KEPADA ANDA SEMUA...

Ahad, 27 Mei 2012

CATATAN (31)


MEMBELI LAUK 20 SEN....


Semasa saya bersekolah di MKW dan tinggal di rumah pondok, tidak pernah walau sekalipun saya makan berlaukkan masakan lemak / santan. Kerana waktu itu belum ada lagi dihasilkan ' santan segera ' seperti sekarang yang boleh dibeli di kedai-kedai barangan dapur atau super market . Bukan saya seorang sahaja, malah boleh dikatakan kesemua pelajar lelaki yang tinggal di rumah pondok , semuanya sama !.

Sebab pertama, peralatan untuk mengukur atau memarut kelapa memang tidak ada dipunyai oleh sesiapa di kalangan kami. Kedua, kerana pelajar lelaki memang ' malas ' untuk memasak menggunakan berbagai aneka jenis perencah masakan ! .

Purata, kalangan pelajar lelaki memasak lauk cara goreng, bakar atau tumis menggunakan minyak masak sahaja. Bahan utama yang hampir ' wajib ' ada di daput rumah pondok ialah telur ayam, ikan bilis dan ikan kering atau kadang kala sayuran yang dibeli di kedai Cina di Pekan Sungai Haji Dorani.

Malah ada di kalangan rakan saya yang boleh memasak nasi sekaligus dengan lauk . Masak nasi, masaklah lauknya dan boleh terus untuk dimakan !. Ada juga yang hanya makan bihun goreng waktu makan tengah hari . Semua ini dilakukan kerana kekangan masa yang amat terhad, sebelum pergi ke sekolah waktu petang atau waktu malam .

Pendek kata, kami pelajar MKW tidak pentingkan makanan harian, tetapi pentingkan usaha untuk mendapat ilmu agama sebanyak mungkin !.

Untuk sarapan pagi pula kebanyakan kami hanya makan biskut tawar kering yang direndam ke dalam air minuman dengan disira gula pasir atau susu. Kalau rajin sedikit, ada juga yang membuat lempeng tepung gandum cecah gula pasir atau dengan gula merah. Bila perut sudah dilapik sedikit dengan makanan, kami semua segera keluar menuju ke sekolah yang jauhnya kira-kira 50 meter .

Namun, keadaan begitu telah berubah sedikit......

Ceritanya seperti di bawah ini :

Suatu hari seorag rakan memberitahu pelajar lelaki, sama ada kami ingin membeli lauk masak dari seorang guru MKW yang sanggup memasak lauk lebih selain untuk keluarga beliau, untuk makan tengah hari.

Mungkin kerana berpengalaman sebagai murid belajar di sekolah pondok masa lalu , atau melalui pemerhatian setiap hari, guru bernama Ustaz Azra'e Haji Ahmad yang tinggal tidak jauh dari kawasan perumhan pondok kami,  telah menawarkan untuk menjual masakan lauk ikan atau sayuran dengan kadar bayaran 20 sen seekor ikan temenung atau ikan kembung dan begitu juga masakan sayur.

Pelawaan beliau telah disambut baik oleh semua pelajar lelaki termasuk saya , walaupun beliau menawarkan jualan masakan lauk tersebut hanya untuk makan tengah hari sahaja. Menurut beliau masakan lauk untuk makan malam tidak dapat dijual kerana kami makan malam biasanya selepas balik mutalaah malam pada jam sepuluh lebih, sedangkan beliau telah selesai makan malam selepas solat Isyak.

Bermula dengan tawaran itu, pada tiap hari ketika hendak pergi solat zohor di surau kami beramai-ramai akan singgah dahulu ke rumah Ustaz Azra'e menghantar mangkok atau ceduk kole untuk diisi dengan lauk atau sayur yang hendak dibeli. Selepas solat, kami berduyun-duyun pula ke rumah beliau untuk mengambil lauk yang dibeli oleh masing-masing.

Suasana semasa hendak pergi membeli lauk ini amat menyeronokkan kami . Kerana ada di kalangan rakan kami memang berperangai lucu / lawak dengan menjadikan duit syiling 10 sen atau 20 sen sengaja dilambung-lambung dalam mangkok atau ceduk kole hingga mengeluarkan berbagai bunyi seperti muzik !.

Al hamdulillah..... Dengan usaha dan prihatin Ustaz Azra'e dan keluarganya kami pelajar lelaki yang tinggal di rumah pondok dapat merasa masakan lauk yang menyelerakan seperti di rumah masing-masing !.

Kalau tidak ?.......Siapa yang pernah mengalami tinggal di rumah pondok saja yang tahu dan boleh menjawabnya !



Tiada ulasan:

Catat Ulasan