KEPADA ANDA SEMUA...

Khamis, 25 November 2010

CATATAN ( 21 )


LATAR BELAKANG SEKOLAH AGAMA RAKYAT ( SEKOLAH PONDOK )


Sekitar tahun 50an dan 60an sekolah agama yang ditadbir oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor tidak banyak bilangannya berbanding dengan bilangan sekolah agama masa sekarang. Kebanyakan sekolah agama waktu itu bertaraf sekolah agama rakyat atau lebih pupolar sebutannya sebagai ’ Sekolah Pondok ‘ sahaja.

Bahasa pengantar di sekolah agama rakyat tersebut kebanyakannya menggunakan bahasa Arab. Di mana buku teks atau kitab pelajaran menggunakan bahasa Arab sepenuhnya. Kita-kitab tersebut dikenali juga sebagai ‘ kitab kuning ‘ dan bentuk fizikalnya kebanyakan tidak dijilid seperti kitab atau buku teks sekarang.

Mengenai ‘ Sukatan Pelajaran ‘ pula kebanyakan sekolah tersebut menggunakan sistem belajar dari awal hingga akhir kitab . Maknanya, selagi kitab tersebut tidak tamat diajar kepada murid , ia boleh digunapakai walau beberapa bulan atau tahun berikutnya. Apabila sudah tamat, ia akan diganti pula dengan kitab lain yang telah ditentukan oleh pihak guru atau sekolah tersebut.

Seperkara lagi, kebanyakan sekolah pondok tersebut tidak mengadakan ujian atau peperiksaan ke atas pelajarnya, sama ada peperiksaan pengggal atau akhir tahun . Murid akan dianggap ‘ lulus ‘ bila mereka telah tamat mengikuti pelajaran dari semua kitab agama yang ditentukan.

Kerana itu, ramai lepasan sesebuah sekolah pondok akan meneruskan pelajaran mereka di sekolah pondok yang lain pula, di mana sekolah berkenaan mengajar kitab-kitab agama yang baru dan belum pernah dipelajarinya. Sehubungan itu , terdapat ramai pelajar sekolah pondok akan ‘ berhijrah ‘ dari satu sekolah pondok ke sekolah pondok yang lain untuk menambah ilmu agama sedia ada.

Dari segi kewangan untuk menggaji guru-guru bertugas pula, hampir semua sekolah pondok tersebut bergantung kepada hasil dari yuran bulanan atau tahunan yang dikenakan ke atas setiap pelajarnya.

Bagi menampung kekurangan wang, terdapat sekolah pondok yang mempunyai harta tanah-tanah wakaf kebun yang diwakafkan oleh ornag ramai tempatan atau orang perseorangan; di mana hasilnya ditadbir oleh sebuah jawatankuasa khas kemudian diagihkan sebagai gaji guru-guru mengikut kadar ditetapkan.

Bagi sekolah pondok yang berada di kawasan sawah pula, wang zakat padi adalah sumber utama untuk menambah kewangan bagi tujuan membayar gaji guru-guru, selain bayaran yuran sekolah yang dikenakan ke atas pelajarnya ..

Akibat punca kewangan yang terhad di samping tidak ada bantuan ‘ perkapita ‘ oleh kerajaan, kebanyakan sekolah agama rakyat berada dalam keadaan ‘ dhaif ‘ dari segi fizikal bangunan sekolah dan juga alat perabotnya..

Walaupun begitu, bagi guru-guru sekolah pondok mereka lebih bersikap ‘ lillah ‘ ( kerana Allah ) , ikhlas bertugas dengan imbuhan sekadarnya semata-mata kerana mengembangkan agama dan berdakwah. Tidak memandang kepada material atau segi kewangan sebagai ganjaran penat lelah dalam bertugas.

Di kalangan pelajar lepasan sekolah pondok ramai yang membuka sekolah pondok dan muncul sebagai ‘ tuan guru ‘ di kampung masing-masing sebagai langkah mengikut jejak langkah guru-guru sekolah pondok mereka terdahulu.

Di antara sekolah agama rakyat yang dikenali ramai di negeri Selangor waktu itu ialah Pondok Sijangkang , Klang . Sekolah pondok tersebut dikatakan menerima ramai pelajar dari seluruh daerah negeri Selangor dan negeri-negeri lain juga.

Di daerah Sabak Bernam tidak ketinggalan masyarakat tempatan mewujudkan sekolah agama rakyat. Salah satu di antaranya ialah Madrasah Ubudiah Parit (6) Sungai Besar, tempat mula-mula saya bersekolah agama ( Arab ) dahulu dan juga Madrasah Khairiah Wataniah , Pekan Selasa Lama , Sungai Haji Dorani, Sungai Besar , iaitu tempat saya menyambung pelajaran selepas tamat bersekolah di Madrasah Ehyaul Falah, Sungai Besar.

Kisah-kisah semasa saya bersekolah di Madrasah Khairiah Wataniah akan menjadi ‘ fukos ‘ pengalaman yang saya akan catatkan untuk tatapan pembaca sekalian secara bersiri selepas ini.

Untuk makluman pembaca, sekolah pondok mula tidak mendapat sambutan ahli masyarakat setempat apabila wujud banyak sekolah agama di tadbir oleh Jabatan Agama Islam Selangor sekitar tahun-tahun 60an dan 70an.

Dengan itu satu demi satu sekolah pondok telah ‘ ditutup ‘, kerana ketiadaan pelajar di samping guru sekolah pondok sedia ada ramai telah meninggal dunia tanpa pewarisnya…..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan