KEPADA ANDA SEMUA...

Rabu, 23 Jun 2010

CATATAN LAPAN

GHAZAL PARTY NURUL HUDA


Era tahun-tahun 60 an selepas ‘ demam ‘ kumpulan pop yeh-yeh melanda Negara maka dikuti pula dengan ‘ deman ‘ kumpulan ghazal party ‘. Kumpulan ghazal party yang tersohor waktu itu ialah Ghazal Parti Kepala Batas yang dipimpin oleh Ustaz Idrus Saidi. Radio Malaysia ( RTM ) kuala Lumpur waktu itu, menyediakan slot untuk Ghazal Party Kepala Batas memperdengarkan persembahan mereka pada tiap minggu.

Kehadhiran Ghazal Party Kepala Batas ke Pekan Sabak dan Pekan Sungai Besar beberapa kali menambah ‘ parah ‘ lagi deman tersebut. Berikutan itu beberapa buah kumpulan pancaragam / kugiran yang telah wujud sebelumnya mula menukar selera kepada kumpulan ghazal party pula , seperti kugiran di Kampong Sungai Limau, Sungai Besar !.

Disamping itu, wujud pula beberapa kumpulan ghazal party yang baru seperti Ghazal Party Nujumullail Kampong Batu 38 Sabak Bernam , Ghazal Party Nurul Hilal Sungai Besar dan beberapa kumpulan lain .

‘Deman ‘ yang melanda waktu itu rupa-rupa turut menular kepada kalangan pelajar Madrasah Ehyaul Falah, Sungai Besar seperti saya dan rakan-rakan lain !.

Pada peringkat awal beberapa orang pelajar yang berminat dengan lagu-lagu Arab/ nasyid berura-ura menubuhkan kumpulan nasyid sahaja, atas nama sekolah bagi memenuhi jemputan di majlis kenduri perkahwinan yang sering diadakan sebelah malam oleh penduduk setempat waktu itu.

Apabila saya ajukan lebih baik terus ditubuhkan ‘ ghazal party ‘ berbanding dengan hanya kumpulan nasyid sahaja, maka ramai rakan-rakan bersetuju. Di antaranya Ahmad Kamal @ Akasyah Ibon, Baharuddin Sabri, Ibrahim Haji Saari, Ahmad Ismail Haji Kurnain dan Abd.Kadir Haji Mansuri

Melalui ‘ mesyuarat ‘ di kalangan kami, maka tertubuhlah Ghazal Party Nurul Huda dengan dianggotai oleh majoritinya kalangan pelajar Madrasah Ehyaul Falah, belia sekitar Kampung Parit 2 dan Parit 3 Sungai Besar dan beberapa orang yang sudah berkeluarga , tetapi masih dalam lingkungan usia awal 30 an dan berminat dalam seni muzik .

Saya masih ingat nama-nama ahli Ghazal Parti Nurul Huda yang berpusat di Parit 2 Sungai Besar. Mereka selain saya ialah : Husin Hamzah ( Parit 9 Barat ), Zaini @ Antong Sabri ( Parit 8), Baharuddin Sabri ( Parit 8 ), Ahmad Ismail Haji Kurnain ( Parit 8 ), Ahad @ Hadri ( Parit 61/2 ), Ismail ( Parit 3 ), Mokhtar ( Parit 3 ), Saad ( Parit 3 ) Abur @ Burhanudin Hasan ( Parit 3 ), Abd.Kadir Haji Mansuri ( Parit 3 ), Ibrahim Haji Saari ( Parit 5 ). Ismail Awang ( Parit (2 ), Ahmad Kamal @ Akasah Ibon ( Parit 1 ½ Barat ) , Inas @ Baharom Ibon ( Parit 1 ½ Barat ) dan Shamsuddin Haji Zamzam ( Parit 8 ).

Oleh kerana saya dianggap berpengalaman sedikit dalam muzik , kerana menjadi anggota kumpulan kugiran di kampung tempat tinggal saya , Kampung Parit 9 Barat, Sungai Besar, saya telah dilantik sebagai pemimpin kumpulan dan Ahmad Kamal @ Akasyah Ibon sebagai ketua, kerana beliau berkebolehan bermain gambus dan juga mahir dalam lagu-lagu Arab/ Nasyid.

Tempat latihan muzik kami pada tiap minggu( malam ) diadakan di rumah Ahmad Kamal @ Akasyah di Parit 1 ½ Barat. Kerana bapa dan keluarga beliau telah memberi keizinan menggunakan rumah untuk latihan selain mereka turut berminat dengan lagu-lagu ghazal party !.

Oleh kerana majoriti ahli kumpulan kami dari kalangan tidak berpendapatan / bekerja, maka sesiapa ahli kumpulan yang ada alat muzik sendiri terpaksalah berkorban menggunakan alat muzik masing-masaing semasa latihan . Di antara ahli tersebut termasuk saya mempunyai gitar, Ahmad Kamal @ Akasyah mempunyai gambus, Ismail dan Ahad/ Hadri mempunyai biula.

Suatu yang agak sukar dilakukan semasa latihan, kerana ramai ahli kumpulan kami hanya mempunyai minat, tetapi tidak tahu menggunakan alat muzik. Jadi, selaku pemimpin ( konon ! ) terpaksalah saya memberikan tunjuk ajar setakat yang saya tahu kepada mereka. Oleh kerana kekurangan alat muzik (umpamanya bonggo ), saya suruh mereka berlatih dengan memukul besen alumunium atau peha masing-masaing sahaja !.

Berkat kegigihan dan minat ahli kumpulan akhirnya dalam tempuh masa terdekat semua alat muzik penting dapat disediakan, yang dibeli melalui wang yuran tetap ahli kumpulan dan juga hasil kerja mengambil upah menanam padi. Jemputan membuat persembahan di majlis kenduri kendara juga mula diterima….

Walaupun ada persaingan dengan Ghazal Party Nurul Hilal, Sungai Besar yang semuanya dianggotai oleh kumpulan dewasa dan lebih awal ditubuhkan , kumpulan kami masih sering menerima undangan menggalakkan. Mungkin kerana ada keunikannya !.....

Di antaranya, Mokhtar dan Saad ( Adik beradik ) yang kedua-duanya pemain gitar, salah seorang mereka adalah ‘ pemain kidal ‘. Bila berada di atas pentas gitar mereka kelihatan seperti ‘ berlaga ‘ selain tiupan alat flut oleh Abd.Kadir Haji Mansuri yang boleh menyebabkan “ anak dara menjengukkan muka keluar ‘ !. Atau mungkin juga kerana pemain muziknya segak-segak belaka ( kerana masih muda belia ! )

Selain itu kumpulan kami ada mempunyai ramai para penyanyi. Di antaranya ialah : Baharuddin Sabri, Antong @ Zaini Sabri, Burhanuddin Hasan, Ismail Awang, Ahmad Kamal @ Akasyah Ibon , Ahmad Ismail Haji Kurnain, Shamsuddin Haji Zamzam dan juga mempunyai penyanyi sambilan seperti Sanusi Awang, Abd.Rahman Haji Bahauddin dan Muhamad @ Abd.Manaf Asri ( Pernah menyandang Johan Tilawah Peringkat Kebangsaan ).

Bagi jemputan di luar daerah Sabak Bernam yang meminta supaya turut dibawa bersama ‘ penari gelak ‘ ( lelaki berpakaian wanita ) mengiringi nyanyian, kumpulan kami mendapat kerjasama dengan penari gelek ‘ impot ‘ dari Ghazal Parti Sungai Nibong / Pasir Panjang, Sekinchan !

Sepanjang aktiviti sebagai pemuzik ghazal party , dua peristiwa yang menjadi kenangan saya hingga kini. Pertama, semasa menerima undangan majlis perkahwinan di Kampung Bukit Kuching, Kuala Selangor, kami ‘ digandingkan ‘ dengan Orkes Lambayan Bunga yang telah terkenal dan pernah membuat rakaman di Radio Malaysia ( RTM) Kuala Lumpur !.

Pemain drum kumpulan kami, Ibrahim Haji Shaari menjadi ‘ gugup ‘ apabila melihat peralatan muzik yang mahal-mahal dari orkes tersebut dengan pemain drumnya yang lincah dan bergaya. Bagi menenangkan keadaan saya terpaksa mengambil alih tugas bermain drum di samping memberi semangat kepada rakan-rakan kumpulan.

Al hamdulillah….bermula dengan tiupan flut oleh Abd.Kadir Haji Mansuri suasana jadi tenang semula dan penonton memberikan tepukan gemuruh serta sambutan lebih hebat diberi kepada kumpulan kami, dengan hadhirin meminta beberapa lagu top Arab diulang semula persembahannya !.

Perisitwa kedua semasa bermain di Kampong Tukang Sidin, Perak. Kumpulan kami diminta oleh ‘ tuan rumah ‘ supaya bermain lebih masa hingga jam 3 pagi, kerana ramai peminiat lagu-lagu top Arab mahu lagu-lagu tersebut dimainkan semula !.

Namun….apabila saya menjawat jawatan guru pada akhir tahun 1967 dan dihantar bertugas di Kuala Lumpur, Ghazal Party Nurul Huda menemui ‘ musim malap ‘ dan akhirnya tamat tempuh !. Ini disebakan saya tidak dapat turut sama memberi bimbingan dan beberapa orang pemainnya pula mendirikan rumah tangga , kemudian berpindah ke tampat lain…….

Agak terkilan juga, kerana dalam tempuh tersebut kumpulan kami terpaksa menarik diri dari menerima tawaran membuat rakaman di Radio Malaysia ( RTM) Kuala Lumpur.

Saya merasakan masa amat pantas beredar ketika menatap kembali gambar ahli kumpulan Ghazal Party Nurul Huda yang pernah saya pimpin suatu masa lalu, berbanding dengan realiti hidup di waktu saya berada sekarang……..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan