KEPADA ANDA SEMUA...

Khamis, 24 September 2009

CATATAN TIGA

DAPAT KENALAN BARU


Pada hari-hari minggu pertama bersekolah di Madrasah Ehya Ul Falah, perasan saya boleh dikatakan tidak tenteram dan selalu tertekan . Umpamanya, pada waktu rehat saya terpaksa hanya duduk berseorangan dalam kelas sahaja. Kawan-kawan lain semua keluar ke kanten yang berada di tepi bangunan sekolah. Saya terpaksa bertindak demikian kerana tidak biasa dengan keadaan berebut-rebut membeli makanan di kanten kepunyaan oleh Pak Lang Sanip.

Semasa belajar di kelas saya lebih gemar duduk ‘ membatu ‘ saja . Bercakap hanya ketika menjawab soalan pelajaran diajukan guru. Sepanjang tempuh itu saya dibelengggu oleh perasaan rendah diri cukup membimbangkan . Lantaran hanya saya seorang sahaja lebih tua dari segi umur, berbanding dengan rakan-rakan sekelas yang hanya baru berusia dalam lingkungan 15 hingga 16 tahun sahaja. Tambahan pula, sudah banyak pelajaran tertinggal akibat masuk belajar tidak bermula dari hari awal persekolahan dibuka .

Suasana belajar dan pergaulan di kelas amat berbeza sekali dengan suasana semasa bersekolah di Madrasah Ubudiah Parit (6) dahulu. Di sana, murid lelaki dan perempuan tidak pernah bercakap antara satu sama lain di dalam kelas atau waktu rehat. Manakala di sini saya lihat murid lelaki dan murid perempuan seperti sudah biasa bercakap-cakap semasa waktu rehat atau dalam kelas. Dan kadangkala ejek mengejek !.

Saya memang termasuk dalam golongan orang yang amat pemalu, terutama dengan kalangan perempuan sejak dahulu. Mungkin suasana pergaulan semasa bersekolah Melayu / Kebangsaan dahulu menyebabkan saya bersikap demikian, di samping keadaan masyarakat kampong memang tidak menggalakkan lelaki dan perempuan berbual-bual. Akibat sikap demikian , saya sentiasa menjadi tumpuan pandangan murid perempuan dalam kelas, terutama apabila menjawab soalan pelajaran dari guru….

Guru yang mengajar di kelas saya bergilir-gilir mengikut mata pelajaran yang mereka ajar. Saya hanya lebih selesa belajar apabila Ustaz Haji Sobari masuk mengajar. Mungkin kerana beliaulah kalangan guru di situ yang saya kenali lebih awal dan beliau nampak simpati serta memahami keadaan saya. Manakala guru-guru yang lain pula mereka seperti ‘ tidak indah ‘ sahaja. Mungkin mereka tahu saya murid baru di situ dan juga memahami banyak pelajaran saya sudah ketinggalan berbanding murid lain. Jadi, tidak perlu disoal semasa mereka masuk mengajar.

Namun pada minggu-minggu berikutnya beberapa orang rakan sekelas dari kalangan lelaki sudah mula saya kenali mereka. Salah seorang di antaranya ialah Mastor bin Md. Yusof . Beliau berbadan besar dan tegap serta kelihatan hampir hampir sebaya dengan saya – Kalau tidak salah ingatan saya, beliau adalah ketua kelas pada waktu itu - Namun di kalangan murid perempuan saya masih ‘ buta ‘ terhadap mereka semuanya !.....

Mastor boleh dianggap kawan baru yang sesuai dengan saya. Kami selalu pergi ke kanten bersama atau berjalan-jalan sekitar kawasan sekolah sebelum masuk belajar. Beliau sekarang menetap di Felda Sungai Tengi, Tanjong Malim. Dan saya sering berjumpa dengannya di sana. Selain pernah bertugas sebagai Guru Agama Fardhu Ain di Sekolah Rendah Agama Felda Sungai Tengi, beliau sekarang memegang jawatan nazir masjid di situ.

Mungkin kerana faktor umur lebih tua dari kawan-kawan sekelas, kepahaman saya terhadap pelajaran yang diajar oleh guru ketika itu adalah lebih baik berbanding mereka. Kerana itu, makin ramai kawan sekelas mula rapat dengan saya untuk bertanyakan pelajaran yang kurang dipahami. Ini menjadikan saya seperti murid ‘ penting ‘ di kalangan mereka selain pergaulan saya dengan mereka semakin mesra.

Keadan kebelakangan ini jelas menyebabkan saya sudah berjaya mengatasi perasaan rendah diri selama ini. Rakan-rakan lama yang berada dalam Kelas Khas Agama Tahun (2) juga sudah ‘ berani ‘ saya dekati semula….

Dan apabila saya berjaya mendapat nombor satu dalam kelas semasa peperiksaan penggal pertama tahun itu ( waktu itu peperiksaan ada tiga penggal dalam setahun ), perasaan rendah diri saya terhadap rakan-rakan sekelas dan yang lainnya boleh dikatakan beransur hilang . Saya juga sudah dapat menyesuaikan diri di kalangan murid perempuan sekelas yang memerlukan bantuan memahami pelajaran diajar oleh guru setiap hari. Namun saya masih tidak berani berbual dengan mereka seperti rakan lelaki yang lain !.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan