KUKU KAMBING PANJANG !
Seperti pernah saya ceritakan dalam tulisan yang lalu, guru-guru sekolah agama pondok sekitar tahun-tahun 70 an dan sebelumnya, mereka tidak mendapat gaji bulanan secara tetap dan tidak juga menerima bayaran bantuan dari pihak kerajaan. Punca pendapatan mereka bergantung sepenuhnya daripada bayaran yuran sekolah dan juga wang zakat padi daripada ibu bapa murid.
Bagi sekolah agama pondok yang mempunyai tanah wakaf seperti sawah atau kebun, sebahagian hasil ditentukan daripada tanah wakaf tersebut biasanya diserahkan kepada guru berkenaan atau diserahkan kepada beliau untuk mengusahakannya.
Bagi tujuan mengusahakan tanah wakaf tersebut, sudah menjadi kebiasaan pula kepada guru berkenaan meminta tolong kepada anak murid masing-masing untuk membantu kerja-kerja secara gotong royong pada masa-masa yang ditetapkan.
Ustaz Rashid, Mudir MKW adalah termasuk dalam golongan guru yang dinyatakan di atas.
MKW tidak ada mempunyai tanah wakaf sendiri, tetapi ada di kalangan ibu bapa murid yang bermurah hati menyerahkan tanah sawahnya untuk diusahakan beliau. Saya kurang pasti sama ada tanah sawah tersebut diserahkan secara ' percuma ' atau secara sewa dengan kadar yang ' istimewa ' ( bayarannya lebih murah dari bayaran kebiasaan ).
Tanah sawah yang dimakudkan terletak di Kampung Parit 11 Sungai Nibong di kawasan ban (2) dan keadaannya agak ' londang ' ( kawasan rendah ) . Kawasan terebut juga adalah kawasan padi kurang menjadi dan sedikit hasilnya !.
Suatu hari, Ustaz Rashid memberitahu pelajar lelaki kelas thanawi dan kelas lain yang sudah berumur supaya bergotong royong menanam padi di sawah padi yang beliau usahakan itu . Termasuk juga pelajar perempuan diminta sama-sama bergotong royong.
Pada pagi hari yang ditentukan, kami pelajar beramai-ramai menaiki basikal masing-masing menuju sawah dimaksudkan. Oleh kerana tempat tersebut jauh kira-kira tujuh kilometer , kami hanya dapat sampai hampir jam 9.00 pagi !.
Apabila kami tiba di sawah tersebut, sudah ada beberapa orang bapa pelajar sedang bekerja mencabut semai ( anak padi ) dan diikat. Tetapi, kumpulan pelajar perempuan masih belum sampai . Mereka memang diarah supaya tidak bersama kumpulan pelajar lelaki....
Saya dan beberapa rakan lelaki disuruh oleh seorang bapa murid ' menarik ' ikatan semai ke beberapa tempat , sebagai persediaan memulakan kerja menanam anak padi.
Kali pertama saya menjejakkan kaki ke dalam sawah tersebut, saya sudah dapat tahu ' tanah ' di situ adalah 'londang ' Di beberapa kawasannya air dalam sampai ke lutut ( kira-kira dua kaki ). Saya terfikir, siapa yang menggunakan ' kuku kambing ' pendek, alamat air sawah sentiasa terpercik ke muka bila kuku kambing di benamkan bersama anak padi . Mujur kuku kambing saya panjang kira-kira tiga jengkal !.
Selang beberapa ketika kumpulan pelajar perempuan pun sampai....Mereka diarah Ustaz Rashid supaya menanam padi di bahagian belakang sawah. Tidak boleh berkumpul dengan pelajar lelaki yang berada di bahagian ' kepala ' sawah . Pelajar lelaki sesama pelajar lelaki, pelajar perempuan hanya sesama pelajar perempuan saja !.
Mungkin sukar saya gambarkan bagaimana cara menanam padi dalam tulisan ini. Sekadar makluman kepada pembaca yang tidak pernah melihatnya, boleh digambar seperti berikut :
1. Serumpun anak padi dipegang dengan tangan bersama dengan kuku kambing dan sebelah tangan pula mencarik dua atau tiga anak padi dan diletak pada ' mata ' kuku kambing untuk di benam ke dalam tanah.
2. Menanam padi adalah secara berundur dan membongkokkan badan sepanjang masa, kecuali ketika mengambil rumpun padi yang baru atau kerana pinggang sakit membongkok !.
3. Seorang penamam padi biasanya menanam anak padi sebanyak tiga baris atau empat baris sekali jalan.
4. Mereka yang mahir menanam padi , boleh membenamkan anak padi dengan pantas hingga sukar dilihat bila masa akar anak padi diletakkan pada mata kuku kambing !.
5. Jika penanam padi ramai bilangannya, mereka akan menanam bersama-sama dalam kumpulan secara berbaris. Mereka yang mahir menanam padi akan berada di bahagian tepi sekali diikuti oleh yang lain.
6. Terdapat seorang atau dua orang pembantu untuk membelah / mengoyak rumpun padi yang agak besar dan menaburnya di sekitar kawasan yang akan dilalui oleh penanam padi tersebut. Mereka juga bertugas mengambil rumpun padi yang tertinggal dalam kawasan yang telah ditanam.
Setelah semua pelajar hadhir, kami pelajar lelaki pun diarah menanam anak padi di kepala sawah berhampiran jalan kampung....
Ketika saya mengeluarkan kuku kambing yang dibalut dengan kertas surat khabar, beberapa orang rakan saya bertanya ( sambil memerli ) kenapa bawa kuku kambing panjang yang boleh dibuat tongkat ?. Apabila saya ditanya secara sindiran/ perli, saya pun menjawab dengan cara yang sama juga !.
Saya menjawab, " Kuku kambing yang boleh dibuat tongkat inilah nanti yang sampai dulu ke hujung dan yang pakai kuku kambing pendek pula takut-takut asyik kesat muka saja!..... ".
Diringkaskan cerita, kami pelajar lelaki pun mula menanam anak padi mengikut cara yang dicatat di atas...
Apa yang saya katakan tadi memang menepati dengan apa yang berlaku. Beberapa orang di antaranya sudah mula menyapu air yang terpercik ke muka , kerana kuku kambing pendek dan tenggelam ke dalam air hingga menyebabkan air terpercik apabila dibenamkan ke tanah.
Secara bergurau saya bertanya balik kepada mereka , " Orang menanam padi biasanya tangan saja yang basah, tapi kenapa pula kali ni ada yang asyik sapu muka !.....".
Ramai yang ketawa, hinggakan Ustaz Rashid yang berdiri jauh dari kumpulan kami terpinga-pinga tidak tahu punca keadaan berlaku.