MENUNGGANG MOTORSIKAL BERTIGA !
Peristiwa ini jika dilakukan pada masa sekarang dan kebetulan ada sekatan polis di jalan raya, sudah pasti akan membawa padah. Sekurang-kurangnya tiga kes kesalahan boleh dikenakan…..Pertama , memandu tanpa lesen memandu. Kedua , tidak memakai topi keledar dan ketiga menunggang motorsikal melebihi had penumpang yang dibenarkan.
Walau apapun, oleh kerana peristiwa ini dilakukan sekitar tahun 70an dan waktu itu tidak ada peraturan undang-undang setiap penunggang atau pembonceng motorsikal perlu memakai topi keledar maka segala-galanya hanya jadi nostalgia….
Sekiranya ia dilakukan pada siang hari pula, paling kurang sesiapa yang menyaksikannya akan tersenyum dan dalam hati mereka akan ‘ berkata-kata ’ sesuatu. Keadaan yang melucukan !.
Peristiwa ini berlaku waktu Ibrahim Saari, rakan sekelas saya mengajak untuk pergi bersamanya menyaksikan Majlis Ihtifal di Sekolah Agama Simpang Lima, Sungai Besar yang diadakan pada waktu malam.
Untuk makluman, sekitar tahun 70an boleh dikatakan semua Sekolah Agama di daerah Sabak Bernam akan mengadakan Majlis Ihtifal sekolah masing-masing pada tiap tahun. Pengisiannya tertumpu kepada berbagai pertandingan di kalangan murid-murid sekolah berkenaan. Seperti : membaca rawi, marhaban, pidato, tilawah Al Quran, daklamasi sajak, membaca syair, membaca cerpen , nasyid, kuiz pengetahuan am / agama dan pemberian hadiah peperiksaan / pelajaran murid.
Saya telah memberi pengakuan kepada Ibrahim untuk pergi bersamanya. Menurut Ibrahim , beliau akan meminjam motorsikal milik saudaranya yang kebetulan taukeh tempat beliau bekerja sambilan menjaga kedai barang-barang runcit di Kampong Parit 7 Sungai Besar, bernama Haji Ismail ( Haji Ismail telah meninggal dunia dalam satu rompakan bersenjata api semasa pulang seorang diri dengan menaiki motorsikal, membawa wang berjumlah lebih RM 20,000 kepunyaan Syarikat Kilang Padi Parit 4/5 Sungai Besar dari Bank Bumiputera Sungai Besar – sekarang Bank CIMB. Beliau di rompak di jalan kampong Parit 6 Timur , sekitar tahun 80 an – Kalau tak salah ingatan saya …. ).
Saya berjanji dengan beliau akan menunggunya di Madrasah Ehyaul Falah sebagai tempat pertemuan sebelum bertolak ke Sekolah Agama Simpang Lima pada malam itu.
Semasa ketibaannya di Madrasah Ehyaul Falah, Ibrahim memberitahu saya bahawa Guru Besar kami, Ustaz Haji Sobari Othman ingin pergi bersama tetapi tidak ada mempunyai kenderaan. Ibrahim memberitahu saya , beliau boleh membawa motorsikal jenis AJS 250cc yang dibawanya, walaupun seramai tiga orang !.
Saya terpaksa akur dan percaya Ibrahim boleh menunggang motorsikal tersebut, walaupun kaki beliau sekadar ‘ cukup-cukup ‘ untuk menjejah ke tanah semasa berada di atas motorsikal !.
Semasa hendak menghidupkan injen motorsikal, Ibrahim terpaksa beberapa kali memijak alat ' start kaki ' menghidupkan injen, tapi tidak juga berjaya. Kerana untuk menghidupkannya terpaksa menggunakan ‘ hentakan ‘ kaki yang kuat dan mudah dilakukan oleh orang dewasa sahaja.
Sebagai gambaran kepada mereka yang tidak pernah melihat motorsikal jenis AJS 250cc yang dibawa oleh Ibrahim , motorsikal tersebut hampir sama besarnya dengan motorsikal yang digunapakai oleh polis trafik pada masa ini !.
Akhirnya, motorsikal tersebut berjaya dihidupkan dengan pertolongan Ustaz Haji Sobari yang berbadan gemuk. Ibrahim jadi pemandu, Ustaz Haji Sobari duduk membonceng di belakangnya dan dibelakang beliau barulah saya duduk membonceng sama; di hujung tempat duduk motorsikal tersebut.
Pada waktu itu, jalan raya Sabak Bernam - Tanjong Karang ( yang ada sekarang) masih lagi berturap tanah merah dan setiap parit besar yang ada sepanjang jalan tersebut juga masih menggunakan jambatan kayu; selain kenderaan kereta masih terlalu sedikit menggunakannya.
Dengan berpandukan cahaya dari motorsikal yang tidak berapa cerah, kerana tiada pantulan cahaya dari jalan raya, kami bertiga terus memulakan perjalanan menuju destinasi dirancang. Saya kurang pasti berapa kelajuan motorsikal yang dipandu oleh Ibrahim pada malam itu. Apa yang jelas, telinga saya terasa ‘ berdengung ‘ dan badan mula kesejukan !.
Tidak lama selepas kami bertolak dari Madrasah Ehyaul Falah, tidak semena-mena motorsikal yang dipandu oleh Ibrahim ‘ melambung ‘ kerana terlanggar tebing jambatan yang berbonggol dan lebih tinggi dari permukaan tanah. Ustaz Haji Sobari di hadapan saya terus memeluk badan Ibrahim dan saya pula terpaksa memeluk Ustaz Haji Sobari yang berbadan gemuk !.
Mujur…..ketika badan saya melambung , saya berjaya duduk semula ke atas tempat duduk di hujung motorsikal, kerana tangan saya sempat berpegang kuat ke badan Ustaz Haji Sobari. Kalau tidak, mungkin sesuatu yang tidak diingini telah berlaku kepada saya dalam keadaan malam yang gelap gelita…….
Saya amat-amat bersyukor , motorsikal yang dipandu Ibrahim waktu itu tidak terbabas atau tumbang lantaran kejadian tersebut.
Selepas itu, Ibrahim telah memperlahankan kelajuan kenderaan motorsikal yang dipandunya hingga kami selamat sampai ke Sekolah Agama Simpang Lima untuk menyaksikan Majlis Ihtifal yang sudahpun bermula.
Sebelum memulakan perjalanan balik, Ustaz Haji Sobari sempat mengingatkan Ibrahaim supaya jangan memandu motosikal dengan laju, takut-takut berlaku lagi peristiwa tadi. Ibrahim akur dengan nasihat beliau dan kami telah selamat balik menjelang tengah malam.
Dalam perjalanan balik, saya sempat mengecam di mana jambatan yang nyaris-nyaris membawa kemalangan itu . Rupa-rupanya ia berlaku di atas jambatan persimpangan ke Pekan Sungai Haji Dorani ( Tidak jauh dari rumah kediaman saya sekarang ).
Sekarang jambatan kayu tersebut sudah tidak ada lagi kerana telah diganti dengan pintu air / saluran batu oleh Jabatan Parit dan Saliran (JPS). Jalan raya juga sudah diturap tar dan mempunyai empat lorong !. Pada waktu malam pula di kawasan tersebut telah tersedia lampu jalan yang terang benderang bercahaya……
Walaupun keadaannya demikian, kawasan tersebut masih ‘ mencatat rekod ‘ kemalangan jalan raya pada masa sekarang . Untuk makluman, sepanjang saya tinggal di Kampung Sungai Haji Dorani tidak kurang 10 orang penduduk tempatan dan sekitar Sungai Haji Dorani telah terkorban maut di kawasan situ !.
Mujurlah saya bukan orang pertama terkorban di tempat tersebut. Syukor Alhamdulillah !.
Nota kaki :
Saya mendapat maklumat , Ibrahim rakan saya itu adalah bapa kepada tuan punya syarikat kosmetik ' Sedayu Tinggi ' dan anak beliau tersebut pernah belajar di Sekolah Rendah Agama Simpang Lima, Sungai Besar semasa saya bertugas menjadi guru di situ. Tahniah kepada Ibrahim dan anaknya !.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan