KEPADA ANDA SEMUA...

Selasa, 16 Ogos 2011

CATATAN ( 25 )

SUASANA SEKOLAH DI MKW


Secara am , perbandingan suasana alam persekolahan dan keadaan sekitar di Madrasah Khairiah Wataniah (MKW ) dan Madrasah Ehyaul Falah ( MEF), Sungai Besar amat jauh sekali. Mungkin tidak keterlaluan jika saya katakan ibarat ' langit dengan bumi ' ! .

Ada beberapa alasan kenapa saya berpendapat begitu. Di antaranya, segi pentadbiran MKW adalah terletak di atas keputusan mudir sepenuhnya. Atau mungkin juga sedikit-sedikit oleh pihak lembaga pentadbiran sekolah, dengan mengambil kira arah tuju atau matlamat pembelajaran, latar belakang pelajarnya dan juga kehendak masyarakat setempat.

Ini agak berbeza dengan MEF di mana segala peraturan dan matlamat pembelajaran ditentukan oleh pihak Jabatan Agama Islam (JAIS). Kerana MEF adalah sekolah kerajaan negeri. Manakala MKW adalah sekolah di bawah kelolaan rakyat.

Selain itu, di MKW pakaian rasmi pelajar lelakinya tidak memakai seluar dan baju kemeja seperti di MEF ; walaupun pakaian rasmi bagi pelajar perempuan hanya berbeza dari segi warna pakaian sahaja. Di MKW pelajar lelaki diwajibkan memakai kain sarung / pelikat dan memakai baju Melayu serta bersongkok putih ( ketayap ). Kasut pula boleh sahaja memakai selipar !.

Peraturan berpakaian begitu bagi saya tidak bermasalah sangat. Kerana semasa saya bersekolah di Madrasah Ubudiah Parit (6 ) dahulu saya telahpun biasa dengan pakaian begitu ; walaupun telah ditetapkan pelajarnya perlu memakai songkok hitam dan tidak boleh berkasut selipar sahaja.

Dari segi bangunan MKW pula memanglah amat berbeza dengan bangunan MEF Sungai Besar; walaupun bangunan MEF juga dibina dari bahan kayu.

Saya dipahamkan, bangunan MKW telah dibina secara gotong royong hasil derma/ wakaf orang ramai, semasa MKW diketuai oleh mudir sebelumnya iaitu Ustaz Haji Othman bin Haji Sidek. Beliau telah meletak jawatan beberapa tahun kemudian kerana dilantik sebagai guru sandaran di MEF Sungai Besar oleh pihak JAIS. Berikutan itu menyebabkan MKW malap dan ditutup terus sebelum dibuka semula dengan lantikan mudir baru .

Bangunan MKW dibina di atas tapak berbentuk huruf (L). Bangunannya cuma setingkat seperti rumah kampung biasa.. Keseluruhannya dari bahan kayu beratapkan bahan zing. Manakala bahagian bawah/ lantai pula terbiar tanpa disimen, menyebabkan jadi becak apabila air hujan tempias masuk ke dalam bangunannya yang hanya berdinding papan separuh sahaja di bahagian bawah !.

Semasa saya masuk belajar di MKW satu bilik tambahan dibina di tengah-tengah bangunan sedia ada menjadiknnya seperti huruh (F) . Bilik ini adalah bilik pejabat dan bilik mudir. Walaupun begitu, bilik ini masih lagi berdinding separuh dan di bahagian atasnya dipasang dawai jaring , bagi mengelakkan sesiapa masuk bebas ke situ.

Peralatan perabot bilik darjah seperti papan hitam, meja dan kerusi pelajar pula saya perhatikan semuanya adalah dibuat sendiri oleh tukang penduduk tempatan. Kebanyakan meja dan kerusi pelajar adalah dari jenis ' bangku panjang ' tanpa laci. Namun bagi pelajar kelas thanawi / menengah ada di antaranya menggunakan meja sebuah-sebuah dan berlaci , seperti diguna oleh pelajar-pelajar sekolah biasa.

Untuk makluman, bangunan MKW pada waktu petang turut digunakan oleh pelajar sekolah agama JAIS yang baru diwujudkan di Kampong Pekan Selasa Lama , di mana bangunan asalnya adalah terletak di kawasan Masjid An Nur, Sungai Haji Dorani , hampir 500 meter dari situ.

Waktu persekolah MKW hanya pada sessi pagi sahaja, bermula jam 8.00 pagi hingga jam 12.00 tengah hari. Namun, pada waktu sebelah petang kira-kira jam dua semua pelajarnya diwajibkan hadhir ke sekolah semula atau ke surau untuk ulangkaji dan menghafaz pelajaran. Pada waktu malam selepas solat Isyak, sekali lagi pelajarnya diarah datang ke sekolah atau surau untuk ulangkaji pelajaran dan menghafaz dengna diawasi oleh guru-guru kelas.

Oleh kerana tugasan guru MKW seolah-olah ' 24 jam ' , semua gurunya dihendakki tinggal menetap di kawasan sekolah atau kawasan berhampiran. Sebahagian mereka ada yang tinggal di rumah sendiri dan ada yang tinggal di rumah sekolah yang disediakan pihak pentadbiran .

Seingat saya guru-guru yang menetap di rumah sendiri ialah Ustaz Haji Zainal Abidin Haji Sarkawi, Ustaz Haji Azra'e Haji Ahmad dan Ustaz Khalil Abd.Ghafur yang tinggal 'di pondok ' kepunyaan beliau berhampiran surau Khairiah Wataniah.

Manakala guru yang tinggal di rumah kepunyaan madrasah pula ialah Ustaz Abd.Rashid Abd.Razak ( tuan mudir ) dan Ustaz Hamdan Saad ( Selepas beliau pindah, diganti oleh Ustaz Haji Damanhuri ).

Selain perkara-perkara dinyatakan di atas, banyak lagi ' perbezaan ' antara MKW dengan MEF Sungai Besar. Insya Allah saya akan ceritakan mengikut bab-bab tertentu akan datang...




Tiada ulasan:

Catat Ulasan