KEPADA ANDA SEMUA...

Ahad, 20 Jun 2010

CATATAN TUJUH

AIR PENERANG HATI


Di kawasan Sungai Besar terdapat seorang ‘ bomoh ‘ yang dikenali ramai. Bomoh tersebut terkenal kerana boleh memberi ‘ petua ‘ kepada pemain pasukan bola sepak dalam satu-satu perlawanan untuk mencapai kemenangan. Kerana terkenalnya beliau dengan ‘ petua ‘ tersebut , di samping mengubati penyakit-penyakit sihir ( ' terkena ' ) atau lainnya, beliau telah diberi gelaran orang ramai sebagai ' Haji Ismail Bomoh '.

Sebelum ini saya memang pernah berjumpa dengan Haji Ismail Bomoh tersebut. Kerana salah seorang anak beliau yang bernama Mat Sharif sudah lama saya kenali ( Beliau pernah menjadi Ketua Kampung Parit 9 Barat dan berkahwin dengan kawan sekolah saya di kampung ini. Beliau telah meninggal dunia ). Walau pun begitu, saya tidak pernah berjumpa beliau secara rasmi atau meminta apa-apa petua untuk satu-satu maksud.

Kebetulan, semasa bersekolah di Madrasah Ehyaul Falah, menjelang hari peperiksaan akhir tahun , rakan-rakan sepondok berura-ura hendak berjumpa dengan Haji Ismail Bomoh yang tinggal di Kampung Parit 5 Barat, Sungai Besar untuk mendapatkan air penerang hati.

Rakan-rakan sepondok saya yang pernah berjumpa dengan Haji Ismail Bomoh tersebut ialah Sha’rani Emran. Beliau pernah meminta air penerang hati pada masa lalu. Atas pelawaan Sha’rani dan juga beberapa orang rakan sepondok lain, saya juga ingin turut bersama !.

Sebelum pergi berjumpa dengan Haji Ismail Bomoh, saya telah bertanya kepada Sha’rani berapa ‘ upah pengeras ‘ mendapatkan air penerang hati tersebut. Kata Sha’rani, pengerasnya ikut suka kita. Seringgit dua pun sudah cukup !.

Saya bertanya demikian kerana saya khuatir wang upah pengeras nanti berjumlah sampai berpuluh ringgit , seperti kelaziman dilakukan oleh kebanyakan bomoh !. Sedangkan saya tidak mempunyai wang sebanyak itu…

Pada masa ditentukan, kami rakan-rakan sepondok sepakat bertolak pada waktu malam lepas solat Isyak, menaiki basikal masing-masing ke rumah Haji Ismail Bomoh.

Sesampainya ke rumah Haji Ismail Bomoh,kami dapati beliau sedang solat hajat kerana ada seseorang yang kami tidak kenali meminta ubat dari beliau.Kerana itu kami sekadar bercakap-cakap sesama sendiri sahaja sementara menunggu urusan beliau selesai.

Selepas pelanggan berkenaan selesai dan beransur pulang , Haji Ismail Bomoh bertanya kepada kami tentang hajat datang menemui beliau pada malam itu. Sha’rani yang menjadi jurucakap kami pun menyatakan hajat kami datang untuk meminta air penerang hati kerana hari peperiksaan akhir sekolah hampir tiba.

Haji Ismail Bomoh maklum hajat kami dan meminta kemenyan yang kami sediakan masing-masing dari rumah kepada beliau. Seorang demi seorang daripada kami duduk berhadapan dengan Haji Ismail Bomoh untuk didoakan. Orang yang pertama berhadapan dengan beliau ialah Sha’rani, kemudian diikuti rakan-rakan saya yang lain.

Sewaktu saya berhadapan dengan Haji Ismail Bomoh beliau sempat bertanya nama bapa saya dan juga kampung tempat tinggal. Dan akhir sekali beliau bertanya nama saya. Kerana beliau akan menyebut nama pemohon semasa membaca doa pada kemenyan yang akan direndam dalam air serta diminum sebelum pergi menghadiri peperiksaan nanti.

Suatu yang menjadi ingatan dan menjadikan saya ‘ terkejut ‘ waktu itu ialah apabila Haji Ismail Bomoh memberitahu nama saya adalah nama yang baik. Orang yang mempunyai nama begitu akan selalu berjaya , dimuliakan orang ramai dan juga dikenali ahli masyarakat .

Hati kecil saya waktu itu ‘ tersentak ‘ dan gembira di samping berdoa semoga apa yang dikatakan beliau kepada saya akan benar-benar berlaku pada masa hadapan !. Walau bagaimanapun, saya amat memohon ketika itu supaya saya diberikan Allah SWT lulus dalam periksa dengan cemerlang. Tambahan pula ketika kami ingin menyumbangkan ' pengeras ' Haji Ismail Bomoh berkata : " Kamu semua budak sekolah. Tak payah apa-apa....Insya Allah kamu semua berjaya ! "

Kata-kata Haji Ismail Bomoh secara peribadi tersebut tidak pernah saya ceritakan kepada orang lain dari kalangan rakan-rakan sepondok. Tidak juga saya ceritakan kepada sesiapa, hinggalah ke saat ini ! ( Anda yang membaca catatan ini adalah orang yang pertama saya beritahu hal ini. Saya ‘ berani ‘menceritkannya juga kerana apa yang disebut Haji Ismail Bomoh dahulu memang benar-benar berlaku ke atas diri saya dan sepanjang kerjaya yang pernah saya lalui. Sama ada dalam kerjaya sebagai guru , penulis sastera, wartawan, ahli perniagaan , politik dan pemimpin masyarakat setempat ).

Saya amat bersyukur kepada Allah SWT atas kejayaan yang saya lalui setakat ini dan kata-kata Haji Ismail Bomoh di atas hanyalah sebagai satu kebetulan sahaja….

Tiada ulasan:

Catat Ulasan