KEPADA ANDA SEMUA...

Sabtu, 15 Januari 2011

CATATAN ( 22 )


MADRASAH KHAIRIAH WATANIAH.


Seperti saya maklumkan dahulu, sebelum pihak Jabatan Agama Islam Selangor ( JAIS) mewujudkan sekolah agama kerajaan, sekolah agama rakyat / pondok telah memainkan peranan utama kepada penduduk setempat untuk mendidik anak mereka dalam bidang agama.

Kebanyakan sekolah tersebut ditempatkan di masjid atau surau tempatan dan guru-guru yang bertugas pula hanya menerima sedikit ‘ saguhati ‘ dari penjaga murid . Sekolah tersebut lebih dikenali sebagai ‘ Sekolah Pondok ‘manakala kitab / buku teks mereka dalam Bahasa Arab.

Kampong Sungai Haji Dorani, Sungai Besar tidak ketinggalan turut mewujdudkan sekolah agama rakyat seperti juga kampung- kampung lain yang terdapat di daerah dalam negeri Selangor.

Menurut yang dipahamkan kepada saya , penubuhan sekolah agama rakyat di Kampong Sungai Haji Dorani mula diasaskan sekitar tahun 50 an. Guru agama yang pertama bertugas ialah Kiyai Haji Mashudi dari Klang , Selangor yang telah didatangkan khas oleh ahli kariah. Beliau dibantu oleh seorang ‘ pak kiyai ‘ kampung bernama Haji Mokhtar bin Atmo

Sekolah tersebut ditempatkan di Masjid An Nur, Sungai Haji Dorani ( Masjid yang ada sekarang adalah binaan baru ) dan dinamakan ‘ Madrasah Khairiah Wataniah ‘.

Mungkin kerana beberapa sebab tertentu telah berlaku, Madrasah Khairiah Wataniah akhirnya terpaksa ‘ ditutup ‘ dan pentadbirannya diambil alih oleh seorang guru pondok tempatan dikenali sebagai Ustaz So’od untuk meneruskan ‘ usia ‘ madrasah tersebut.

Dalam tempuh tersebut, seorang guru pondok datang dari luar dan berkahwin dengan seorang penduduk kariah Pekan Selasa Lama bernama Haji Ahmad Fakeh tinggal menetap di Kampong Sungai Haji Dorani. Beliau kemudian dijadikan guru di Madrasah Khairiah Wataniah oleh penduduk tempatan, manakala pusat pembelajaran pula ditukar dari Masjid An Bur ke surau kariah Pekan Selasa Lama.

Sepanjang pentadbiran Haji Ahmad Fakeh, Madrasah Khariah Wataniah dikatakan telah mencapai kejayaan menggalakkan di mana banyak ‘ pondok ‘ didirikan sekitar kawasan surau untuk kediaman para pelajar yang datang dari kawasan luar .

Dalam tempuh tersebut juga seorang penuntut pondok yang pulang dari mengaji di Mekah bernama Haji Othman bin Sidek berasal dari Kampung Matang Kunda, Bagan Datoh, Perak telah tinggal menetap di kariah Pekan Selasa Lama . Beliau juga turut dijadikan guru kepada pelajar di Madrasah Khairiah Wataniah.

Apabila Haji Ahmad Fakeh meninggal dunia, pentadbiran Madrasah Khairiah Wataniah telah diambil alih sepenuhnya oleh Ustaz Haji Othman bin Sidek. Bangunan baru sekolah juga diwujudkan secara berasingan atas daya usaha ketua kampung , Haji Nawawi dan penduduk tempatan . Selain itu sessi persekolahan baru turut dirangka selain pengajian kitab secara pondok di surau tetap diteruskan.

Walaupun begitu, apabila Ustaz Haji Othman bin Sidek dilantik oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebagai guru sandaran di Madrasah Ehyaul Falah, Sungai Besar sekitar pertengahan tahun 60an, Madrasah Khairiah Wataniah telah menempuh ‘ zaman muram ‘ dan sekolah terpaksa ditutup lagi !......

Sungguh demikian, atas kegigihan Ketua Kampung Sungai Haji Dorani, Haji Nawawi dan penduduk tempatan pada akhir tahun 60an, Madrasah Khairiah Wataniah diberi pula ‘ nafas baru ‘ dengan melantik seorang guru agama berkelulusan dari sebuah university di India bernama ustaz Abdul Rashid bin Abd.Razak yang datang dari Negeri Kedah, untuk mentadbir dan menjadi ‘ mudir ‘ madrasah .

Semasa beliau menjadi ‘ mudir ‘ Madrasah Khairiah Wataniah itulah saya telah masuk belajar di situ…..

Insya Allah, pengalaman saya bersekolah di Madrasah Khairiah Wataniah akan dipaparkan secara bersiri dan terus menjadi nostalgia.

1 ulasan: