KEPADA ANDA SEMUA...

Ahad, 31 Mac 2013

CATATAN (35)

SELAMAT TINGGAL MKW !.....



Suatu hari ( lupa tarikhnya ) saya menerima sepucuk surat dari pihak Jabatan Agama Islam Selangor. Berdebar-debar hati saya sambil membuka surat tersebut....

Saya tahu surat tersebut adalah jawapan temuduga untuk memohon jawatan guru agama. Namun kuat sangkaan saya , jawapan yang diberikan tentu mengecewakan ! . Saya bersangka begitu kerana dua sebab . Pertama, waktu temuduga dahulu saya tidak diminta oleh penemuduga terlibat untuk menunjukkan sijil kelahiran asal, sedangkan rakan-rakan lain diminta menyerahkannya untuk disemak. Kedua, waktu temuduga bahagian pengetahuan am, soalan yang bukan-bukan diajukan kepada saya !.

Selain itu, semasa hadhir temuduga ramai kenalan lelaki memakai pakaian kebangsaan bersampin. Kecuali beberapa orang sahaja yang sekadar memakai songkok dan berbaju kemeja , seperti saya. Dari segi ' ketokohan ' sebagai guru agama pastilah pakaian begitu ' kurang markah ' .

Terpegun saya seketika, apabila membaca jawapan mengatakan saya berjaya ! Surat tersebut juga mengarahkan saya melapor diri ke Sekolah Kebangsaan Polis Depot, Kuala Lumpur....( Saya seolah-olah tidak percaya jawapan begitu ).

Saya termenung seketika. Di mana letaknya sekolah yang dinyatakan oleh surat tersebut ?. Bagi saya bandar Kuala Lumpur adalah sebuah ' dunia ' yang amat asing. Manakan tidak , saya pernah datang ke Kuala Lumpur hanya beberapa kali sahaja ketika mengikuti rombongan lawatan sekolah, Madrasah Ehyaul Falah dahulu . Itupun, kalau disuruh bersiar-siar sekitar bandar sudah tentu tersesat !......

Keesukan hari, saya berjumpa dengan rakan-rakan Madrasah Ehyaul Falah yang sama-sama ditemuduga. Mereka ialah Nawari Jamhari, Sulaiman Sidek dan Tumadi Haji Saleh. Saya mendapat tahu semua mereka turut berjaya dan diarah bertugas ke sekolah tertentu.

Nawari Jamhari diarah ke Sekolah Rendah Agama Parit (6) Sungai Besar, di kampung sendiri. Sulaiman Sidek diarah ke Sekolah Rendah Agama Pasir Panjang, hampir dengan tempat tinggalnya. Tumadi Haji Saleh pula diarah ke Sekolah Jenis Kebangsaan Jalan Kuantan, Kuala Lumpur, sama seperti saya diarah ke sekolah kebangsaan di Kuala Lumpur ! .....

Pada hari yang lain saya berjumpa dan berbincang dengan Tumadi Haji Saleh tentang arahan Jabatan Agama Islam Selangot tersebut. Tumadi pun ' dua kali lima ' juga dengan saya tentang bandar Kuala Lumpur !. Cuma, Tumadi ada kenalan seorang guru yang tinggal di Kampong Baru, Kuala Lumpur yang mungkin boleh menolong kami mencarikan rumah sewa dan menunjukkan sekolah masing-masing mengikut yang diarahkan.

Masalah saya yang pertama telah selesai.....

Masalah saya berikutnya ialah bagaimana saya hendak berhenti sekolah di MKW ?. Saya paham, tentu mudir Ustaz Rashid akan marah melenting bila saya hendak berhenti sekolah di situ, sedangkan dalam borang masuk belajar dahulu saya berjanji belajar hingga tamat rabi' thanawi !.

Walaupun begitu, bila saya maklumkan kepada Ustaz Jaafar ( bekas guru saya di Madrasah Ubudiah Parit (6) dahulu ), belum mengucapkan tahniah dan menasihati saya supaya menerima tawaran. Begitu juga dengan rakan-rakan pondok , semua gembira dan mula memanggil saya dengan sebutan ' ustaz ' !.

Beberapa hari selepas menerima surat tawaran, pada hari terakhir saya bersekolah di MKW, saya memberanikan hati berjumpa dengan mudir Ustaz Rashid !.Ketika itu mudir Ustaz Rashid duduk di pejabat bersama beberapa orang guru. Ramai rakan sekelas saya mengintai apa akan berlaku .....

Secara tertib saya memberi salam dan duduk berhadapan dengan mudir Ustaz Rashid dan menyatakan saya mohon berhenti sekolah kerana dilantik menjadi guru agama. Hati saya gugup. Saya sudah nekad menerima apa saja kata-kata beliau. Bagi saya, sama ada diizinkan atau tidak pada esuk hari saya tetap mengucapkan ' selamat tinggal MKW ' !.

Alhamdulillah....sangkaan saya meleset sama sekali.  Mudir Ustaz Rashid dengan nada lembut berkata : " Kalau anta nak jadi guru agama, silalah....Ajarlah ilmu agama yang anta telah dapat di sini kepada orang lain pulak..... ". Sejuk hati saya dan hampir menitiskan air mata mendengar jawapan begitu.

Selesai urusan dengan mudir Ustaz Rashid, saya bersalaman dengan beliau termasuk guru-guru yang ada di situ. Semua mereka mengucapkan tahniah ! Apabila masuk ke kelas semula, rakan-rakan senyum bangga....

Esuk harinya saya tidak lagi hadhir ke MKW. Saya telah berhenti sekolah dengan rasminya. Selamat tinggal MKW.....Semua kenangan selama belajar di itu pasti menjadi khazanah pengalaman hidup saya pada hari muka.....

Selamat tinggal rakan-rakan dan MKW !.

Tiada ulasan:

Catat Komen