MAJALAH TUNAS PELAJAR
Waktu belajar di peringkat sekolah rendah, kegemaran saya adalah membaca buku dan melukis. Ini disebabkan sikap saya yang pemalu dan mempunyai perasaan rendah diri untuk bergaul dengan kawan-kawan sebaya. Saya juga tidak berminat dalam sukan .
Sikap demikian lahir mungkin disebabkan keadaan fizikal saya yang kurus kerdil waktu itu dan latar belakang keluarga saya adalah kalangan orang miskin.
Tabiat suka membaca itu ‘ terbawa-bawa ‘ hingga saya masuk ke Sekolah Arab di Madrasah ‘Ubudiah Parit (6), Sungai Besar. Saya adalah pelanggan tetap akhbar Utusan Kanak-Kanak tiap keluaran dan juga meminati siri komeknya yang dilukis oleh Rosdin Tangkak, Johor berjodol ‘ Roslin dan Roslina ‘ - Komek menceritkan pengembaraan ke angkasa lepas !.
Ketika berada di rumah pula saya sering turut membaca majalah hiburan ‘ Utusan Filem dan Sports ‘ yang dibeli oleh abang saya , tetapi minat saya hanyalah untuk membaca cerpen yang disiarkan ( Majalah tersebut dalam tulisan Jawi ).
Mungkin disebabkan hal-hal dinyatakan di atas, saya mempunyai minat mendalam dalam bidang penulisan sastera apabila meningkat usia belia. Minat saya makin berkobar-kobar selepas saya berjaya mendapat tempat pertama dalam pertandingan menulis cerpen di Madrasah Ehyaul Falah ( Tajuk cerpen lupa ! ).
Salah seorang hakim pertandingan cerpen itu ialah Cikgu Abd.Rahman Anuar dari Pasir Panjang , Sekinchan ( Beliau waktu itu menjadi wartawan sambilan dengan akhbar kumpulan Utusan Melayu. Beliau akhirnya menjadi 'rakan sebaya' saya kemudiannya dan turut mendorong untuk menjadi wartawan sambilan ( stringer ) akhbar kumpulan Utusan Melayu kawasan Sabak Bernam, Sungai Besar dan Tanjong Karang , dalam tahun-tahun 80 an hingga awal 90 an ).
Kata-kata ulasan beliau ke atas cerpen saya tersebut amat membanggakan . Beliau menyatakan cerpen saya ‘ ada bakat ‘ dan baik serta perlu diteruskan usaha menulis cerpen hingga berjaya…..
Bertolak dari galakan beliau itu , saya telah bercadang untuk menerbitkan majalah sekolah dengan tujuan agar dapat saya menulis cerpen-cerpen lain bagi tatapan rakan-rakan ( Kalau dihantar ke akhbar / majalah mungkin belum boleh diketengahkan ! ).
Saya telah ‘ bermesyuarat ‘ dengan beberapa rakan dan cadangan saya telah dipersetujui oleh mereka dan juga guru-guru sekolah ( Kebetulan waktu itu saya menjawat jawatan sebagai Ketua Umum Pelajar ! ) . Semua perbelanjaan untuk membeli kertas digunakan dari wang saku saya dan rakan-rakan tersebut, termasuk wang dari perpustakaan sekolah ( kalau tidak salah ingatan saya ) .
Untuk makluman, waktu itu belum ada mesin fotostat seperti sekarang. Kerana itu majalah sekolah yang kami diterbitkan hanyalah dari jenis ‘ majalah stencil ‘ sahaja. Kerja-kerja menaip stencil saya lakukan sendiri dengan menggunakan mesin taip sekolah, kemudian dibantu oleh rakan-rakan untuk mencetaknya menggunakan mesin ‘ gestetner ‘ kepunyaan sekolah.
Majalah tersebut kami namakan ‘ Tunas Pelajar ‘ dijual dengan harga 50 sen senaskhah dan jualannya terhad di kalangan pelajar Madrasah Ehyaul Falah sahaja !.
Penerbitan majalah sekolah tersebut adalah ketika saya berada di tahun akhir persekolahan dan ianya berjaya diterbitkan ( kalau tidak salah ingatan saya ) hanya sebanyak tiga keluaran sahaja . Selepas saya keluar dari sekolah, majalah tersebut pun turut ‘ keluar ‘ bersama…….
Kandungan majalah tersebut turut dimuatkan penulisan sastera seperti pantun, sya’ir dan puisi hasil tulisan pelajar-pelajar sekolah ( Penyajak terkenal Sabar Bohari dan Ahmad Sarju turut menyumbang penulisan sajak mereka dalam majalah ini ! – Waktu itu beliau bertugas di sekolah kawasan Sungai Besar ) , artikal agama dan ilmiah, kata-kata jenaka dan tidak ketinggalan cerpen karya saya sendiri !….
Mungkin ‘ satu kesilapan ‘ dilakukan, majalah tersebut tidak ada dalam simpanan saya untuk jadi rujukan waktu kini….
Tiada ulasan:
Catat Ulasan