BELAJAR DI MADRASAH KHAIRIAH WATANIAH
Saya kira amat lama saya tidak ' mengedit ' blog ini dan seperti ditinggalkan pula !.....
Hari ini baru saya ada kesempatan menyambung semula kisah yang lalu..... Kerana selama ini masa yang ada telah dipenuhi dengan kerja kemaskini blog-blog saya yang lain dan perlu kepada kerja pengeditan semasa. Seperti blog ini (1) blog ini (2) blog ini (3),
OK lah....ikuti kisah saya seterusnya:
Saya masuk mendaftar untuk belajar di Madrasah Khairiah Wataniah, Pekan Selasa Lama, Sungai Haji Dorani setelah beberapa bulan penggal persekolahan dibuka. Kalau tidak salah ingatan saya , pada awal bulan Mac.
Sebelum saya masuk belajar di situ, saya pernah berjumpa dengan guru agama saya semasa belajar di Madrasah 'Ubudiah , Parit (6), Sungai Besar, Ustaz Jaafar Haji Akib.
Beliau tinggal di Pekan Selasa Lama, tidak jauh dari Madrasah Kahiriah Wataniah. Saya juga berjumpa dengan rakan sekelas semasa belajar di Madrasah Ehyaul Falah, Sungai Besar bernama Rabiatul Adawiah @ Arbaiyah Mohd.Nor . Mereka amat menggalakkan saya masuk belajar di Madrasah Khairiah Wataniah untuk menyambung pelajaran.
Ustaz Jaafar yang kenal secara dekat dan tahu latar belakang persekolahan saya memberitahu, Madrasah Khairaiah Wataniah ( selepas ini akan saya sebut MKW sahaja ) baru sahaja disusun semula pentadbirannya. Mudirnya berkelulusan universiti dari negara India, di samping ada guru bahasa Inggeris yang berkelulusan dari sebuah universiti dari negara Indonesia.
Beliau amat berharap saya masuk belajar di MKW supaya nanti ada kalangan pelajarnya yang lebih berpengalaman dan berkebolehan ( konon ! ) untuk dijadikan sebagai ' ketua umum ' . Rakan saya , Rabiatul Adawiah pun amat menyokong cadangan Ustaz Jaafar dan memberitahu saya akan diletakkan dalam kelas thanawi - kelas tertinggi di MKW - seperti juga beliau. Kerana saya berkelulusan Darjah Khas (4) serta telah mempunyai asas Bahasa Arab.
Saya dipahamkan, semua kitab / buku teks yang digunakan di MKW adalah dalam Bahasa Arab sepenuhnya . Jadi tidak begitu bermasalah sangat jika saya masuk belajar di situ.
Saya tertarik masuk belajar ke MKW bukanlah kerana tawaran-tawaran dinyatakan di atas.
Tetapi, saya lebih memikirkan tentang masa depan . (Kalau nak kawin sekarang pun usia masih muda ! - Walaupun ada rakan saya sekelas yang telah berkahwin dan bergelar isteri ) Oleh itu, daripada saya menganggur tanpa ilmu, adalah lebih baik saya menimba ilmu pengetahuan waktu ini , terutama sekali bagi menambah pengetahuan ilmu agama dengan kitab berbahasa Arab .
Kemudian akhirnya, saya mendapat seorang rakan sekelas masa di Madrasah Ehyaul Falah dahulu bernama Ahmad Ismail bin Haji Kornain yang tinggal di Kampung Parit (8) untuk sama-sama mendaftar di MKW.
Ahmad Ismail rakan saya itu memang sudah mempunyai sebuah motorsikal sendiri. Jadi, waktu pergi ke sekolah saya datang ke rumah beliau dahulu dengan menunggang basikal sendiri , dari rumah beliau saya memboceng motosikal beliau pula untuk pergi ke MKW tiap hari.
Namun, mungkin kerana suasana dan peraturan berbeza dari Madrasah Ehyaul Falah , selain kitabnya semua dalam Bahasa Arab, Ahmad Ismail akhirnya terpaksa ' menarik diri ' dari belajar di MKW hanya selepas beberapa minggu belajar di situ . Maka tinggallah saya seorang diri meneruskan pelajaran di MKW !....
Ketiadaan beliau, menyebabkan saya merasakan satu masalah untuk pergi ke MKW tiap hari. Kerana terpaksa menunggang basikal dari rumah saya di Parit (9) Barat ke Pekan Selasa Lama tiap hari, yang jauhnya hampir 10 kilometer sekali perjalanan .
Selain itu, apabila balik sekolah di MKW pada waktu petang selepas solat Zohor saya terpaksa pula berbasikal lagi ke Parit (7) Gambut untuk mengajar sukarela bersama rakan saya, Mohd.Said bin Markasan di sekolah rakyat ( seperti saya ceritakan sebelum ini ).
Namun, kerana azam seperti dinyatakan di atas, saya tetap meneruskan pelajaran di MKW walaupun tidak ada teman dalam perjalanan ke sekolah dan berbasikal sahaja setiap hari !.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan