ketika, pernah murid sekolah yang berada di tingkat dua ‘ gempar ‘ kerana mereka melihat ‘ saya ‘ masuk ke bilik perpustakaan di blok bangunan bersebelahan dengan memakai serban !. Padahal saya pada setiap hari bertugas hanya memakai kupiah putih sahaja….
Di waktu yang lain, seorang guru wanita berada bersendirian di bilik rehat guru-guru untuk menunggu masuk ke kelas seterusnya, beliau ada mendengar ‘ seseorang ' batuk-batuk kecil dalam bilik pejabat saya; yang bersebelahan dengan bilik rehat guru tersebut.
Kebetulan semasa habis bertugas di kelas dan saya masuk semula ke bilik pejabat, guru wanita berkenaan bertanya dari mana saya datang sebentar tadi. Saya memberitahu , datang dari mengajar di kelas dan baru hendak masuk semula ke bilik pejabat !.
Mendengar jawapan saya begitu, wajah guru wanita berkenaan kelihatan ‘ berubah ‘ sambil memberitahu saya beliau ada mendengar orang batuk-batuk kecil di dalam bilik. Saya terus membuka pintu bilik dan masuk ke dalam untuk melihat kalau-kalau ada seseorang masuk menceroboh . Tidak ada sesiapa !.
Sejak hari itu ramai kalangan guru wanita di sekolah saya tidak berani lagi duduk berseorangan dalam bilik rehat guru, kecuali mereka benar-benar yakin saya memang berada dalam bilik pejabat !.......
Tiada ulasan:
Catat Ulasan