KEPADA ANDA SEMUA...

Khamis, 26 Julai 2012

CATATAN ( 33 )


KELAMBU TERBAKAR !


Waktu saya belajar MKW dahulu, bekalan api elektrik 24 jam di kampung-kampung Daerah Sabak Bernam, masih belum ada. Keseluruhan penduduk menggunakan pelita minyak tanah sahaja untuk kegunaan harian dan menggunakan ' lampu gaslin ' ketika ada majlis kenduri kendara pada waktu malam.

Kami pelajar-pelajar MKW yang tinggal di rumah pondok pula kesemuanya menggunakan lampu minyak tanah yang mempunyai ' cempeni ' ( kaca ), bagi mengelakkan berlaku kebakaran. Untuk kegunaan waktu kecemasan atau untuk berjalan keluar waktu malam pula kami mempunyai lampu suluh menggunakan bateri.

Bagi kegunaan surau dan juga sekolah waktu malam semasa mutalaah / ulang kaji, pihak surau dan pihak sekolah masing-masing mempunyai sebuah lampu gaslin. Kami ditugaskan untuk menyelia lampu gasli tersebut secara bergilir-gilir dan minyak gas ( tanah )  kegunaan lampu tersebut dibeli secara berkongsi oleh pelajar-pelajar.

Seperti mana telah diberitahu dalam tulisan saya terdahulu, rumah pondok pelajar-pelajar lelaki di MKW adalah kecil berukuran kira-kira 6 X 10 kaki sahaja. Kesemua rumah pondok tersebut pula beratapkan daun nipah . Manakala dinding rumah,. hanya sebuah dua sahaja berdindingkan kayu papan.

Seingat saya, tidak ada rumah pondok yang menggunakan atap zing. Termasuk rumah untuk Mudir MKW, Ustaz Rashid dan juga rumah pondok panjang untuk pelajar lelaki dan perempuan. Semua rumah beratapkan daun nipah.

Malang tidak berbau !.....

Pada suatu pagi sebelum solat subuh di surau, hebuh diperkatakan sebuah rumah pondok di kawasan seberang jalan besar berhampiran surau telah terbakar !. Namun bernasib baik, penghuninya sempat memadamkan api kebakaran dan hanya sebahagian dinding dan kelambunya sahaja yang musnah.

Dari maklumat diperolehi, rumah pondok yang terbakar itu ialah rumah pondok rakan saya bernama Mat Yasin yang digelar oleh ramai pelajar termasuk mudir sekolah sebagai ' keramat hidup ' !.

Mengikut ceritanya, malam itu Mat Yasin memasang lampu cempeninya seperti kebiasaan dan disangkutkan di dinding rumah pondok. Seperti kebiasaan juga , sebelum tidur beliau memasang kelambu untuk mengelak dari gigitan nyamuk dan hampir keseluruhan ruang kelambu tersebut memenuhi ruang rumah pondoknya.

Mungkin kerana sudah ditakdirkan, lampu cempeni yang disangkut pada dinding rumah pondok Mat Yasin pada malam itu keluar ' jelaga ' ( arang ) pada sumbunya tanpa disedari selepas dipasang. Oleh kerana jelaga itu jatuh di permukaan dan minyak gas melimpah, api lampu tersebut telah menyambar jelaga dan api menjadi marak dalam cempeni menyebabkan ia pecah dan keluar , lantas menyambar kain kelambu dan sebahagian dinding daun nipah rumah pondok !.

Mat Yasin terjaga dari tidur apabila terasa badannya panas kena bahang api dan dengan cepat keluar kelambu sambil memadamkan api yang mula marak. Ketika itu beberapa orang rakan di rumah pondok berhampiran yang terdengar jeritannya, turut membantu memadam api  dengan menyimbah air yang diambil dari kolam suaru berhampiran.

Alhamdulillah.....semuanya selamat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan