KEPADA ANDA SEMUA...

Khamis, 26 Julai 2012

CATATAN ( 33 )


KELAMBU TERBAKAR !


Waktu saya belajar MKW dahulu, bekalan api elektrik 24 jam di kampung-kampung Daerah Sabak Bernam, masih belum ada. Keseluruhan penduduk menggunakan pelita minyak tanah sahaja untuk kegunaan harian dan menggunakan ' lampu gaslin ' ketika ada majlis kenduri kendara pada waktu malam.

Kami pelajar-pelajar MKW yang tinggal di rumah pondok pula kesemuanya menggunakan lampu minyak tanah yang mempunyai ' cempeni ' ( kaca ), bagi mengelakkan berlaku kebakaran. Untuk kegunaan waktu kecemasan atau untuk berjalan keluar waktu malam pula kami mempunyai lampu suluh menggunakan bateri.

Bagi kegunaan surau dan juga sekolah waktu malam semasa mutalaah / ulang kaji, pihak surau dan pihak sekolah masing-masing mempunyai sebuah lampu gaslin. Kami ditugaskan untuk menyelia lampu gasli tersebut secara bergilir-gilir dan minyak gas ( tanah )  kegunaan lampu tersebut dibeli secara berkongsi oleh pelajar-pelajar.

Seperti mana telah diberitahu dalam tulisan saya terdahulu, rumah pondok pelajar-pelajar lelaki di MKW adalah kecil berukuran kira-kira 6 X 10 kaki sahaja. Kesemua rumah pondok tersebut pula beratapkan daun nipah . Manakala dinding rumah,. hanya sebuah dua sahaja berdindingkan kayu papan.

Seingat saya, tidak ada rumah pondok yang menggunakan atap zing. Termasuk rumah untuk Mudir MKW, Ustaz Rashid dan juga rumah pondok panjang untuk pelajar lelaki dan perempuan. Semua rumah beratapkan daun nipah.

Malang tidak berbau !.....

Pada suatu pagi sebelum solat subuh di surau, hebuh diperkatakan sebuah rumah pondok di kawasan seberang jalan besar berhampiran surau telah terbakar !. Namun bernasib baik, penghuninya sempat memadamkan api kebakaran dan hanya sebahagian dinding dan kelambunya sahaja yang musnah.

Dari maklumat diperolehi, rumah pondok yang terbakar itu ialah rumah pondok rakan saya bernama Mat Yasin yang digelar oleh ramai pelajar termasuk mudir sekolah sebagai ' keramat hidup ' !.

Mengikut ceritanya, malam itu Mat Yasin memasang lampu cempeninya seperti kebiasaan dan disangkutkan di dinding rumah pondok. Seperti kebiasaan juga , sebelum tidur beliau memasang kelambu untuk mengelak dari gigitan nyamuk dan hampir keseluruhan ruang kelambu tersebut memenuhi ruang rumah pondoknya.

Mungkin kerana sudah ditakdirkan, lampu cempeni yang disangkut pada dinding rumah pondok Mat Yasin pada malam itu keluar ' jelaga ' ( arang ) pada sumbunya tanpa disedari selepas dipasang. Oleh kerana jelaga itu jatuh di permukaan dan minyak gas melimpah, api lampu tersebut telah menyambar jelaga dan api menjadi marak dalam cempeni menyebabkan ia pecah dan keluar , lantas menyambar kain kelambu dan sebahagian dinding daun nipah rumah pondok !.

Mat Yasin terjaga dari tidur apabila terasa badannya panas kena bahang api dan dengan cepat keluar kelambu sambil memadamkan api yang mula marak. Ketika itu beberapa orang rakan di rumah pondok berhampiran yang terdengar jeritannya, turut membantu memadam api  dengan menyimbah air yang diambil dari kolam suaru berhampiran.

Alhamdulillah.....semuanya selamat.

Ahad, 8 Julai 2012

CATATAN ( 32 )


MEMPELAJARI PERLEMBAGAAN NEGARA MALAYSIA


Semua mata pelajaran di MKW adalah dalam bahasa Arab sepenuhnya. Kitab-kitab yang digunakan pula adalah terdiri daripada ' kitab gondol ' - kitab bahasa Arab tanpa baris. Untuk membaca dan mengetahui maknanya perlu kepada perhatian penuh ketika guru mengajar.

Walaupun semasa di Madrasah Ehya Ulfalah dahulu saya ada belajar mata pelajaran Bahasa Arab, pelajaran tersebut hanyalah sebagai asas semata-mata. Tidak boleh digunakan untuk membaca dan memberi makna ' kitab gondol ' seperti kitab pelajaran yang diguna di MKW.

Dua mata pelajaran di MKW yang saya rasa amat menarik minat saya mempelajarinya. Pertama pelajaran nahu bahasa Arab dan kedua mata pelajaran Perlembagaan Negara Malaysia. Satu lagi mata pelajaran yang sering ' memeningkan otak ' ialah mata pelajaran Mahfuzat - hafazan bait atau syair Arab.

Pelajaran Mahfuzat tersebut memang memerlukan kepada ketenangan suasana dan ketabahan untuk menghafaznya. Kalau tidak, nescaya menjadi ' saudagar buluh kasap '. Hafaz yang di pangkal, tapi yang di hujung pula lesap !. Atau menjadi sebaliknya....

Bagi saya yang agak berumur berbanding dengan rakan-rakan lain dalam kelas, menghafaz mata pelajaran ini akan menjatuhkan maruah , jika tidak hafaz ketika ' tasmek ' di hadapan guru. Bayangkan, semua rakan sekelas hafaz termasuk pelajar perempuan, tetapi kita sebagai pelajar yang sudah berumur pula tidak hafaz . Malu !......

Namun, syukor saya sepanjang belajar di MKW tidak pernah mendapat malu kerana tidak hafaz mata pelajaran tersebut. Kalau ' mutalaah ' waktu malam di sekolah tidak hafaz, waktu subuh saya akan menghafaz dengan bersungguh-sungguh hingga hafaz dan sedia untuk ditasmek pada keesukan hari di sekolah !.

Teringat saya kepada seorang rakan di MKW, tetapi bukan sekelas dengan saya. Namanya biarlah saya rahsiakan demi menjaga maruahnya. Rakan saya tersebut ( sudah ditakdirkan Allah ) amat sukar untuk menghafaz mata pelajaran mahfuzat dan mata pelajaran lain . Hinggakah kesungguhan beliau menghafaz agak luar biasa dan tekun pun masih sukar untuk menghafaznya !.

Suatu hari rakan saya tersebut telah menyatakan ' kesedihannya ' kerana amat sukar untuk menghafaz. Dalam perbualannya saya mendapat tahu semasa kecil dahulu beliau diserang demam panas yang lama sehingga mengganggu kesihatannya. Saya amat simpati dengan beliau dan memberikan nasihat kepadanya agar menerima qada' dan qadar Allah SWT itu. Saya memberitahunya, teruskan berusaha dan jangan putus asa !.
 
Nasihat tersebut beliau lakukan dengan penuh ketekunan dan keazaman yang kuat. Dan beliau telahpun melakukan usaha agak ' luar biasa ' berbanding dengan pelajar lain di MKW. Ke mana saja beliau pergi nota catatan sentiasa ada dalam poket dan tidak ada waktu terluang begitu sahaja, kecuali beliau terus menghafaz !.

Kerana sikap beliau begitu gigih dan tekun ramai rakan- rakan menggelar beliau dengan panggilan atau gelaran ' keramat hidup '. Namun, beliau tetap sabar dan tidak melenting marah .....Alhamdulillah, saya mendapat tahu kemudian, selepas  keluar dari MKW beliau telah menyambung pelajaran di Maahad Hishamuddin , Klang dan akhrinya berjaya mendapat pekerjaan di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Berbalik kepada mata pelajaran Perlembagaan Negara Malaysia seperti dicatatkan di atas, mata pelajaran tersebut diajar oleh Mudir Ustaz Abdul Rashid. Beliau memang layak mengajar pelajaran tersebut kerana apa yang dimaklumkan kepada saya oleh guru lain, Ustaz Abdul Rashid adalah berkelulusan dalam bidang Sains Politik ketika di universiti.

Mata pelajaran Perlembagaan Negara Malaysia ini diajar dalam Bahasa Melayu ( Malaysia ). Setiap kali mengajar, beliau akan menyuruh pelajar menulis sendiri setiap patah perkataan yang dibacakan beliau. Tidak seperti mata pelajaran lain, murid menyalin dari papan hitam atau dari kitab.

Habis beliau membacakan Perlembagaan Negera Malaysia mengikut kadar keperluan panjang perenggan pada hari itu , barulah beliau bersyarah memberikan penerangan seperti kuliah di universiti. Dari apa yang saya paham ( pada masa ini ) , tidak semua bab Perlembagaan Negara Malaysia yang diajar oleh beliau kepada pelajar. Hanya beberapa bab terpenting sahaja yang dijadikan sebagai sukatan pelajaran tersebut.

Namun demikian , ada beberapa bab yang diberi huraian dengan panjang lebar oleh beliau seperti hak sebagai rakyat, hak berhimpun , bahasa dan juga agama rasmi. Kadangkala semasa memberi penerangan, beliau ada menyentuh tentang pemerintahan negara waktu itu ( politik semasa ).

Alhamdulillah, dengan pelajaran tersebut pahamlah saya serba sedikit Perlembagaan Negara Malaysia kita, walaupun pada waktu itu saya memang ' kosong ' sama sekali mengenainya !.