KEPADA ANDA SEMUA...

Selasa, 19 Oktober 2010

CATATAN SEMBILAN BELAS:

MERAKAM GAMBAR DARI ATAS POKOK KELAPA !


Semasa bersekolah di Madrasah Ehyaul Falah, Sungai Besar saya akui memang ‘ jahil ‘ dalam bidang fotografi. Kerana itu, apabila saya mengambil gambar ada kalanya gambar tersebut cantik . Sinaran cahaya sesuai dan kedudukan gambar menarik. Tetapi, pada ketika yang lain gambar tersebut gelap atau terlebih cahaya pula !.

Waktu itu saya masih percaya dengan panduan mereka yang juga ‘ jahil ‘ seperti saya. Kata mereka: “ Filem gambar kalau dibuka dari tabung atau pembalut kertasnya , akan masuk angin dan gambar akan terbakar ! “.

Kerana itu apabila saya menyewa kamera, biasanya dari Kedai Gambar Bee Dol, Sungai Besar saya suruh taukehnya , “ Tolong pasang dia punya filem sekali…”. Kerana saya takut filem masuk angin dan gambar terbakar langsung tak jadi !.

Walaupu begitu , kadang kala gambar yang saya ambil masih juga ada yang ‘ tak jadi ‘ dan saya terus merasa pelik kenapa ‘ filem masih masuk angin juga ! ‘……

Saya menyentuh sedikit hal di atas kerana hendak memberitahu kepada anda betapa rendah dan jahil pengetahuan saya tentang fotografi…..( Kerana itu saya berazam sungguh-sungguh supaya suatu masa nanti saya mesti tahu segala-galanya tentang fotografi ! )

Peristiwa berlaku apabila sekolah kami menjemput tuan punya Kedai Gambar Bee Dol mengambil gambar ramai murid dan guru untuk dimuatkan dalam buku perasmian bangunan baru sekolah . Waktu itu saya merasa hairan kenapa jurugambar berkenaan terpaksa pergi jauh berundur ke belakang , hingga terpaksa berada di seberang parit bangunan sekolah kami ?.

Waktu itu bangunan Madrasah Ehyaul Falah telah dibina bangunan kayu yang baru dua tingkat, tetapi tidak ada pagar , seperti keadaan kawasan SRA Ehyaul Falah sekarang. Kami murid-murid diarah berbaris hampir tepi parit ( sekarang jalan lalu lalang di hadapan sekolah ) bersama guru-guru yang telah disediakan kerusi duduk mereka untuk bergambar…..

Kalau tidak salah ingatan saya, jumlah murid dan guru yang hendak diambil gambar ketika itu hanya sekitar 200 orang sahaja.

Kerana barisan murid yang hendak diambil gambar bersama guru itu agak panjang , maka jurugambar Bee Dol terpaksa berada di seberang parit besar di hadapan sekolah kami.

Pada mulanya beliau berdiri di atas jalanraya sahaja ( jalan besar di hadapan sekolah sekarang ). Mungkin kerana masih ramai yang tidak ‘ masuk dalam gambar ‘ beliau terpaksa masuk ke kawasan kebun kelapa berhadapan dengan kumpulan kami yang sudah bersiap sedia . Kami yang hendak diambil gambar hanya memerhati sahaja perbuatan beliau itu dan ada beberapa orang rakan kami ketawa kecil melihat jurugambar tersebut masuk semak samun !....

Selepas masuk kawasan kebun kelapa ( sekarang di kawasan itu telah ditempatkan rumah kediaman kaki tangan kerajaan Pejabat Daerah ) , jurugambar Bee Dol terpaksa pula memanjat sebatang pokok kelapa, kira-kira lima kaki tingginya dari paras tanah supaya tidak terlindung oleh rumput semak samun ketika mengambil gambar . Kemudian barulah seorang pembantu beliau menghulurkan kamera kepadanya !......

Dengan keadaan agak sukar dan terpaksa berteriak kuat memberi arahan ‘ ledi ha-… ledi ha…. ‘ ( sedia…sedia ) kepada kami yang berada di seberang jalan dan parit, gambar kami pun berjaya dirakamkan . Dengan susah payah pula jurugambar Bee Dol dan pembantunya sekali lagi meredah keluar dari semak samun….

Saya tidak tahu berapakah bayaran mengambil gambar tersebut yang mesti dibayar oleh pihak sekolah kepada Kedai Gambar Bee Dol dalam keadaan begitu...Saya sendiri serta rakan-rakan lain juga tidak tahu bagaimana ‘ rupa ‘ kami dalam gambar yang telah dirakam.

Hasilnya !.... Apabila gambar tersebut siap dicetak pada buku perasmian bangunan baru sekolah, rupa-rupanya muka kami antara seorang dengan seorang sukar dikenali kerana terlalu kecil !.

Seingat saya rasanya ada juga pelawaan dari pihak jurugambar Bee Dol kepada pihak sekolah dan murid-murid untuk membeli gambar tersebut dengan harga RM 3.00 sekeping. Namun , tidak ada sesiapa di kalangan rakan yang saya ingat, berminat membeli gambar tersebut. Kerana selain muka tiap orang terlalu kecil dan tidak memuaskan hati, bagi kami wang sejumlah RM 3.00 tersebut adalah ‘ amat besar ‘ nilainya !.

Belasan tahun kemudian, pertanyaan hati saya semasa peritiwa itu berlaku akhirnya telah berjawab juga ; apabila saya berjaya mempelajari bidang fotografi secara pos dan amali -Seperti saya nyatakan dalam catatan terdahulu.

Selepas mempelajari bidang tersebut barulah saya memahami, sebenarnya jurugambar Bee Dol terpaksa berada jauh di seberang parit, berada dalam kebun kelapa semak samun serta terpaksa memanjat pokok kelapa adalah disebabkan beliau menggunakan kamera ' lensa biasa ' ( standard ) sahaja. Bukan dari jenis lensa ' bidang luas ' yang dapat merakam gambar dalam jarak dekat .

Saya juga saksikan kamera yang digunapakai adalah dari jenis kamera ‘ lensa mati ‘ ( tidak boleh ditukar-tukar dengan lensa lain seperti lensa bidang luas atau lensa zoom ). Walaupun begitu, kamera tersebut sudah dianggap ' canggih ' berbanding dengan kamera jenis ' dua lensa ' yang lainnya pada masa itu !

2 ulasan:

  1. Selamat Hari Raya Aidil Adha
    Selamat terus menulis entri-entri yang baik seperti ini

    BalasPadam
  2. Terima kasih atas dorongan dan galakan. Semoga kisah dipaparkan ada manfaat untuk semua.

    BalasPadam