GOM SOLAH !....SOLAH !......
Cuba bayangkan apa perasaan anda.....sedang tidur nyenyak tiba-tiba ada orang lain mengganggu menyuruh kita bangun dari tidur atau jaga serta merta !. Kalau cuma sesekali mungkin boleh juga menahan sabar bukan ?. Tapi bagaimana kalau keadaan begitu berlaku pada setiap malam ?. Sudah tentu perasaan marah dan geram tidak boleh diselindungkan lagi .....
Peristiwa begitu sebenarnya telah menjadi satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan ketika saya tinggal di rumah pondok , bersekolah di MKW puluhan tahun dahulu !
Pada mulanya saya juga mempunyai sikap seperti kebanyakan orang. Marah dan geram di perlakukan begitu . Namun lama kelamaan, perkara itu sudah tidak menjadi satu masalah lagi bagi saya dan rakan-rakan lain.
Memang benarlah kata orang tua-tua: Alah bisa tegal dek biasa !. Semua suasana yang saya rasai telah mengubah sikap saya yang terbiasa bangun lewat kepada bangun awal sebelum subuh. Saya bersyukor dan rasa bertuah kerana mempunyai pengalaman begitu !.
Untuk pengetahuan anda pembaca, kebiasaannya pelajar yang tinggal di rumah pondok hanya akan tidur seawal jam 12 tengah malam !. Kerana selepas balik mutala'ah ( ulangkaji pelajaran ) di sekolah waktu malam, ramai pelajar akan pergi ' menjenguk ' dapur masing-masing. Sama ada untuk memasak nasi atau pun makan malam nasi yang telah dimasak sendiri sebelum pergi mutala'ah di sekolah tadi.
Kalau pun bukan kerana hal tersebut, memang ramai pula pelajar yang cuma suka-suka bertandang ke rumah pondok rakan sebelah menyebelah untuk berbual-bual kosong hingga jam 12 malam lebih secara sembunyi-sembunyi ( Kerana semua pelajar di arah tidur jam 11 malam ).
Tujuan mereka berbuat begitu semata-mata untuk mengelak rasa bosan dan kesunyian . Kebetulan pula semua pelajar yang tinggal di rumah pondok memang tidak dibenarkan membawa radio sendiri selain TV pada waktu itu masih belum lagi ada di kampung, kerana tiada bekalan api elektrik !
Selepas puas berbual kosong dengan rakan-rakan , barulah masing-masing pelajar meletakkan kepala ke bantal untuk tidur.....Waktu tinggal di rumah pondok, saya masih ingat semua rakan kami tidur dengan memakai kelambu bagi mengelakkan gigitan nyamuk yang memang banyak dan ganas !
Dalam keadaan masing-masing pelajar sedang tidur nyenyak atau lena, kebiasaannya kira-kira jam 4.00 pagi tiba-tiba terdengar suara seseorang mengarah supaya semua pelajar bangun sambil memukul-mukul dinding rumah pondok dengan sesuatu benda , seperti kayu atau kain !.
Suara yang biasa didengar ialah dalam bahasa Arab : " Gom solah !...Solah !... " Maknanya, Bangun sembahyang !....Sembahyang ! " . Suara itu kedengaran beredar dari satu rumah pondok ke rumah pondok yang lain...
Ketika itu, semua pelajar walaupun mungkin kebetulan sedang dibuai mimpi indah secara terpaksa gosok mata dan celik secepat mungkin !. Kenapa mesti cepat bangun ?. Ada dua sebabnya : Pertama, kalau lambat bangun sudah tentu lambat mandi dan lambat datang ke surau ! . Kedua , kalau lambat datang ke surau sehingga mudir datang dahulu untuk sembahyang subuh, alamatlah kena ' balun ' !....
Untuk makluman anda pembaca, pelajar yang tinggal di rumah pondok sebaris dengan rumah pondok saya hanya ada satu sahaja kemudahan ' stand paip ' di tepi jalan besar yang boleh digunakan untuk mandi secara beramai-ramai atau bergilir. Bagi pelajar yang tinggal di rumah pondok kawasan surau, mereka boleh terjun mandi menggunakan kolam surau sahaja.
Apabila suara " Gom solah ' sudah berlalu dan tidak kedengaran lagi , suasana suara riuh rendah suara pelajar bangun dari tidur dan hendak pergi mandi pagi pula mula kedengaran bersama dengan bunyi baldi zing berlaga dengan cebuk air. Sebentar sahaja suasana kesunyian subuh sudah bertukar.....
Mujurlah , pada masa saya tinggal di rumah pondok dahulu jalan besar Sungai Besar - Sekinchan tidak sebuk dengan orang lalu lalang seperti sekarang . Kalau tidak, mungkin ada cerita lain berlaku.....Kerana selain ramai pelajar mandi di stand paip, ramai pula yang berlari berkejaran di atas jalan raya dalam suasana gelap, sementara menunggu giliran mandi .
Saya masih ingat, pelajar lelaki MKW yang ' rajin ' bertugas mengarah pelajar bangun waktu subuh tersebut ialah Mayasin bin Arshad . Beliau berasal dari Kampong Parit (4) Sungai Burung, Tanjong Karang. Beliau satu-satunya pelajar MKW yang digelar sendiri oleh Mudir Ustaz Rashid sebagai ' keramat hidup ' . Kerana sikap taatnya mengikut arahan guru dan amat-amat rajin ! .
Mayasin selepas tamat belajar di MKW , beliau telah bertugas sebagai siak kampung di Masjid An Nur Sungai Haji Dorani . Dari sejak bujang hingga beliau berkahwin.... Kemudian beliau berpindah dan meletak jawatan siak kampung kerana berjaya menjawat jawatan siak kerajaan di Masjid Pelabuhan Kelang. Semasa bertugas di situ beliau mengambil kesempatan menyambung lagi pelajarannya di Maahad Klang dan yang terakhir bertugas sebagai Ketua Noja dan guru agama di Masjid Negeri, Shah Alam hinggalah bersara.
Satu peristiwa berkaitan mandi pagi di stand paip yang masih segar dalam ingatan saya ialah ketika seorang rakan bernama Bustami kena pukul dengan baldi oleh Mudir Ustaz Rashid. Beliau kena pukul kerana lewat mandi pagi, sedangkan rakan-rakan lain sudah berada disurau !.
Ketika kejadian, Bustami dikatakan sedang mandi bersendirian di stand paip tepi jalan besar Sungai Besar - Sekinchan . Manakala saya dan rakan-rakan lain telahpun pergi ke surau. Ketika itu kebetulan Mudir Ustaz Rashid lalu di situ untuk pergi ke surau. Apabila melihat Bustami masih lagi mandi , sedangkan waktu solat subuh hampir masuk , tanpa di sedari mudir Ustaz Rashid lantas mengambil baldi yang diperbuat daripada zing dan memukul badan Bustami hingga baldi tersebut kemek !. Mujurlah Bustami segera melarikan diri.....
Pada mulanya peristiwa itu tidak ramai rakan yang tahu, kecuali selepas Mudir Ustaz Rashid sendiri mendedahkannya ketika dalam perhimpunan murid waktu pagi hari berikutnya. Namun, sehingga kini saya gagal bertemu semula dengan Bustami selepas kami meninggalkan MKW untuk ' bercerita ' kisah-kisah lama.....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan