BELAJAR TARANUM RAWI
Semasa saya belajar di Madrasah Ehyaul Falah, acara ‘ malam berjaga ‘ kerana meraikan pengantin dipenuhi dengan berbagai-bagai acara persembahan. Bermula dari waktu selepas solat Isyak hinggalah menjelang waktu subuh !.
Acara malam berjaga tersebut lebih dikenali oleh masyarakat setempat sebagai ‘ majlis ‘. Maknanya , apa bila ada satu-satu acara perkahwinan, penduduk tempatan selalu bertanya kepada tuan rumah : “ Malam ni ada majlis ke ? “. Maksudnya pada malam tersebut adakah diadakan acara berbagai persembahan seperti membaca rawi dan marhaban, bacaan Al Quran , Qasidah dan nasyid-nasyid / lagu Arab.
Pada waktu itu juga, ramai di sekitar daerah Sabak Bernam muncul mereka yang berkebolehan dalam acara tersebut. Di antara mereka yang saya kenal ialah : Ustaz Arshad Mohamad, Ustas Sulaiman Mar’e, Haji Shafie Kati ( Mantan Johan Musabaqah Al Quran Kebangsaan ), Haji Arshad Sadri dan ramai lagi !.
‘ Tempias ‘ dari sokongan dan galakan masyarakat tersebut, kami sebagai pelajar sekolah waktu itu tidak terkecuali menerima jemputan membuat persembahan nasyid dan juga bacaan rawi / marhaban. Walaupun kami sekadar menerima wang ‘ imbuhan ‘ sekitar RM 5.00 seorang, berbanding dengan orang dewasa yang diberi sekitar RM 20.00 atau lebih setiap orang….
Oleh kerana waktu itu saya tinggal ‘ di pondok ‘ bersama rakan-rakan lain dan sering menerima jemputan untuk ‘ majlis ‘ ( selain sering diminta untuk solat jenazah kematian penduduk sekitar ! ) , kami telah bermuafakat untuk memperbaiki lagi taranum/ lagu bacaan rawi masing-masing.
Rakan yang mula membuat cadangan tersebut ialah Saarani bin Imran, rakan sebelah pondok saya. Beliau membuat cadangan kami belajar taranum / lagu rawi dari guru beliau yang mengajar di Madrasah Ehyaul Falah ( bahagian Arab ) iaitu Ustaz Musannif bin Dasuki.
Ustaz Musannif tinggal di rumah guru kawasan Madrasah Ehyaul Falah. Jadi mudahlah kami belajar pada waktu malam, walaupun hanya berjalan kaki sahaja pergi ke rumah beliau.
Saarani sebagai orang yang membuat cadangan telah berjumpa sendiri dengan Ustaz Musannif menyatakan hasrat ‘ budak pondok ‘ hendak belajar taranum rawi dan beliau telah bersetuju.
Saya lupa siapakah di antara rakan-rakan pondok kami yang turut belajar taranum rawi waktu itu . Namun saya kira bilangannya tidak lebih dari lima orang .
Pada mulanya kami bercadang untuk memberi sedikit ‘ saguhati ‘ kepada Ustaz Musannif, seperti kebiasaan mereka yang ‘ berguru ‘ kepada seseorang. Namun beliau menolak dan memberitahu kepada kami, sumbangan beliau mengajar adalah kerana Allah dan hanya Allah akan memberikan ‘ saguhatinya ‘
Walaupun saya pernah ‘ berguru ‘ taranum Rawi ketika di kampung kepada Ustaz Ajid ( bin beliau saya lupa ! ) seorang qari tempatan, untuk mempelajari taranum yang baru terasa sukar juga bagi saya. Beberapa kali belajar barulah saya paham dan boleh melakukannya.
Namun . pembelajaran kami tidak lama dan terbantut serta merta !. Atau lebih tepat dikatakan sebagai ‘ tidak tamat ‘ belajar beberapa taranum rawi dari Ustaz Musannif kerana beliau diarah bertukar ke Sekolah Arab kawasan Tanjong Karang. Berikutan itu beliau juga berpindah dari rumah guru Madrasah Ehyaul Falah.
Ustaz Musannif telah meninggal dunia sejak puluhan tahun lalu di Kampong Sungai Kajang, Tanjong Karang.. Anak beliau Ustazah Madeha binti Musannaif yang sekarang telah menjadi Guru Besar Sekolah Rendah Agama ( SRA) di daerah Sabak Bernam, waktu itu masih kecil lagi dan saya sendiri tidak pernah bertegur sapa dengannya !. ( Semoga Allah mencucuri rahmat dan limpahan ganjaran kepada Ustaz Musannaif, yang menjadi guru taranum rawi kami. Amin ya rabbal ‘alamin… ).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan